Inilah asignment terbaik dari aku...
29/30... alhamdulillah..:D
1.0 PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Pada
tahun 2011, bermulanya era baru dalam pentaksiran prestasi murid sekolah rendah
di Malaysia. Ini kerana Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mula dilaksanakan
secara rasmi di semua sekolah rendah yang melibatkan semua murid tahun 1 pada
tahun berkenaan. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah merupakan satu
pentaksiran yang bersifat holistik iaitu murid dinilai dari aspek kognitif
(intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR). Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, “Pendidikan di Malaysia adalah
satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara”.
Pelaksanaan
PBS dalam UPSR mulai Tahun 2016 iaitu 60 peratus Pentaksiran Berasaskan Sekolah
dan 40 peratus Berdasarkan Peperiksaan. Pengurangan peperiksaan akan memberi
peluang guru dan murid memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran dan
kreativiti. Kementrian Pelajaran Malaysia membangunkan sistem pengurusan
pentaksiran PBS bagi komponen akdemik dan bukan akademik. Ia digunakan oleh
kepimpinan di sekolah untuk merekod dan menyimpan maklumat penguasaan murid
dalam PBS serta melaporkannya apabila diperlukan. SPPBS juga dibangunkan dengan
persekitaran teknologi web-based. Semua kepimpinan yang terlibat
bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan.
1.2 METHODOLOGI
Dalam laporan yang disediakan ini, sebuah sekolah
rendah di Selangor telah dipilih untuk dikaji peranan kepimpinan di
sekolah dalam melaksanakan penilaian
berasaskan sekolah ( PBS ), ciri-ciri utama PBS yang dijalankan di sekolah dan responden
terhadap barisan kepimpinan sekolah berkaitan dengan penilaian berasaskan
sekolah ( PBS ). Nama sekolah dan nama-nama guru dirahsiakan untuk tujuan
keselamatan. Saya telah memilih seorang Guru Penolong Kanan Kurikulum dan
seorang Guru Tahun 1. Pemilihan Guru Penolong Kanan Kurikulum sebagai responden
adalah kerana beliau bertanggungjawab untuk membantu Guru Besar mengatur
perjalanan kurikulum di sekolah. Pemilihan Guru Tahun 1 pula adalah kerana
beliau sudah menjalankan KSSR pada tahun 2011. Jadi, beliau sudah berpengalaman
selama satu tahun dan mengetahui arus penilaian berasaskan sekolah. Maka,
pemilihan guru-guru berkenaan boleh dikatakan tepat kerana mereka terlibat
secara langsung dalam Penilaian Berasaskan Sekolah ( PBS ) ini. Temu bual
dilakukan secara Soalan dan jawapan.
Selain dari temu bual yang di jalankan, saya juga
diberi kebenaran untuk melihat sendiri fail Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS) sekolah berkenaan dan Fail Peribadi Murid. Saya juga ada mendapatkan
maklumat tambahan melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia dan
laman sesawang yang lain juga banyak membantu mendapatkan maklumat yang dikehendaki.
Hasil temu bual di dalam laporan di bawah.
2.0 CIRI-CIRI
UTAMA PENILAIAN BERASASKAN SEKOLAH
2.1 HOLISTIK
Penilaian berasaskan sekolah adalah holistik iaitu
mampu memberikan maklumat keseluruhan tentang pencapaian pengetahuan dan
kemahiran murid. Pada peringkat perancangan, guru memilih standard kurikulum
yang akan diajar kepada murid yang terlibat. Guru juga merancang pengajaran dan
pembelajaran yang diajar dan juga menyediakan kaedah pentaksiran. Semasa
peringkat pelaksanaan guru juga bertanggungjawab melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran dan pentaksiran. Standard prestasi diperkenalkan untuk melihat
perkembangan serta pencapaian prestasi seseorang murid berkenaan. Standard
prestasi yang digunakan dalam Pentaksiran Sekolah adalah mengikut Band (Band 1
hingga Band 6). Oleh itu, dalam pemantauan guru dapat mengetahui apa yang akan
dapat dicapai dalam pendidikan murid, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus
ada pada setiap murid.
2.2 FLEKSIBEL
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah
fleksibel kerana pentaksiran adalah pelbagai dan ia mengikut kesesuaian dan
kesediaan seseorang murid tersebut. Pada permulaan guru akan merancang apa yang
perlu diajar dengan memilih kandungan mata pelajaran yang terdapat dalam
Dokumen Standard Kurikulum dan seterusnya menyampaikan kandungan menggunakan
pelbagai strategi dan mengikut kreativiti guru. Guru akan mentaksir pemahaman
murid setelah pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Guru boleh menggunakan
pelbagai strategi dan instrumen pentaksiran yang bersesuaian sama ada secara
formal atau tidak formal. Sebagai contoh guru menggunakan kaedah pemerhatian
dengan menilai setiap murid secara berterusan tentang apa yang mereka tahu,
faham dan boleh buat. Dengan itu, guru boleh merujuk dokumen standard prestasi
untuk melaporkan pencapaian murid berdasarkan evidens yang dikemukakan oleh
murid sama ada dalam bentuk produk, proses atau diri murid. Ia terbukti Pentaksiran Berasaskan
Sekolah adalah fleksibel.
2.3 MERUJUK
STANDARD
Pentaksiran Berasaskan Sekolah menggunakan
Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pelajaran dan
pencapaian prestasi seseorang murid itu. Ia merupakan satu proses mendapatkan
maklumat sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa
yang telah dipelajari mengikut tahap-tahap pencapaian berdasarkan standard
prestasi yang telah ditetapkan. Kerangka Standard Prestasi diletakkan dalam
kategori mengikut Band iaitu dari band 1 hingga band 6 dan disusun mengikut
hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan terperinci. Selain
itu, di dalam Kerangka Dokumen Standard Prestasi terdapat penyataan standard,
deskriptor dan evidens. Penyataan standard merupakan penerangan umum tentang
tahap kemajuan pembelajaran dengan merujuk objektif mata pelajaran. Deskriptor
pula merujuk kepada perkara yang murid seharusnya tahu dan boleh buat
berdasarkan standard pembelajaran dan evidens merujuk kepada bahan atau bukti
yang ditunjukkan oleh murid dapat melaksanakan sesuatu tugasan. Oleh itu,
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah merujuk standard yang telah
ditetapkan dalam standard prestasi berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
2.4 SEIMBANG
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah
seimbang kerana ia mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. Dari segi
akademik terdapat pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat di mana pentaksiran
sekolah dilaksanakan secara formatif dan sumatif. Pentaksiran formatif
dijalankan seiring dengan proses pembelajaran dan pengajaran. Pentaksiran
sumatif pula dijalankan pada akhir bab pembelajaran, semester atau hujung
tahun. Bagi pentaksiran pusat pula, pentaksiran dijalankan, ditadbir, diperiksa,
di rekod dan di lapor, di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang
diberi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia mengikut tempoh yang ditetapkan.
Bagi bukan akademik pula, pentaksiran melalui
penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan
kesihatan, suka dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstra
kurikulum. Selain itu juga bagi bukan akademik juga adalah mengukur kebolehan,
kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan,
sikap dan personaliti murid di ukur di peringkat sekolah atau di pusat. Oleh
itu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah seimbang kerana ia di kira
dari segi akademik dan bukan akademik. Kecenderungan murid akan dapat dikesan
dari pentaksiran yang dibuat.
3.0 PERANAN
KEPIMPINAN UTAMA SEKOLAH DALAM MELAKSANAKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
(PBS)
3.1 MENGAMBIL INISIATIF
Pada penghujung tahun 2010 Guru Besar dan barisan
kepimpinan sekolah mengadakan mesyuarat pengurusan sekolah. Melalui mesyuarat
ini pihak kepimpinan mengambil inisiatif dengan mengadakan mesyuarat kali
pertama dengan semua guru – guru bagi memaklumkan dan menetapkan hala tuju,
matlamat dan menyediakan jadual aktiviti sistem pengurusan pentaksiran berasaskan
sekolah yang akan dilaksanakan. Bagi guru yang terlibat telah pun diberi
taklimat di peringkat daerah pun begitu latihan dalaman diadakan bagi
membolehkan semua guru-guru sekolah memahami dengan lebih jelas akan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana ia akan melibatkan ramai guru mata
pelajaran. Inisiatif yang di ambil
adalah barisan kepimpinan membahagikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah kepada
sub topik yang lebih kecil iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat,
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran
Psikometrik dan ia di bentangkan oleh guru yang telah menghadiri kursus kepada
guru-guru yang lain. Setelah itu, satu majlis di aturkan untuk memberi taklimat
diberikan kepada ibu bapa murid tahun satu yang bakal terlibat. Penerangan ini
penting untuk ibu bapa memahami konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
yang akan dijalankan supaya tidak timbul kecelaruan dengan membuat tanggapan
negatif terhadap sistem yang diperkenalkan ini. Oleh itu, semua guru-guru dan
ibu bapa yang terlibat faham akan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (SPPBS) ini.
3.2 MEMBINA PASUKAN
Guru Besar sebagai seorang ketua kepimpinan di sekolah
membina jawatankuasa PBS di peringkat sekolah. Jawatankuasa ini dipengerusikan
oleh beliau sendiri. Naib pengerusi pula, semua guru penolong kanan di sekolah
dan setiausaha adalah setiausaha peperiksaan sekolah. Ahli jawatankuasa yang
dilantik adalah terdiri daripada ketua panitia di bahagian latihan,
penyelarasan, pementoran, pemantauan, Petaksiran Sekolah dan Pentaksiran Pusat.
Selain dari itu, ahli jawatankuasa juga adalah terdiri daripada guru cemerlang,
guru bimbingan dan kaunseling. Pasukan ini adalah untuk memastikan PBS yang
dijalankan di sekolah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Guru Besar
perlu mengadakan empat kali mesyuarat setahun.
Selepas penetapan hala tuju pada mesyuarat pertama, mesyuarat kedua
adalah untuk kajian suku tahun pertama.
Begitu juga dengan mesyuarat kali ketiga adalah untuk kajian suku tahun kedua.
Bagi mesyuarat kali keempat, Guru Besar akan mengadakan post mortem pelaksanaan.
Di Mesyuarat ini, guru-guru perlu membentangkan pengoperasian yang telah
dijalankan adakah ia telah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Peranan Guru
Besar adalah menegur dan memperbaiki
jika terdapat kekurangan yang telah berlaku semasa Pentaksiran Berasaskan
Sekolah dijalankan. Oleh itu, membina pasukan adalah penting dalam memainkan
peranan Guru Besar sebagai ketua kepimpinan di sekolah.
3.3 MEMBUAT
KEPUTUSAN
Sesuatu keputusan di buat melalui mesyuarat yang
mana ia dibincangkan oleh ahli jawatankuasa dan guru besar bersama barisan
kepimpinan membuat keputusan yang terbaik. PBS memerlukan satu jawatankuasa
yang kuat dan berani membuat keputusan. Sebagai ketua kepimpinan di sekolah
guru besar merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memutuskan keputusan
bagi penilaian berasaskan sekolah. Selepas guru menilai murid sepanjang tahun,
barisan kepimpinan dan jawatan kuasa akan membuat keputusan tentang prestasi murid-murid.
Apabila ada kekurangan dalam prestasi murid barisan kepimpinan akan mencari
jalan untuk menambah baik agar target dapat dicapai. Oleh itu, keputusan mesti
di buat barisan kepimpinan supaya segala permasalahan dapat di selesaikan.
3.4 MENYELESAIKAN
MASALAH
Setiap perkara yang baru dilaksanakan pasti ada
kelemahan dan kekurangan. Ia menjadi tanggungjawab guru besar untuk
menyelesaikannya. Semasa penilaian dijalankan guru akan berjumpa dengan
kesulitan. Oleh itu, semasa mesyuarat guru besar akan meminta setiap guru yang
terlibat untuk memaklumkan masalah yang timbul. Guru besar akan membantu guru
untuk menyelesaikan masalah. Setiap ahli jawatankuasa PBS bertanggungjawab atas
yang dilaksanakan. Oleh itu, setiap permasalahan mesti dilaporkan kepada guru
besar supaya beliau dapat menyelesaikannya. Selain dari itu, dari semasa ke
semasa guru besar perlu memantau untuk memastikan segala permasalahan telah
diselesaikan.
4.0 PENILAIAN
RESPONDEN TERHADAP KEPIMPINAN UTAMA SEKOLAH
4.1 MENGAMBIL
INISIATIF
Dalam pengurusan PBS, Guru Besar telah mengambil
inisiatif untuk memanggil semua guru untuk diberi taklimat walaupun guru
tersebut tidak terlibat secara langsung dalam PBS. Ini adalah inisiatif yang di
ambil oleh guru besar untuk membudayakan PBS di sekolah dan jika guru yang
terlibat bercuti panjang atau bertukar, guru lain boleh mengambil alih tugas
terbabit. Ia tidak akan menjadi masalah jika semua guru telah mengetahui akan
PBS yang dijalankan. Guru Besar juga mengambil inisiatif untuk memberi sendiri
penerangan kepada ibu bapa supaya tiada kekeliruan supaya tidak timbul kecelaruan
dengan membuat tanggapan negatif terhadap sistem yang baru diperkenalkan di
sekolah bagi tahun 1.
4.2 MEMBINA
PASUKAN
Guru Besar membina jawatan kuasa untuk PBS dengan
baik sekali. Guru Besar mengetahui dan di bantu oleh semua Penolong Kanan
beliau dan guru-guru menjadi jawatan kuasa nya. Pasukan ini di bina pembahagian
tugas kepada guru-guru darjah dan mata pelajaran. Guru Besar memberi penerangan
terperinci kepada setiap jawatankuasa agar perjalanan PBS berjalan dengan baik.
Guru Besar mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan setiap jawatan kuasa yang
dilantik. Oleh itu, Guru Besar dan barisan kepimpinan dilihat begitu komited
dengan jawatan kuasa yang di bina.
4.3 MEMBUAT
KEPUTUSAN
Responden melihat Guru Besar bijak membuat
keputusan dari segi pemilihan jawatankuasa, cara mengendalikan ibu bapa dan apa
jua persoalan yang timbul. Jika ada sesuatu perkara tidak diketahui oleh
beliau, beliau lebih senang bertanyakan sendiri kepada yang lebih arif dengan perkara
berkenaan. Guru Besar akan berbincang dahulu dengan barisan kepimpinan sebelum
membuat keputusan. Oleh itu, responden memberikan respon yang positif terhadap
keputusan yang dibuat dan menghormati keputusan barisan kepimpinan,
4.4 MENYELESAIKAN
MASALAH
Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, guru besar
dan barisan kepimpinan akan bersama-sama berbincang. Sesuatu permasalahan yang
timbul tidak akan ditunggu lama untuk selesaikan. Mereka akan mengadakan
mesyuarat tertutup dan cuba membincangkan sesuatu hal yang timbul. Responden
memuji akan cara barisan kepimpinan menyelesaikan masalah kerana mereka akan
cuba berlaku adil atas apa jua masalah yang timbul.
5.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, ciri-ciri utama PBS yang dijalankan
di sekolah adalah holistik, fleksible, merujuk standard dan
seimbang. Dari Pemantauan guru dapat mengetahui apa yang akan dapat dicapai
dalam pendidikan murid, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada
setiap murid.Guru boleh merujuk dokumen standard prestasi untuk melaporkan
pencapaian murid berdasarkan evidens yang dikemukakan oleh murid sama ada dalam
bentuk produk, proses atau diri murid. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
adalah merujuk standard yang telah ditetapkan dalam standard prestasi
berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. pentaksiran dijalankan, ditadbir,
diperiksa, di rekod dan di lapor, di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan
tugasan yang diberi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia mengikut tempoh yang
ditetapkan. Peranan kepimpinan utama sekolah dalam melaksanakan pentaksiran
berasaskan sekolah adalah mengambil inisiatif, membuat keputusan, menyelesaikan
masalah dan membina pasukan. Oleh itu, barisan kepimpinan dan semua guru di
sekolah terlibat secara langsung atau tidak dalam melaksanakan PBS bagi membolehkan
ia dijalankan seperti yang di arahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia.
6.0 RUJUKAN
Fail Pentaksiran Berasaskan Sekolah Murid
Fail Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Jawatan Kuasa Pengurusan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah
Temu ramah Guru Penolong Kanan
Temu ramah Guru yang terlibat dengan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah
Laman Sesawang berkaitan:
Guru perlu
fahami Pentaksiran Berasaskan Sekolah, capaian 22/10/2012 dari http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121022/pe_02/Guru-perlu-fahami-Pentaksiran-Berasaskan-Sekolah
Surat Pemantauan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, 4 Julai
2011 dari http://spp.jpnns.gov.my/downloads/surat_pemantauan_pbs.pdf