1.0 PENGENALAN
Disiplin
merupakan batu asas kepada kecemerlangan seseorang murid. Kecemerlangan
sesebuah sekolah adalah bergantung kepada tahap disiplin yang ditunjukkan oleh
murid sekolah tersebut. Bagi sekolah yang mempunyai tahap disiplin yang baik,
sekolah berkenaan pastinya mempunyai tahap pencapaian akademik mahupun
kokurikulum yang boleh dibanggakan. Ini kerana sekolah merupakan tempat di mana
kita menuntut ilmu pengetahuan. Di sekolah juga murid di ajar bagaimana untuk
mendisiplinkan diri dari segi pelajaran dan juga kelakuan. Ini menjadi
tanggungjawab Guru besar untuk membentuk disiplin murid-murid di sekolah. Guru
Besar di bantu oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid membimbing guru-guru untuk
membentuk disiplin murid. Oleh itu, sebuah jawatankuasa disiplin sekolah
diwujudkan. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dipertanggungjawabkan untuk menyelia
badan pengawas yang terletak di bawah jawatan kuasa disiplin sekolah. Badan
pengawas terdiri daripada Guru Disiplin yang menjadi penasihat kepada badan
pengawas, di ketuai oleh Ketua Pengawas iaitu murid yang dilantik dari kalangan
pengawas sekolah dan di bantu oleh Penolong Ketua Pengawas.
Badan
pengawas sekolah ditubuhkan untuk membantu guru-guru menguatkuasakan
undang-undang dan peraturan sekolah. Ketua kelas pula berperanan membantu guru
di dalam kelas. Kita sedia maklum peranan pengawas sekolah dan ketua kelas kerana
kita semua pernah melalui zaman persekolahan. Kita sendiri boleh lihat dan
membuat penilaian terhadap tugas
pemimpin murid di sekolah tetapi di zaman kita menuju ke negara maju perlu
dikaji semula peranan pemimpin murid di sekolah. Ini bertujuan untuk menjadikan
tahap disiplin murid setaraf dengan negara maju yang lain supaya hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat di capai dengan jayanya. Menurut Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara”.
Bilangan
pengawas yang di lantik pula bergantung kepada bilangan murid di sekolah berkenaan.
Ia perlulah bersesuaian dengan keperluan dan bukanlah berlebihan dan menjadikan
ianya tidak praktikal. Bagi membezakan pengawas dan murid sekolah yang lain, pengawas
dikehendaki berpakaian seragam khas. Pakaian seragam ini bergantung kepada
ketetapan pihak sekolah. Sebagai seorang pemimpin, pengawas sekolah dan ketua
kelas perlu mengetahui tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Menurut Krech & Crusthfield (1962), fungsi
pemimpin mentadbir dan menyelaras kelompok, perancang aktiviti yang jelas, tepat,
pembuat polisi, misi organisasi, tempat rujukan, dan penyelesai masalah. Oleh
itu, menjadi setiap pengawas dan ketua kelas yang dilantik perlu di beri kursus
kepimpinan supaya mereka benar-benar bersedia dan layak untuk menjadi pemimpin
kepada murid yang lain.
2.0 METHODOLOGI
Terdapat
beberapa kaedah kajian yang dijalankan ke atas peranan pemimpin murid iaitu
pengawas sekolah dan ketua kelas dalam membantu kawalan pentadbiran sekolah dan
menyelia tingkah laku dan disiplin. Melalui laporan yang disediakan, sebuah
sekolah di Petaling Jaya, Selangor telah dipilih. Faktor pemilihan sekolah ini
adalah kerana sekolah ini terletak di tengah bandar, bilangan murid adalah
sedikit dan latar belakang murid-murid di sekolah ini adalah berbeza antara
satu sama lain. Ini boleh mencabar kepimpinan murid sekolah berkenaan kerana
perbezaan latar belakang tetapi mungkin ia mudah bagi pemimpin murid kerana
bilangan murid yang sedikit. Nama
sekolah yang telah dipilih dan nama guru-guru yang telah ditemu bual adalah
dirahsiakan untuk tujuan keselamatan. Saya telah memilih Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid untuk responden yang pertama di temu bual. Pemilihan Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid adalah kerana badan pengawas terletak di bawah seliaan beliau.
Oleh itu, beliau antara responden yang tepat di pilih.
Selain
itu, seorang lagi responden di kalangan kakitangan sekolah yang dipilih adalah
guru disiplin sekolah berkenaan. Seperti yang diketahui guru disiplin merupakan
penasihat kepada badan pengawas sekolah. Oleh itu, pemilihan beliau adalah
tepat kerana beliau mengetahui peranan pengawas sekolah. Ketua Pengawas Sekolah
dipilih untuk di temu bual bagi kajian ini. Ini kerana beliau merupakan Ketua
kepada keseluruhan badan pengawas dan murid-murid di sekolah. Pendapat beliau
diperlukan kerana beliau yang menjalankan tugas sebagai pengawas dan lebih
memahami tugas-tugas yang telah di berikan kepada beliau. Akhirnya, seorang
murid tahun 6 telah di temu bual untuk mengkaji semula peranan pengawas
sekolah. Pemilihan beliau tepat kerana beliau bukanlah seorang pengawas, dan
beliau adalah murid paling senior di sekolah berkenaan. Oleh itu, beliau sudah
pastinya mengetahui dan boleh membuat penilaian terhadap peranan badan pengawas
dan ketua kelas sekolah.
Selain
dari temuramah yang dijalankan ke atas
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Disiplin, Ketua Pengawas dan seorang murid
Tahun 6, saya juga di benarkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk
melihat buku manual pelaksanaan badan pengawas dan tugas-tugas badan pengawas
yang sedia ada. Saya juga di benarkan melawat bilik badan pengawas sekolah bagi
lebih memahami lagi tugas-tugas badan pengawas. Selain dari itu, untuk
mendapatkan lebih maklumat yang diperlukan, saya juga telah merujuk laman-laman
sesawang yang berkaitan. Di dalam laporan yang disediakan, saya telah mengkaji
semula peranan ketua kelas dan badan pengawas sekolah dan menerangkan peranan
badan pengawas dan ketua kelas secara terperinci. Proses pemilihan murid untuk
menjadi badan pengawas dan ketua kelas juga di kaji bagi mendapatkan murid yang
benar layak menjalankan tugas-tugas sebagai seorang pemimpin. Akhirnya, temu
ramah yang di buat ke atas Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Disiplin
dan dua orang murid adalah untuk membuat penilaian mengenai peranan badan
pengawas dan ketua kelas. Hasil kajian dan temu ramah di dalam laporan di
bawah.
3.0 PERANAN
BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
Badan
pengawas dan ketua kelas merupakan suatu badan yang dipertanggungjawabkan untuk
pemimpin kepada murid-murid yang lain. Sebelum memahami peranan badan pengawas
dan ketua kelas, perlu di fahami dahulu peranan pemimpin. Menurut Miftha
Thoha dalam bukunya Prilaku Organisasi
(1983 : 255), pemimpin adalah seorang yang memiliki kemampuan memimpin, iaitu memiliki
kemampuan untuk mempengaruhi orang lain atau kelompok tanpa mengindahkan bentuk
alasannya. Oleh itu, seseorang pemimpin itu menjadi lambang kepada organisasi,
menjadi model kepada ahli-ahli yang dipimpin dan menjadi tempat rujuk kepada
ahli-ahli yang lain. Seorang pemimpin yang baik perlu mempunyai ciri-ciri
pemimpin seperti kemahuan untuk memimpin, memahami kejelasan matlamat pemimpin, tegas dan konsisten, sabar dan
mempunyai budi bicara. Setelah memahami peranan dan ciri-ciri pemimpin,
pengawas dan ketua dapat menjalankan peranan mereka sebagai pemimpin di
kalangan rakan-rakan mereka.
3.1 BADAN PENGAWAS
Peranan
badan pengawas adalah besar di dalam organisasi badan pengawas itu sendiri dan
juga sekolah. Peranan utama badan pengawas adalah tanggungjawab terhadap
sekolah. Badan pengawas perlu melaksanakan peraturan dan undang-undang sekolah.
Badan disiplin sekolah telah menetapkan peraturan dan undang-undang sekolah
yang boleh dan tidak boleh dilakukan, badan pengawas menjadi pelaksana iaitu
sebagai mata dan telinga guru-guru bagi memastikan semua murid mengikut
peraturan yang telah di tetapkan. Sebagai contoh, murid makan dan minum di
dalam kelas. Di dalam peraturan yang telah ditetapkan, murid-murid tidak
dibenarkan berada di dalam kelas sewaktu rehat tetapi ada murid yang degil
makan dan minum di dalam kelas. Pengawas perlu menegur dan melarang murid
melakukannya. Jika perlu, murid perlu memberitahu kepada guru untuk tindakan
yang lanjut. Selain itu, peranan badan pengawas adalah menjaga nama baik
sekolah. Sebagai seorang pemimpin yang baik, adalah menjadi tanggungjawab
pengawas menjaga nama baik sekolah supaya masyarakat tidak memandang serong
kepada institusi sekolah. Selain itu, badan pengawas perlu memelihara iklim
sekolah. Iklim sekolah mempengaruhi perkembangan murid-murid dengan sekolah
yang terkawal, tenang dan tertib. Oleh itu, badan pengawas perlu membantu guru
memelihara iklim sekolah.
Peranan
lain badan pengawas adalah tanggungjawab terhadap guru dan pelajar lain.
Peranan terhadap guru adalah memberi maklumat kepada guru. Pengawas merupakan
agent kepada guru iaitu menjadi mata dan telinga guru. Segala salah laku murid,
sudah menjadi tanggungjawab pengawas melaporkan kepada guru. Sebagai contoh,
murid yang datang lewat ke sekolah, pengawas perlu mengambil nama dan
memberikan kepada guru untuk tindakan yang selanjutnya. Ini adalah kerana ia
menjadi tanggungjawab badan pengawas untuk bersama-sama membanteras kegiatan
dan masalah laku murid-murid agar sekolah dapat memelihara iklim sekolah dan
seterusnya dapat melahirkan murid-murid yang berjaya. Antara tugas peranan
utama badan pengawas lagi adalah, mengambil berat akan masalah murid yang lain.
Murid-murid mungkin adalah masalah yang tidak selesa diceritakan kepada
guru-guru atau ibu bapa, pengawas boleh bertindak sebagai rakan baik dengan
menasihatkan. Jika tidak mampu membantu, pengawas boleh meminta pandangan guru
disiplin untuk menyelesaikannya. Selain itu, badan pengawas perlu menunjukkan teladan
yang baik kepada murid-murid yang lain. Mereka perlu menjadi role model
kepada murid-murid yang lain. Dengan kelakuan yang baik, dengan secara tidak
langsung murid-murid akan berasa hormat dan mahu mendengar arahan dari
pengawas. Jika perangai pengawas juga tidak berdisiplin, murid-murid lain akan
hilang rasa hormat terhadap pengawas dan seterusnya tidak berasa takut untuk
melanggar peraturan sekolah. Oleh peranan badan pengawas adalah penting bagi
membentuk iklim sekolah dan secara tidak langsung meningkatkan kecemerlangan
murid dari segi akademik dan juga kokurikulum. Ini kerana disiplin merupakan
teras utama kejayaan seseorang itu.
3.2 KETUA KELAS
Kelas
merupakan sebuah organisasi yang diketuai ketua kelas atau ketua darjah. Apa
pun panggilannya, peranan ketua kelas adalah penting bagi memastikan pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas dapat dijalankan dengan jayanya. Peranan utama
ketua kelas adalah sama dengan badan pengawas iaitu, bertanggungjawab pada diri
sendiri, bertanggungjawab terhadap sekolah dan guru dan tanggungjawab terhadap
murid yang lain. Ketua kelas perlu menjaga disiplin diri di samping menjaga
disiplin rakan sekelas. Ketua kelas menjadi role model kepada murid lain
di dalam kelas sendiri. Sebagai contoh semasa ketiadaan guru di dalam kelas,
ketua kelas harus menjaga situasi kelas agar tidak bising dan tidak
bermain-main di dalam kelas dan bukannya bersama-sama bermain dengan rakan yang
lain. Jika hal ini berlaku, akan hilang rasa hormat rakan sekelas terhadap
ketua kelas. Menjadi peranan ketua kelas juga untuk memastikan kelas sentiasa
berada di dalam kemas. Sebagai ketua, ketua kelas perlu mengingatkan
rakan-rakan sekelas supaya menjaga kebersihan dan bertugas mengikut jadual
tugas yang telah diberikan. Jika kelas berada dalam keadaan yang kotor, akan
menyebabkan murid kurang selesa untuk belajar.
Peranan
ketua kelas terhadap guru adalah dengan membantu guru memberitahu bilangan
murid yang tidak hadir ke kelas, menghantar buku latihan yang telah dikumpulkan
ke bilik guru dan melihat jadual guru ganti jika guru yang sepatutnya masuk,
tidak hadir. Ketua kelas perlu memanggil guru yang di tugaskan untuk
menggantikan guru yang tidak hadir. Ketua kelas harus menzahirkan rasa hormat
terhadap guru supaya rakan sekelas yang lain juga akan mengikutinya. Melaporkan
kerosakan perabot dan alatan elektrik juga menjadi peranan ketua kelas. Ini
penting agar murid-murid di dalam kelas berkenaan dapat mengikuti pengajaran
dan pembelajaran dengan selesa dan membuatkan murid minat untuk belajar. Oleh
itu, peranan ketua kelas adalah sama penting dengan tugas badan pengawas cuma
yang membezakan ketua kelas di dalam skop kelas sahaja tetapi ketua kelas juga
merupakan pemimpin di dalam bilik darjah mereka. Ia merupakan suatu
tanggungjawab yang besar yang di amanahkan kepada murid yang dipilih dan ia
juga dapat membentuk iklim di dalam kelas supaya pembelajaran dapat di jalankan
dengan jayanya.
4.0 PROSES
PEMILIHAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
4.1 BADAN PENGAWAS
Pemilihan
badan pengawas dan ketua kelas adalah melalui beberapa prosedur. Bagi
perlantikan pengawas sekolah, badan disiplin sekolah akan mengadakan mesyuarat
dengan semua guru untuk pencalonan murid yang sesuai dilantik menjadi pengawas
sekolah. Ciri-ciri seorang pengawas yang dilantik adalah seorang yang berdisiplin,
adil dan saksama, cemerlang dalam pelajaran, sentiasa mahu belajar perkara yang
baru dan mahir berkomunikasi dan paling penting mahir mengurus masa yang baik.
Setelah senarai nama calon-calon pengawas di serahkan kepada badan disiplin,
badan disiplin akan bermesyuarat untuk menyenaraikan senarai pendek bakal-bakal
pengawas yang akan dilantik. Apabila senarai nama calon-calon dikeluarkan,
surat dikeluarkan untuk memaklumkan kepada ibu bapa bahawa anak mereka terpilih
untuk dicalonkan menjadi pengawas sekolah. Surat ini dikeluarkan sebelum cuti
persekolahan hujung tahun. Ibu bapa akan membalas surat pemberitahuan berkenaan
sebagai tanda setuju atau tidak.
Calon-calon
yang telah mendapat persetujuan dari ibu bapa akan dipanggil untuk di temuduga.
Temuduga berkenaan dijalankan oleh barisan kepimpinan iaitu guru disiplin, Guru
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Besar. Semasa proses ini, barisan
kepimpinan akan melihat sejauh mana kebolehan murid berkomunikasi dan menguji
keyakinan murid berdepan dengan pelbagai situasi, berfikiran positif dan
terbuka. Sebagai contoh, Guru Disiplin akan memberi suatu situasi permasalahan,
calon berkenaan diminta untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan. Pemarkahan
akan di kira melalui kebijaksanaan murid menyelesaikan situasi berkenaan dengan
bijak dan berkesan. Calon-calon yang berjaya meyakinkan barisan kepimpinan
semasa temuduga, akan diberitahu dan akan diberi tempoh percubaan. Semasa
tempoh ini, calon-calon akan memakai pakaian seragam seperti murid-murid yang
lain tetapi mempunyai tanda nama pengawas percubaan. Calon akan diberi tugas
dan peranan seperti barisan pengawas yang lain. Di dalam tempoh percubaan ini
calon akan dipantau oleh guru disiplin dan rakan- rakan pengawas yang lain. Satu
kursus kepimpinan akan di jalankan ke atas calon-calon pengawas. Di sini sekali
lagi mereka akan diuji ciri-ciri kepimpinan mereka.
Oleh
itu, jika calon-calon itu benar-benar layak dan mampu menjalankan tanggungjawab
sebagai pengawas sekolah, calon akan dilantik secara rasminya. Majlis
perlantikan akan dijalankan di perhimpunan pagi di hadapan semua guru-guru dan
murid-murid sekolah berkenaan. Ketua Pengawas, Penolong Ketua Pengawas juga
diberi watikah perlantikan ketika itu. Setelah mendapat watikah perlantikan,
badan pengawas akan membaca ikrar sebagai tanda janji akan menjalankan tugas
dengan baik. Selain itu, badan pengawas
itu sendiri mempunyai mesyuarat mereka sendiri. Ia dipengerusikan oleh Ketua
Pengawas dan guru disiplin sebagai penasihat kepada mesyuarat berkenaan. Di
dalam mesyuarat itu, setiap pengawas akan diberi tugas khusus sebagai contoh,
pengawas yang menjaga pintu pagar hadapan dan belakang. Pengawas juga
dipecahkan kepada kumpulan bertugas mingguan di perhimpunan sekolah. Oleh itu,
perlantikan badan pengawas dibuat dengan begitu teliti agar pemilihan adalah
tepat dengan objektifnya untuk menjadikan sekolah tempat untuk menuntut ilmu
dan murid-murid selesa berada di sekolah. Pengawas boleh berdikari sendiri
dengan menjalankan mesyuarat badan pengawas mereka.
4.2 KETUA KELAS
Perlantikan
ketua kelas agak berbeza dengan perlantikan pengawas. Perlantikan ketua kelas
dibuat di dalam kelas. Biasa nya guru sudah mengenal pasti murid yang
berkelayakan di dalam kelas. Ketua Kelas bukanlah dari kalangan pengawas
sekolah mahupun perpustakaan kerana ia akan membebankan murid berkenaan. Kelas
merupakan suatu organisasi yang diketuai oleh ketua kelas dan di bantu oleh
penolong ketua kelas dan guru kelas menjadi penasihat kepada organisasi
berkenaan. Perlantikan ketua kelas mendapat persetujuan keseluruhan murid di
dalam kelas. Guru akan meminta murid untuk mencalonkan nama-nama murid dan
undian akan di buat. Kebiasaannya, ketua kelas adalah seorang lelaki dan
penolong adalah perempuan. Setelah mendapat persetujuan majoriti di dalam
kelas, Ketua Kelas dan penolongnya
secara rasminya di lantik. Mereka akan menjalankan tugas-tugas sebagai ketua
dan penolong ketua kelas. Kemudian mereka juga akan dihantar menyertai kursus
kepimpinan bersama-sama badan pengawas supaya mereka merasa sebagai seorang
pemimpin dan menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.
5.0 PENILAIAN
TERHADAP PERANAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
5.1 BADAN PENGAWAS
Badan
pengawas berjaya membantu pentadbiran sekolah dan menyelia tingkah laku
murid-murid dengan pengurangan masalah disiplin di sekolah. Menurut temu bual
yang telah dijalankan, kedua-dua responden memberi pendapat yang akan serupa
iaitu mereka berpendapat bahawa peranan badan pengawas sekolah dapat
mengurangkan beban guru disiplin. Ini kerana peranan yang diberikan kepada
badan pengawas membolehkan murid-murid lain berasa gerun dan takut untuk
melakukan kesalahan disiplin. Sebagai contoh, murid tidak meletakkan pinggan yang
digunakan di kantin di tempat yang sepatutnya. Apabila ada pengawas di kantin
berkenaan dan menegur murid yang melakukannya, murid lain juga akan berasa
takut melakukan perkara yang sama. Ini kerana di waktu rehat, guru juga
mengambil kesempatan untuk makan dan minum dan tidak berkesempatan untuk
melihat salah laku murid sepenuhnya. Peranan yang di mainkan oleh pengawas
adalah sangat membantu guru dalam menyelia tingkah laku murid.
Bagi
mengkaji semula peranan pengawas sekolah, beliau mencadangkan peranan pengawas
boleh diperluaskan lagi seperti sekolah menengah. Badan Pengawas boleh
menjalankan hukuman kepada murid atas kesalahan yang kecil selagi ia tidak
melampaui batas. Sebagai contoh, murid yang membuang sampah merata tempat.
Badan pengawas boleh mencari jalan supaya ia menjadi budaya sekolah supaya
sesiapa yang dilihat membuang sampah dikenakan hukuman kecil oleh pengawas.
Contoh denda yang boleh dijalankan adalah murid berkenaan perlu mengutip sampah
yang berdekatan dengannya. Ini akan boleh membuatkan murid takut untuk membuang
sampah di merata tempat. Bagi murid yang ditemu bual, mereka berpendapat bahawa
sebahagian pengawas yang menjalankan tugas-tugas mereka membantu pentadbiran
sekolah, tetapi ada sesetengah pengawas turut melakukan kesalahan yang sama
yang di lakukan oleh murid-murid yang lain seperti datang lewat ke sekolah. Ini
menyebabkan, murid-murid akan berasa kurang hormat terhadap kredibiliti
pengawas berkenaan. Dalam mengkaji semula peranan pengawas sekolah, guru
disiplin perlu memberi penekanan terhadap pra-syarat pemilihan pengawas. Ini
kerana badan pengawas mencerminkan iklim dan budaya sekolah berkenaan dan
seterusnya membantu pencapaian akademik murid-murid.
5.2 KETUA KELAS
Peranan
ketua kelas menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah membantu dari
segi kawalan pentadbiran kelas dan menyelia tingkah laku di dalam kelas. Menurut
temu bual yang telah dijalankan ke atas responden, mereka bersetuju dengan
peranan ketua kelas yang mengawal kelas semasa ketiadaan guru dan banyak
membantu guru-guru mentadbir kelas. Ini terutama bagi murid di kelas yang
lemah. Murid-murid lebih nakal dan kurang mendengar arahan. Dengan bantuan
ketua kelas, bebanan guru terhadap pengurusan kelas dapat dikurangkan. Ketua
kelas menjadi 'abang' kepada murid-murid yang lain. Kecemerlangan sesebuah
kelas juga mencerminkan kepimpinan ketua. Ketua kelas bertanggungjawab
melaporkan kedatangan murid, murid ponteng, melihat jadual relief di
pejabat dan pelbagai lagi tugas-tugas seorang ketua kelas yang meringankan
urusan pentadbiran. Oleh itu, responden berpendapat bahawa tugas-tugas ketua
kelas sangat membantu guru kelas dan juga guru mata pelajaran mendapatkan info
mengenai kelas.
Pandangan
responden mengenai mengkaji semula peranan ketua darjah adalah peranan ketua
kelas adalah perlu diselaraskan seperti peranan badan pengawas. Ini kerana
ketua kelas juga adalah pemimpin seperti pengawas cuma skop ketua kelas adalah
lebih kecil iaitu di dalam kelas. Apabila dikaji semula, peranannya seakan sama
iaitu pengawas menjaga pintu pagar untuk melihat murid yang lewat ke sekolah
dan pengawas pula memastikan murid-murid tidak ponteng semasa pembelajaran dan
pengajaran dijalankan. Ini menunjukkan peranan sebagai pemimpin murid di
sekolah, ketua kelas dan pengawas mempunyai peranan yang seakan sama cuma skop
yang berlain. Ketua kelas sepatutnya di berikan 'batch' supaya murid-murid lain
juga mengenali beliau sebagai pemimpin kelas. Ini kerana pengawas mempunyai uniform
mereka dan ketua kelas tidak berasa rendah diri dengan jawatan mereka dan lebih
bersemangat dengan kepercayaan yang di berikan kepada beliau. Menurut pandangan
murid yang ditemu bual pula, murid berasa mudah untuk berkomunikasi dengan
ketua kelas jika mempunyai sebarang masalah. Ketua kelas menjadi orang tengah
antara murid dan guru dalam sesetengah hal. Murid kadangkala takut untuk
memberitahu sesuatu kepada guru dan ia menjadi tugas ketua kelas untuk
memainkan peranan. Murid juga berasa selamat dan selesa apabila ketua kelas
menjalankan tugasnya. Murid juga takut untuk berbuat bising semasa guru tiada
dengan kawalan ketua kelas. Murid tidak ketinggalan sesuatu kelas kerana ketua
kelas akan bergerak pantas mencari guru yang ditetapkan untuk menggantikan guru
yang tidak hadir.
6.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, kajian yang telah dijalankan ke atas pemimpin murid di sekolah
adalah pemimpin murid membantu dalam kawalan pentadbiran murid dan menyelia
disiplin murid. Ini kerana tugas yang diberikan kepada badan pengawas dan ketua
kelas adalah untuk menegur salah laku murid dan melaporkannya kepada guru
disiplin. Mereka juga menjadi role model kepada murid-murid yang lain.
Murid-murid lain berasa hormat dan takut melakukan kesalahan kerana wujudnya
pengawas di sekolah. Peranan dan tugas ketua kelas dan badan pengawas adalah
seakan sama iaitu bertanggungjawab terhadap guru dan menjadi pemimpin kepada
murid-murid yang lain cuma skop pentadbiran adalah berlainan. Pengawas dan ketua kelas juga menjadi orang
tengah antara murid dan guru dalam sesetengah perkara. Jika pengawas adalah pada keseluruhan murid
tetapi kelas di dalam kelas sahaja. Pun begitu, kedua-kedua tugas mereka adalah
sama iaitu membantu guru dalam melancarkan perjalanan sekolah dan membantu
kawalan disiplin. Dalam mengkaji semula peranan badan pengawas dan ketua kelas,
mereka perlu di beri lebih tanggungjawab supaya mereka akan lebih
bertanggungjawab atas tugas yang diberi kepada mereka. Oleh itu, badan pengawas
dan ketua kelas adalah berperanan penting dalam membantu sekolah melancarkan
perjalanan kawalan pentadbiran dan menyelia disiplin murid.