Afghanistan - Kabul
|
Madagascar - Antananarivo
|
Albania - Tirane
|
Malawi - Lilongwe
|
Algeria - Algiers
|
Malaysia - Kuala Lumpur
|
Argentina - Buenos Aires
|
Maldives - Male
|
Australia - Canberra
|
Mauritius - Port Louis
|
Austria - Vienna
|
Mexico - Mexico City
|
Azerbaijan - Baku
|
Monaco - Monaco
|
The Bahamas - Nassau
|
Mongolia - Ulaanbaatar
|
Bahrain - Manama
|
Morocco - Rabat
|
Bangladesh - Dhaka
|
Mozambique - Maputo
|
Belgium - Brussels
|
Myanmar (Burma) - Rangoon (Yangon);
|
Bosnia and Herzegovina - Sarajevo
|
Namibia - Windhoek
|
Botswana - Gaborone
|
Nepal - Kathmandu
|
Brazil - Brasilia
|
Netherlands - Amsterdam;
|
Brunei - Bandar Seri Begawan
|
New Zealand - Wellington
|
Bulgaria - Sofia
|
Nicaragua - Managua
|
Cambodia - Phnom Penh
|
Nigeria - Abuja
|
Cameroon - Yaounde
|
Norway - Oslo
|
Canada - Ottawa
|
Oman - Muscat
|
Chile - Santiago
|
Pakistan - Islamabad
|
China - Beijing
|
Panama - Panama City
|
Colombia - Bogota
|
Papua New Guinea - Port Moresby
|
Costa Rica - San Jose
|
Paraguay - Asuncion
|
Croatia - Zagreb
|
Peru - Lima
|
Cuba - Havana
|
Philippines - Manila
|
Czech Republic - Prague
|
Poland - Warsaw
|
Denmark - Copenhagen
|
Portugal - Lisbon
|
East Timor - Dili
|
Qatar - Doha
|
Ecuador - Quito
|
Romania - Bucharest
|
Egypt - Cairo
|
Russia - Moscow
|
Ethiopia - Addis Ababa
|
Saudi Arabia - Riyadh
|
Fiji - Suva
|
Senegal - Dakar
|
Finland - Helsinki
|
Serbia - Belgrade
|
France - Paris
|
Seychelles - Victoria
|
Germany - Berlin
|
Singapore - Singapore
|
Ghana - Accra
|
Slovakia - Bratislava
|
Greece - Athens
|
Slovenia - Ljubljana
|
Guatemala - Guatemala City
|
Somalia - Mogadishu
|
Hungary - Budapest
|
South Africa - Pretoria (administrative); Cape Town (legislative);
|
Iceland - Reykjavik
|
Spain - Madrid
|
India - New Delhi
|
Sri Lanka - Colombo; Sri Jayewardenepura Kotte (legislative)
|
Indonesia - Jakarta
|
Sudan - Khartoum
|
Iran - Tehran
|
Swaziland - Mbabana
|
Iraq - Baghdad
|
Sweden - Stockholm
|
Ireland - Dublin
|
Switzerland - Bern
|
Israel - Jerusalem
|
Syria - Damascus
|
Italy - Rome
|
Tajikistan - Dushanbe
|
Jamaica - Kingston
|
Tanzania - Dar es Salaam; Dodoma (legislative)
|
Japan - Tokyo
|
Thailand - Bangkok
|
Jordan - Amman
|
Togo - Lome
|
Kazakhstan - Astana
|
Tonga - Nuku'alofa
|
Kenya - Nairobi
|
Trinidad and Tobago - Port-of-Spain
|
Korea, North - Pyongyang
|
Tunisia - Tunis
|
Korea, South - Seoul
|
Turkey - Ankara
|
Kuwait - Kuwait City
|
Turkmenistan - Ashgabat
|
Kyrgyzstan - Bishkek
|
Tuvalu - Vaiaku village, Funafuti province
|
Laos - Vientiane
|
Uganda - Kampala
|
Lebanon - Beirut
|
Ukraine - Kyiv
|
Libya - Tripoli
|
United Arab Emirates - Abu Dhabi
|
United Kingdom - London
| |
United States - Washington D.C.
| |
Uruguay - Montevideo
| |
Uzbekistan - Tashkent
| |
Vatican City (Holy See) - Vatican City
| |
Venezuela - Caracas
| |
Vietnam - Hanoi
| |
Yemen - Sanaa
| |
Zambia - Lusaka
| |
Zimbabwe - Harar
|
Wednesday, June 12, 2013
nama-nama ibu negara di dunia
PERANAN UTAMA DAN TANGGUNGJAWAB PENOLONG KANAN HAL EHWAL MURID
1.0 PENGENALAN
Di
dalam sesebuah sekolah, pelajar merupakan 'pelanggan' kepada guru-guru. Sebagai
seorang 'pelanggan' mereka harus di jaga dan dilayan dengan baik. Keperluan
mereka perlu didahulukan. Pengetua
sebagai ketua di dalam sesebuah sekolah akan dibantu oleh Guru Penolong Kanan
Hal Ehwal Pelajar untuk menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan pelajar
untuk mencapai Dasar Pendidikan Kebangsaan. Beliau bertanggungjawab
mempertingkatkan kebajikan pelajar dan penerapan nilai-nilai murni dalam diri
setiap pelajar. Tugas Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar tidak terhad kepada
disiplin sahaja tetapi merangkumi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling,
perkhidmatan kesihatan sekolah, pengurusan biasiswa sekolah, skim pinjaman buku
teks, asrama (jika ada), kantin dan kebajikan pelajaran. Beliau juga
bertanggungjawab terhadap pentadbiran sekolah semasa ketiadaan guru dan perlu
mengajar sebilangan waktu bagi mata pelajaran tertentu.
Seorang
Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar haruslah mempunyai pengetahuan dan kemahiran
yang baik dalam bidang perhubungan manusia kerana beliau perlu berkomunikasi
secara efektif dengan pelajar dan juga ibu bapa dan penjaga. Beliau juga perlu
memiliki gaya berfikir yang kreatif dan kritis dalam menjalankan tugas dan
menyelesaikan masalah hal ehwal pelajar yang menjadi tanggungjawab kepada
beliau. Selain itu juga beliau perlu membantu dalam perkembangan diri pelajar
supaya murid berfungsi sebagai individu yang seimbang, berdikari, berpengetahuan
dan berkemahiran, berfikiran kreatif dalam memupuk potensi dan kebolehan diri ke
tahap yang maksimum. Peranan seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar adalah
sangat diperlukan di sesebuah sekolah dalam melaksanakan tugas yang berkaitan
dengan pelajar.
2.0 METHODOLOGI
Dalam laporan yang disediakan ini, sebuah sekolah
rendah di Negeri Selangor telah dipilih untuk dikaji peranan utama dan
tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam menjaga Hal Ehwal Murid
dalam sesebuah sekolah. Selain itu, membincangkan persamaan dan perbezaan tugas
dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid seperti yang telah digariskan
di topik 1 dalam modul kursus HBEM 2401. Dalam laporan ini juga di sertakan
dengan penilaian terhadap Penolong Kanan Hal Ehwal Murid oleh guru yang
membantu menjalankan tugas-tugas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan.
Nama Sekolah dan nama - nama guru yang terlibat adalah dirahsiakan untuk tujuan
keselamatan. Saya telah memilih Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan seorang guru
yang merupakan setiausaha kepada unit Hal Ehwal Murid. Pemilihan kedua-kedua
penolong kanan dan guru setiausaha unit Hal Ehwal Murid adalah tepat dengan
kajian yang dijalankan ini.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid membantu dalam
mendapatkan maklumat tentang tugas-tugas beliau dengan lebih terperinci. Beliau
telah berkhidmat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid selama tiga tahun.
Beliau juga pernah menjadi Guru Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah
sebelumnya. Beliau berkongsi maklumat tentang pengalaman beliau dan juga
pengalaman beliau sebagai guru biasa yang pernah membantu Guru Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid yang sebelumnya. Seorang lagi guru yang telah saya pilih adalah
seorang setiausaha bagi unit Hal Ehwal Murid. Beliau membantu Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid dalam segala hal yang berkaitan dengan tugas Hal Ehwal Murid.
Beliau berkongsi maklumat tentang penilaian tugas Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid dari segi perancangan dan tanggungjawab utama dalam Hal Ehwal Murid.
Selain
dari temu bual yang dijalankan ke atas
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan setiausaha beliau, saya juga diberi
kebenaran untuk melihat Fail Meja Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, rekod
mesyuarat unit Hal Ehwal Murid, buku panduan disiplin, buku pengurusan kantin,
skim buku teks, fail kaunseling dan beberapa dokumen yang berkaitan dengan Hal
Ehwal Murid. Dokumen ini saya jadikan panduan dan rujukan untuk menyempurnakan
kajian ini. Bagi mendapatkan perbandingan yang dikehendaki, Modul Pengurusan
Konflik Dalam Pentadbiran Pelajar, HBEM 2401 menjadi rujukan utama saya.
Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan yang dapat dilihat jika berpandukan
Modul dan temu bual. Selain itu juga, saya telah membuat rujukan lain iaitu
dari laman sesawang yang berkaitan. Kebanyakan dari laman Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid yang di rujuk. Hasil kajian dan temu ramah saya di dalam laporan di
bawah.
3.0 PERANAN
UTAMA DAN TANGGUNGJAWAB PENOLONG KANAN HAL EHWAL
MURID DAN PERBANDINGAN DENGAN YANG DIGARISKAN DALAM
TOPIK 1
Peranan
utama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah menjalankan tugas dan tanggungjawab
pentadbiran semasa ketiadaan Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran. Beliau
berhak membuat keputusan dan menandatangani dokumen bagi pihak Guru Besar.
Beliau juga perlu mengajar sebilangan waktu bagi mata pelajaran tertentu
mengikut bidang pengkhususan beliau atau mengikut arahan Guru Besar dari masa
ke masa. Selain dari itu, beliau bertanggungjawab terhadap Guru Besar dalam
soal kurikulum, ko-kurikulum, disiplin, bimbingan dan kaunseling. Beliau juga
perlu memastikan keselamatan murid adalah terjamin semasa berada di kawasan
sekolah dan mengikut prosedur dan peraturan. Kebajikan murid, skim pinjaman
buku teks dan hal kantin sekolah perlu diuruskan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal
murid. Selain itu, beliau juga berperanan membantu Guru Besar menyelia dan
menilai prestasi perkhidmatan guru dan kakitangan bukan guru dan membantu
memastikan perancangan dan pengurusan berjalan dengan lancar. Peranan dan
tanggungjawab ini mempunyai persamaan dan perbezaan dengan yang telah
digariskan di topik satu. Persamaan dan perbezaan ini akan dibincangkan di
bawah.
3.1
JAWATANKUASA INDUK HAL EHWAL MURID
Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid berperanan untuk mewujudkan satu jawatan kuasa induk Hal
Ehwal Murid yang dipengerusikan oleh Guru Besar dan beliau menjadi naib
pengerusi pertama. Tanggungjawab beliau dari segi pentadbiran hal ehwal murid
adalah menyemak buku kehadiran murid bagi memastikan butirannya di kemas kini,
menguruskan kemasukan dan pertukaran murid antara sekolah dengan mengisi borang
yang telah ditetapkan. Selain itu, beliau juga perlu menguruskan sijil-sijil
murid dan mengedarkan sijil berhenti sekolah murid. Beliau juga bertanggungjawab untuk membantu dalam
merancang dan penyediaan takwim sekolah. Di dalam topik satu, tidak dinyatakan
bahawa beliau bertanggungjawab beliau
untuk menyemak buku kehadiran murid
tetapi beliau adalah individu yang menguruskan pertukaran murid,
menguruskan sijil-sijil murid dan mengedarkan sijil berhenti sekolah. Selain
itu, di dalam topik satu tidak dinyatakan secara langsung tentang jawatankuasa
induk hal ehwal murid. Hanya skop ini diletakkan di bawah tanggungjawab
pengurusan hal ehwal murid. Oleh itu, terdapat persamaan dan perbezaan antara
peranan sebenar dan yang terdapat di dalam topik satu.
. 3.2 LEMBAGA DISIPLIN DAN TATATERTIB
Peranan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam
lembaga disiplin dan tatatertib adalah beliau bertanggungjawab untuk menerapkan
amalan-amalan dan nilai murni di kalangan murid di sekolah. Sebagai contoh,
murid perlu memberi salam kepada guru jika berselisih dengan guru. Beliau juga
perlu memastikan semua murid mematuhi arahan dan undang-undang sekolah dan
bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap murid yang melanggar
peraturan. Tindakan yang di ambil perlu mengikut peraturan yang telah di gariskan. Bagi murid yang
terlibat dalam salah laku peraturan, beliau perlu menyediakan rekod disiplin
agar murid yang sama tidak melakukan kesalahan yang berulang. Satu laporan yang
lengkap perlu dibuat mengenai perkara berkenaan dan dibentangkan kepada lembaga
tatatertib sekolah. Selain itu, beliau salah seorang individu yang
bertanggungjawab untuk melantik badan pengawas dan menjadi penyelaras badan
tersebut. Perbandingan dengan topik satu dengan peranan dan tanggungjawab
sebenar Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah sama. Ini kerana lembaga disiplin
dan tatatertib adalah antara tugas utama beliau dalam pengurusan hal ehwal
murid tetapi dari segi perlantikan pengawas, beliau tidak mempunyai kuasa penuh
untuk melantik pengawas. Keputusan perlantikan badan pengawas adalah di buat
bersama oleh ahli lembaga disiplin sekolah.
3.3 JAWATANKUASA BIMBINGAN DAN KAUNSELING
Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid merupakan pengerusi kepada jawatankuasa bimbingan dan
kaunseling sekolah. Sebagai pengerusi beliau berperanan merancang dan
menyelaras program di bawah jawatankuasa bimbingan dan kaunseling. Beliau
bertanggungjawab untuk menyediakan rekod murid yang menghadapi masalah dari
segi pelajaran, sosial, keluarga, kesihatan dan kerjaya. Beliau juga perlu bekerjasama dengan guru
bimbingan dan kaunseling perlaksanaan khidmat bimbingan dan kaunseling. Sebagai contoh, beliau telah mengenal pasti
murid yang bermasalah dan menjadi tanggungjawab beliau untuk menguruskan
perjumpaan murid berkenaan dengan unit bimbingan dan kaunseling. Selain itu,
beliau juga perlu merancang dan melaksanakan program suai kenal kepada
murid-murid baru terutama murid tahun satu. Oleh itu, peranan jawatan kuasa
bimbingan dan kaunseling dan Penolong Kanan Hal Ehwal murid bukan sahaja untuk
murid bermasalah tetapi juga murid yang baru. Perbandingan yang di buat antara
peranan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang sebenar dan topik satu iaitu merancang
dan menyelaras program adalah sama dengan peranan sebenar Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid. Perbezaan di dalam topik satu adalah hanya menekankan tentang
penyalahgunaan dadah tetapi peranan yang sebenar adalah lebih dari itu iaitu
beliau perlu mengenal pasti murid yang bermasalah dan menguruskan perjumpaan
dengan unit bimbingan dan kaunseling.
3.4 KEBAJIKAN MURID
Menjadi tanggungjawab Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid menjaga kebajikan murid di sekolah. Ia selaras dengan peranan beliau
menjaga hal ehwal murid iaitu beliau perlu mengambil tahu permasalahan murid,
murid yang memerlukan bantuan dan yang ketinggalan dalam pelajaran. Kebajikan
murid juga ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan seorang
guru penyelaras bagi menyelaras segala hal kebajikan murid si sekolah. Oleh
itu, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk menguruskan kemudahan
perubatan dan rawatan di kalangan murid. Terdapat persamaan peranan Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid yang sebenar dan di dalam topik satu iaitu beliau perlu
mendapatkan bantuan bagi menguruskan permasalahan murid jika beliau tidak dapat
menyelesaikan nya di dalam kawasan sekolah.
3.5 SKIM PINJAMAN BUKU TEKS
Menurut peruntukan baru kerajaan, semua
murid adalah layak menerima pinjaman buku teks. Peranan Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid adalah melantik penyelaras buku teks dari kalangan guru sekolah
berserta ahli jawatan kuasanya untuk menguruskan segala hal penerimaan dan
pengagihan buku teks. Beliau juga bertanggungjawab dalam penghapus kira
buku-buku teks berkenaan. Beliau perlu
mengawal semua stok buku teks yang ada dan bilik skim pinjaman buku teks.
Selain itu, beliau juga berperanan menyediakan anggaran belanjawan menguruskan
Skim Pinjaman Buku Teks di sekolah. Dari segi skim pinjaman buku teks peranan
dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah sama dengan yang
dinyatakan di topik satu. Ini kerana ia merupakan antara tanggungjawab utama
beliau untuk menerima buku teks dari pengedar dan beliau juga perlu memastikan
buku teks di cap, di rekod dalam stok dan juga di simpan dengan baik.
3.6 KANTIN SEKOLAH
Kantin adalah merupakan antara tempat yang
penting di sekolah. Kantin adalah kawasan di mana murid bergaul dengan rakan
dari kelas yang lain dan murid berehat menikmati makanan yang di jual mahupun
yang di bawa dari rumah. Menjadi kewajipan kepada murid supaya tidak berada di
dalam kelas sewaktu rehat. Menjadi tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
adalah untuk memastikan makanan yang dijual di kantin adalah bersih, selamat
dan terjamin. Peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang
sebenar dan yang dinyatakan di topik adalah sama di mana beliau perlu
memastikan pengusaha kantin mengikut panduan yang telah ditetapkan. Hal ini
adalah supaya tidak berlaku hal yang tidak di inginkan seperti keracunan
makanan terhadap guru dan murid-murid sekolah. Oleh itu pembelajaran dan
pengajaran dapat dijalankan dengan lancar.
3.7 RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN DAN PROJEK
SUSU SEKOLAH
Rancangan makanan tambahan dan projek susu
sekolah adalah untuk murid yang kurang berkemampuan. Menjadi tanggungjawab
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mengenal pasti murid yang kurang berkemampuan
untuk di berikan rancangan makanan tambahan sebagai membantu meringankan
keluarga supaya tidak perlu mengeluarkan wang belanja harian kepada murid. Di
dalam topik satu tidak dinyatakan tentang peranan Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid dalam rancangan makanan tambahan dan projek susu sekolah tetapi ia
merupakan salah satu peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
di sekolah.
3.8 PROGRAM BEBAS DENGGI
Denggi merupakan suatu wabak yang serius.
Oleh itu, satu jawatankuasa yang dikelola oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
diwujudkan bagi mencegah wabak ini di sekolah. Beliau bertanggungjawab untuk
mengadakan kempen kesedaran kepada murid tentang bahawa bahayanya denggi.
Beliau berperanan menghapuskan kawasan-kawasan yang boleh menyebabkan pembiakan
nyamuk aedes dan seterusnya menjadikan sekolah bebas denggi. Di dalam topik
satu tidak dinyatakan tugas ini. Peranan ini diwujudkan di sekolah kerana
keadaan semasa sekolah. Sekolah ini terletak di kawasan bandar, oleh itu
kebarangkalian terdapat tempat pembiakan nyamuk aedes adalah tinggi. Oleh itu,
program ini diwujudkan bagi mencegah dari terkena wabak ini.
3.9 ASRAMA
Di
dalam topik satu ada dinyatakan peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid dalam menguruskan kemasukan dan penempatan murid ke asrama. Di
sekolah yang dikaji peranan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, merupakan sekolah
rendah dan tidak mempunyai asrama. Oleh itu, perbandingan tugas Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid tidak dapat dibuat kerana ia tidak termasuk dalam tugas
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan tetapi jika sekolah berkenaan
mempunyai asrama ia merupakan antara tugas penting Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid.
3.10 KEBERSIHAN DAN KECERIAAN
Kebersihan dan keceriaan adalah
tanggungjawab bersama warga sekolah. Penolong Kanan Hal Ehwal murid berperanan
memastikan sekolah berada dalam keadaan yang bersih dan ceria. Oleh itu, di
wujudkan satu pertandingan kebersihan kelas bagi setiap minggu. Kelas yang
terbersih akan diberi piala pusingan dan di akhir tahun akan dikira bilangan
kemenangan dan diberikan ganjaran. Pertandingan ini di anjurkan oleh
Jawatankuasa Kebersihan dan Keceriaan yang dipertanggungjawabkan ke atas
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Di dalam topik satu tidak dinyatakan
tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid terhadap kebersihan dan keceriaan sekolah.
Sebenarnya tugas ini adalah penting bagi memupuk budaya sekolah yang cintakan
kebersihan. Sekolah yang bersih akan menjadikan pembelajaran lebih selesa.
3.11 GURU BERTUGAS
Setiap guru diberi kumpulan bertugas
mingguan. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah bertanggungjawab memastikan
guru-guru menjalankan tugas. Beliau juga perlu menerima laporan mingguan
daripada guru-guru yang bertugas. Satu program yang dijalankan di sekolah
adalah program guru penyayang. Guru yang bertugas pada minggu berkenaan perlu
menunggu kedatangan murid di pagar hadapan sekolah dan menyambut kedatangan
murid sebagai tanda penghargaan murid hadir ke sekolah. Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid bertanggungjawab mengetuai guru-guru menyambut kedatangan murid.
Tugas ini di
4.0 PENILAIAN
TERHADAP PRESTASI PENOLONG KANAN HAL EHWAL MURID
Peranan
dan tanggungjawab seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah besar. Beliau
diumpamakan sebagai baby sitter murid di sekolah. Segala hal kemasukan
murid, perpindahan murid, permasalahan murid, pembelajaran dan pembelajaran
murid di uruskan oleh beliau. Beliau juga terlibat dalam pentadbiran sekolah
dan mengajar beberapa waktu yang ditetapkan. Menurut temu bual yang dijalankan
terhadap setiausaha beliau mendapati bahawa untuk menjadi seorang Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid mestilah seorang yang mempunyai semangat kerja yang
tinggi dan minat akan profesion ini. Ini kerana segala hal ehwal murid
diletakkan di bahu beliau. Dari segi perancangan, beliau telah memilih
jawatankuasa induk hal ehwal murid untuk membantu beliau dalam hal pentadbiran
hal ehwal murid. Beliau telah menjalankan mesyuarat bersama Guru Besar,
Penolong Kanan yang lain yang juga naib pengerusi bersama jawatankuasa induk
hal ehwal murid berserta semua barisan jawatankuasa yang telah dilantik. Di
dalam mesyuarat berkenaan beliau telah membentangkan perancangan yang dibuat
untuk tahun berkenaan. Segala aktiviti telah dirancang dengan teliti bagi memperbaiki
disiplin dan pengurusan di tahun sebelumnya. Beliau juga meminta pandangan
tentang perancangan yang telah dibuat supaya beliau dapat memperbaikinya agar
semuanya berjalan dengan lancar.
Peranan
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sebagai naib pengerusi lembaga disiplin sekolah
yang juga individu yang bertanggungjawab terhadap perlantikan badan pengawas
sekolah dilihat sebagai individu yang tepat kerana beliau menguruskan semua hal
ehwal murid. Sebelum perlantikan pengawas dijalankan, jawatankuasa lembaga
disiplin dibentuk. Guru disiplin dan guru pengawas dilantik. Beliau
bersama-sama jawatankuasa berbincang untuk meningkatkan tahap disiplin di
sekolah. Beliau juga memberikan garis panduan kepada guru pengawas semasa
perlantikan pengawas supaya pengawas yang dilantik benar-benar layak memimpin.
Beliau juga terlibat secara langsung semasa perlantikan pengawas dibuat dengan
beliau adalah salah seorang panel pemilih badan pengawas. Beliau dilihat begitu
komited dalam pemilihan badan pengawas kerana ini akan mencerminkan budaya dan
iklim sekolah. Sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga tegas dalam
permasalahan disiplin murid tetapi di dalam ketegasan beliau tetap mempunyai
kelembutan di dalam menjalankan tugas-tugas beliau. Ini dilihat semasa beliau
mengarahkan jawatankuasa beliau menjalankan tugas, beliau mengambil kira
sebagai guru mempunyai tugas-tugas mengajar. Beliau memberikan tempoh masa
kepada jawatankuasa beliau untuk menyiapkan tugas.
Selain
itu, peranan beliau sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap skim buku
teks juga dilihat beliau memastikan bekalan buku teks mencukupi berdasarkan
jumpa murid. Beliau juga memastikan semua murid mendapat buku teks yang baik
dan memulangkannya dalam keadaan yang baik juga. Beliau cepat bertindak jika
kekurangan buku dilaporkan. Ini adalah kerana beliau tidak mahu murid tercicir dalam
pelajaran hanya kerana kekurangan buku teks. Oleh itu, penilaian positif
diberikan oleh responden terhadap peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid di sekolah. Peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid adalah besar kerana beliau merupakan penggerak nadi sekolah iaitu core
business (murid) sekolah adalah di bawah pengawasan beliau.
5.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, kajian yang telah di jalankan ke atas pengurusan hal ehwal
murid di sekolah dapat mengkaji peranan dan tanggungjawab individu yang
bertanggungjawab terhadap pengurusan murid iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid. Peranan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid tidak terhad kepada pentadbiran
sahaja. Sebagai seorang guru beliau perlu mengajar beberapa waktu seminggu.
Peranan utama beliau adalah menjalankan segala tugas pentadbiran semasa
ketiadaan Guru Besar, bertanggungjawab
kepada Guru Besar dalam soal kurikulum, ko-kurikulum, disiplin, bimbingan dan
kaunseling. Beliau berperanan memastikan keselamatan murid, skim pinjaman buku
teks dan merancang pengurusan sekolah. Beliau menjadi naib pengerusi
jawatankuasa induk hal ehwal murid. Jawatankuasa ini berperanan menguruskan hal
kemasukan dan murid bertukar sekolah. Selain itu, peranan beliau juga di
lembaga disiplin dan tatatertib, bimbingan dan kaunseling, kebajikan murid,
pengurusan kantin, skim pinjaman buku teks, rancangan makanan tambahan, program
bebas denggi, keselamatan sekolah, kebersihan dan keceriaan sekolah dan guru bertugas.
Perbandingan
dilakukan antara peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang
sebenar dengan yang telah digariskan di dalam topik satu modul Pengurusan
Konflik dalam Pentadbiran Pelajar. Peranan dan tanggungjawab Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid tidak banyak bezanya. Cuma terdapat perbezaan apabila di dalam
topik satu menggariskan peranan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di asrama,
program bebas denggi, kebersihan dan keceriaan dan guru bertugas. Bagi asrama,
sekolah yang dijalankan kajian ini tidak
yang mempunyai asrama. bagi program bebas denggi, kebersihan dan keceriaan dan
guru bertugas pula, ia lebih detail di sekolah berbanding di dalam buku. Ia
merupakan keperluan semasa sekolah. Penilaian yang telah dibuat memberikan
bukti bahawa peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid adalah besar dan menjalankan core business sekolah yang utama.
Oleh itu, keseluruhannya peranan dan
tanggungjawab Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah sama perbezaan yang adalah
bergantung kepada situasi dan keadaan keperluan tersebut sahaja.
6.0 RUJUKAN
Hassan Samad, Abd Aziz Jaafar ( Oktober
2011 ), Modul Conflict Management in Student Affair (HBEM 2403).
Fail Meja Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Temu ramah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Temu ramah Setiausaha Jawatankuasa Induk
Hal Ehwal Murid
Tugas Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
capaian 20 Februari 2013 dari http://sekolahkebangsaanararendang.blogspot.com/2011/08/tugas-penolong-kanan-hal-ehwal-murid.html.
Peranan (tugas) Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Biasa Sebagai Guru Disiplin,
capaian 19 Februari 2013 dari http://www.scribd.com/doc/18240009/Peranan-Penolong-Kanan-Hal-Ehwal-Murid.
Peranan Badan Pengawas Sekolah
1.0 PENGENALAN
Disiplin
merupakan batu asas kepada kecemerlangan seseorang murid. Kecemerlangan
sesebuah sekolah adalah bergantung kepada tahap disiplin yang ditunjukkan oleh
murid sekolah tersebut. Bagi sekolah yang mempunyai tahap disiplin yang baik,
sekolah berkenaan pastinya mempunyai tahap pencapaian akademik mahupun
kokurikulum yang boleh dibanggakan. Ini kerana sekolah merupakan tempat di mana
kita menuntut ilmu pengetahuan. Di sekolah juga murid di ajar bagaimana untuk
mendisiplinkan diri dari segi pelajaran dan juga kelakuan. Ini menjadi
tanggungjawab Guru besar untuk membentuk disiplin murid-murid di sekolah. Guru
Besar di bantu oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid membimbing guru-guru untuk
membentuk disiplin murid. Oleh itu, sebuah jawatankuasa disiplin sekolah
diwujudkan. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dipertanggungjawabkan untuk menyelia
badan pengawas yang terletak di bawah jawatan kuasa disiplin sekolah. Badan
pengawas terdiri daripada Guru Disiplin yang menjadi penasihat kepada badan
pengawas, di ketuai oleh Ketua Pengawas iaitu murid yang dilantik dari kalangan
pengawas sekolah dan di bantu oleh Penolong Ketua Pengawas.
Badan
pengawas sekolah ditubuhkan untuk membantu guru-guru menguatkuasakan
undang-undang dan peraturan sekolah. Ketua kelas pula berperanan membantu guru
di dalam kelas. Kita sedia maklum peranan pengawas sekolah dan ketua kelas kerana
kita semua pernah melalui zaman persekolahan. Kita sendiri boleh lihat dan
membuat penilaian terhadap tugas
pemimpin murid di sekolah tetapi di zaman kita menuju ke negara maju perlu
dikaji semula peranan pemimpin murid di sekolah. Ini bertujuan untuk menjadikan
tahap disiplin murid setaraf dengan negara maju yang lain supaya hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat di capai dengan jayanya. Menurut Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara”.
Bilangan
pengawas yang di lantik pula bergantung kepada bilangan murid di sekolah berkenaan.
Ia perlulah bersesuaian dengan keperluan dan bukanlah berlebihan dan menjadikan
ianya tidak praktikal. Bagi membezakan pengawas dan murid sekolah yang lain, pengawas
dikehendaki berpakaian seragam khas. Pakaian seragam ini bergantung kepada
ketetapan pihak sekolah. Sebagai seorang pemimpin, pengawas sekolah dan ketua
kelas perlu mengetahui tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Menurut Krech & Crusthfield (1962), fungsi
pemimpin mentadbir dan menyelaras kelompok, perancang aktiviti yang jelas, tepat,
pembuat polisi, misi organisasi, tempat rujukan, dan penyelesai masalah. Oleh
itu, menjadi setiap pengawas dan ketua kelas yang dilantik perlu di beri kursus
kepimpinan supaya mereka benar-benar bersedia dan layak untuk menjadi pemimpin
kepada murid yang lain.
2.0 METHODOLOGI
Terdapat
beberapa kaedah kajian yang dijalankan ke atas peranan pemimpin murid iaitu
pengawas sekolah dan ketua kelas dalam membantu kawalan pentadbiran sekolah dan
menyelia tingkah laku dan disiplin. Melalui laporan yang disediakan, sebuah
sekolah di Petaling Jaya, Selangor telah dipilih. Faktor pemilihan sekolah ini
adalah kerana sekolah ini terletak di tengah bandar, bilangan murid adalah
sedikit dan latar belakang murid-murid di sekolah ini adalah berbeza antara
satu sama lain. Ini boleh mencabar kepimpinan murid sekolah berkenaan kerana
perbezaan latar belakang tetapi mungkin ia mudah bagi pemimpin murid kerana
bilangan murid yang sedikit. Nama
sekolah yang telah dipilih dan nama guru-guru yang telah ditemu bual adalah
dirahsiakan untuk tujuan keselamatan. Saya telah memilih Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid untuk responden yang pertama di temu bual. Pemilihan Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid adalah kerana badan pengawas terletak di bawah seliaan beliau.
Oleh itu, beliau antara responden yang tepat di pilih.
Selain
itu, seorang lagi responden di kalangan kakitangan sekolah yang dipilih adalah
guru disiplin sekolah berkenaan. Seperti yang diketahui guru disiplin merupakan
penasihat kepada badan pengawas sekolah. Oleh itu, pemilihan beliau adalah
tepat kerana beliau mengetahui peranan pengawas sekolah. Ketua Pengawas Sekolah
dipilih untuk di temu bual bagi kajian ini. Ini kerana beliau merupakan Ketua
kepada keseluruhan badan pengawas dan murid-murid di sekolah. Pendapat beliau
diperlukan kerana beliau yang menjalankan tugas sebagai pengawas dan lebih
memahami tugas-tugas yang telah di berikan kepada beliau. Akhirnya, seorang
murid tahun 6 telah di temu bual untuk mengkaji semula peranan pengawas
sekolah. Pemilihan beliau tepat kerana beliau bukanlah seorang pengawas, dan
beliau adalah murid paling senior di sekolah berkenaan. Oleh itu, beliau sudah
pastinya mengetahui dan boleh membuat penilaian terhadap peranan badan pengawas
dan ketua kelas sekolah.
Selain
dari temuramah yang dijalankan ke atas
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Disiplin, Ketua Pengawas dan seorang murid
Tahun 6, saya juga di benarkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk
melihat buku manual pelaksanaan badan pengawas dan tugas-tugas badan pengawas
yang sedia ada. Saya juga di benarkan melawat bilik badan pengawas sekolah bagi
lebih memahami lagi tugas-tugas badan pengawas. Selain dari itu, untuk
mendapatkan lebih maklumat yang diperlukan, saya juga telah merujuk laman-laman
sesawang yang berkaitan. Di dalam laporan yang disediakan, saya telah mengkaji
semula peranan ketua kelas dan badan pengawas sekolah dan menerangkan peranan
badan pengawas dan ketua kelas secara terperinci. Proses pemilihan murid untuk
menjadi badan pengawas dan ketua kelas juga di kaji bagi mendapatkan murid yang
benar layak menjalankan tugas-tugas sebagai seorang pemimpin. Akhirnya, temu
ramah yang di buat ke atas Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Disiplin
dan dua orang murid adalah untuk membuat penilaian mengenai peranan badan
pengawas dan ketua kelas. Hasil kajian dan temu ramah di dalam laporan di
bawah.
3.0 PERANAN
BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
Badan
pengawas dan ketua kelas merupakan suatu badan yang dipertanggungjawabkan untuk
pemimpin kepada murid-murid yang lain. Sebelum memahami peranan badan pengawas
dan ketua kelas, perlu di fahami dahulu peranan pemimpin. Menurut Miftha
Thoha dalam bukunya Prilaku Organisasi
(1983 : 255), pemimpin adalah seorang yang memiliki kemampuan memimpin, iaitu memiliki
kemampuan untuk mempengaruhi orang lain atau kelompok tanpa mengindahkan bentuk
alasannya. Oleh itu, seseorang pemimpin itu menjadi lambang kepada organisasi,
menjadi model kepada ahli-ahli yang dipimpin dan menjadi tempat rujuk kepada
ahli-ahli yang lain. Seorang pemimpin yang baik perlu mempunyai ciri-ciri
pemimpin seperti kemahuan untuk memimpin, memahami kejelasan matlamat pemimpin, tegas dan konsisten, sabar dan
mempunyai budi bicara. Setelah memahami peranan dan ciri-ciri pemimpin,
pengawas dan ketua dapat menjalankan peranan mereka sebagai pemimpin di
kalangan rakan-rakan mereka.
3.1 BADAN PENGAWAS
Peranan
badan pengawas adalah besar di dalam organisasi badan pengawas itu sendiri dan
juga sekolah. Peranan utama badan pengawas adalah tanggungjawab terhadap
sekolah. Badan pengawas perlu melaksanakan peraturan dan undang-undang sekolah.
Badan disiplin sekolah telah menetapkan peraturan dan undang-undang sekolah
yang boleh dan tidak boleh dilakukan, badan pengawas menjadi pelaksana iaitu
sebagai mata dan telinga guru-guru bagi memastikan semua murid mengikut
peraturan yang telah di tetapkan. Sebagai contoh, murid makan dan minum di
dalam kelas. Di dalam peraturan yang telah ditetapkan, murid-murid tidak
dibenarkan berada di dalam kelas sewaktu rehat tetapi ada murid yang degil
makan dan minum di dalam kelas. Pengawas perlu menegur dan melarang murid
melakukannya. Jika perlu, murid perlu memberitahu kepada guru untuk tindakan
yang lanjut. Selain itu, peranan badan pengawas adalah menjaga nama baik
sekolah. Sebagai seorang pemimpin yang baik, adalah menjadi tanggungjawab
pengawas menjaga nama baik sekolah supaya masyarakat tidak memandang serong
kepada institusi sekolah. Selain itu, badan pengawas perlu memelihara iklim
sekolah. Iklim sekolah mempengaruhi perkembangan murid-murid dengan sekolah
yang terkawal, tenang dan tertib. Oleh itu, badan pengawas perlu membantu guru
memelihara iklim sekolah.
Peranan
lain badan pengawas adalah tanggungjawab terhadap guru dan pelajar lain.
Peranan terhadap guru adalah memberi maklumat kepada guru. Pengawas merupakan
agent kepada guru iaitu menjadi mata dan telinga guru. Segala salah laku murid,
sudah menjadi tanggungjawab pengawas melaporkan kepada guru. Sebagai contoh,
murid yang datang lewat ke sekolah, pengawas perlu mengambil nama dan
memberikan kepada guru untuk tindakan yang selanjutnya. Ini adalah kerana ia
menjadi tanggungjawab badan pengawas untuk bersama-sama membanteras kegiatan
dan masalah laku murid-murid agar sekolah dapat memelihara iklim sekolah dan
seterusnya dapat melahirkan murid-murid yang berjaya. Antara tugas peranan
utama badan pengawas lagi adalah, mengambil berat akan masalah murid yang lain.
Murid-murid mungkin adalah masalah yang tidak selesa diceritakan kepada
guru-guru atau ibu bapa, pengawas boleh bertindak sebagai rakan baik dengan
menasihatkan. Jika tidak mampu membantu, pengawas boleh meminta pandangan guru
disiplin untuk menyelesaikannya. Selain itu, badan pengawas perlu menunjukkan teladan
yang baik kepada murid-murid yang lain. Mereka perlu menjadi role model
kepada murid-murid yang lain. Dengan kelakuan yang baik, dengan secara tidak
langsung murid-murid akan berasa hormat dan mahu mendengar arahan dari
pengawas. Jika perangai pengawas juga tidak berdisiplin, murid-murid lain akan
hilang rasa hormat terhadap pengawas dan seterusnya tidak berasa takut untuk
melanggar peraturan sekolah. Oleh peranan badan pengawas adalah penting bagi
membentuk iklim sekolah dan secara tidak langsung meningkatkan kecemerlangan
murid dari segi akademik dan juga kokurikulum. Ini kerana disiplin merupakan
teras utama kejayaan seseorang itu.
3.2 KETUA KELAS
Kelas
merupakan sebuah organisasi yang diketuai ketua kelas atau ketua darjah. Apa
pun panggilannya, peranan ketua kelas adalah penting bagi memastikan pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas dapat dijalankan dengan jayanya. Peranan utama
ketua kelas adalah sama dengan badan pengawas iaitu, bertanggungjawab pada diri
sendiri, bertanggungjawab terhadap sekolah dan guru dan tanggungjawab terhadap
murid yang lain. Ketua kelas perlu menjaga disiplin diri di samping menjaga
disiplin rakan sekelas. Ketua kelas menjadi role model kepada murid lain
di dalam kelas sendiri. Sebagai contoh semasa ketiadaan guru di dalam kelas,
ketua kelas harus menjaga situasi kelas agar tidak bising dan tidak
bermain-main di dalam kelas dan bukannya bersama-sama bermain dengan rakan yang
lain. Jika hal ini berlaku, akan hilang rasa hormat rakan sekelas terhadap
ketua kelas. Menjadi peranan ketua kelas juga untuk memastikan kelas sentiasa
berada di dalam kemas. Sebagai ketua, ketua kelas perlu mengingatkan
rakan-rakan sekelas supaya menjaga kebersihan dan bertugas mengikut jadual
tugas yang telah diberikan. Jika kelas berada dalam keadaan yang kotor, akan
menyebabkan murid kurang selesa untuk belajar.
Peranan
ketua kelas terhadap guru adalah dengan membantu guru memberitahu bilangan
murid yang tidak hadir ke kelas, menghantar buku latihan yang telah dikumpulkan
ke bilik guru dan melihat jadual guru ganti jika guru yang sepatutnya masuk,
tidak hadir. Ketua kelas perlu memanggil guru yang di tugaskan untuk
menggantikan guru yang tidak hadir. Ketua kelas harus menzahirkan rasa hormat
terhadap guru supaya rakan sekelas yang lain juga akan mengikutinya. Melaporkan
kerosakan perabot dan alatan elektrik juga menjadi peranan ketua kelas. Ini
penting agar murid-murid di dalam kelas berkenaan dapat mengikuti pengajaran
dan pembelajaran dengan selesa dan membuatkan murid minat untuk belajar. Oleh
itu, peranan ketua kelas adalah sama penting dengan tugas badan pengawas cuma
yang membezakan ketua kelas di dalam skop kelas sahaja tetapi ketua kelas juga
merupakan pemimpin di dalam bilik darjah mereka. Ia merupakan suatu
tanggungjawab yang besar yang di amanahkan kepada murid yang dipilih dan ia
juga dapat membentuk iklim di dalam kelas supaya pembelajaran dapat di jalankan
dengan jayanya.
4.0 PROSES
PEMILIHAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
4.1 BADAN PENGAWAS
Pemilihan
badan pengawas dan ketua kelas adalah melalui beberapa prosedur. Bagi
perlantikan pengawas sekolah, badan disiplin sekolah akan mengadakan mesyuarat
dengan semua guru untuk pencalonan murid yang sesuai dilantik menjadi pengawas
sekolah. Ciri-ciri seorang pengawas yang dilantik adalah seorang yang berdisiplin,
adil dan saksama, cemerlang dalam pelajaran, sentiasa mahu belajar perkara yang
baru dan mahir berkomunikasi dan paling penting mahir mengurus masa yang baik.
Setelah senarai nama calon-calon pengawas di serahkan kepada badan disiplin,
badan disiplin akan bermesyuarat untuk menyenaraikan senarai pendek bakal-bakal
pengawas yang akan dilantik. Apabila senarai nama calon-calon dikeluarkan,
surat dikeluarkan untuk memaklumkan kepada ibu bapa bahawa anak mereka terpilih
untuk dicalonkan menjadi pengawas sekolah. Surat ini dikeluarkan sebelum cuti
persekolahan hujung tahun. Ibu bapa akan membalas surat pemberitahuan berkenaan
sebagai tanda setuju atau tidak.
Calon-calon
yang telah mendapat persetujuan dari ibu bapa akan dipanggil untuk di temuduga.
Temuduga berkenaan dijalankan oleh barisan kepimpinan iaitu guru disiplin, Guru
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Besar. Semasa proses ini, barisan
kepimpinan akan melihat sejauh mana kebolehan murid berkomunikasi dan menguji
keyakinan murid berdepan dengan pelbagai situasi, berfikiran positif dan
terbuka. Sebagai contoh, Guru Disiplin akan memberi suatu situasi permasalahan,
calon berkenaan diminta untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan. Pemarkahan
akan di kira melalui kebijaksanaan murid menyelesaikan situasi berkenaan dengan
bijak dan berkesan. Calon-calon yang berjaya meyakinkan barisan kepimpinan
semasa temuduga, akan diberitahu dan akan diberi tempoh percubaan. Semasa
tempoh ini, calon-calon akan memakai pakaian seragam seperti murid-murid yang
lain tetapi mempunyai tanda nama pengawas percubaan. Calon akan diberi tugas
dan peranan seperti barisan pengawas yang lain. Di dalam tempoh percubaan ini
calon akan dipantau oleh guru disiplin dan rakan- rakan pengawas yang lain. Satu
kursus kepimpinan akan di jalankan ke atas calon-calon pengawas. Di sini sekali
lagi mereka akan diuji ciri-ciri kepimpinan mereka.
Oleh
itu, jika calon-calon itu benar-benar layak dan mampu menjalankan tanggungjawab
sebagai pengawas sekolah, calon akan dilantik secara rasminya. Majlis
perlantikan akan dijalankan di perhimpunan pagi di hadapan semua guru-guru dan
murid-murid sekolah berkenaan. Ketua Pengawas, Penolong Ketua Pengawas juga
diberi watikah perlantikan ketika itu. Setelah mendapat watikah perlantikan,
badan pengawas akan membaca ikrar sebagai tanda janji akan menjalankan tugas
dengan baik. Selain itu, badan pengawas
itu sendiri mempunyai mesyuarat mereka sendiri. Ia dipengerusikan oleh Ketua
Pengawas dan guru disiplin sebagai penasihat kepada mesyuarat berkenaan. Di
dalam mesyuarat itu, setiap pengawas akan diberi tugas khusus sebagai contoh,
pengawas yang menjaga pintu pagar hadapan dan belakang. Pengawas juga
dipecahkan kepada kumpulan bertugas mingguan di perhimpunan sekolah. Oleh itu,
perlantikan badan pengawas dibuat dengan begitu teliti agar pemilihan adalah
tepat dengan objektifnya untuk menjadikan sekolah tempat untuk menuntut ilmu
dan murid-murid selesa berada di sekolah. Pengawas boleh berdikari sendiri
dengan menjalankan mesyuarat badan pengawas mereka.
4.2 KETUA KELAS
Perlantikan
ketua kelas agak berbeza dengan perlantikan pengawas. Perlantikan ketua kelas
dibuat di dalam kelas. Biasa nya guru sudah mengenal pasti murid yang
berkelayakan di dalam kelas. Ketua Kelas bukanlah dari kalangan pengawas
sekolah mahupun perpustakaan kerana ia akan membebankan murid berkenaan. Kelas
merupakan suatu organisasi yang diketuai oleh ketua kelas dan di bantu oleh
penolong ketua kelas dan guru kelas menjadi penasihat kepada organisasi
berkenaan. Perlantikan ketua kelas mendapat persetujuan keseluruhan murid di
dalam kelas. Guru akan meminta murid untuk mencalonkan nama-nama murid dan
undian akan di buat. Kebiasaannya, ketua kelas adalah seorang lelaki dan
penolong adalah perempuan. Setelah mendapat persetujuan majoriti di dalam
kelas, Ketua Kelas dan penolongnya
secara rasminya di lantik. Mereka akan menjalankan tugas-tugas sebagai ketua
dan penolong ketua kelas. Kemudian mereka juga akan dihantar menyertai kursus
kepimpinan bersama-sama badan pengawas supaya mereka merasa sebagai seorang
pemimpin dan menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.
5.0 PENILAIAN
TERHADAP PERANAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
5.1 BADAN PENGAWAS
Badan
pengawas berjaya membantu pentadbiran sekolah dan menyelia tingkah laku
murid-murid dengan pengurangan masalah disiplin di sekolah. Menurut temu bual
yang telah dijalankan, kedua-dua responden memberi pendapat yang akan serupa
iaitu mereka berpendapat bahawa peranan badan pengawas sekolah dapat
mengurangkan beban guru disiplin. Ini kerana peranan yang diberikan kepada
badan pengawas membolehkan murid-murid lain berasa gerun dan takut untuk
melakukan kesalahan disiplin. Sebagai contoh, murid tidak meletakkan pinggan yang
digunakan di kantin di tempat yang sepatutnya. Apabila ada pengawas di kantin
berkenaan dan menegur murid yang melakukannya, murid lain juga akan berasa
takut melakukan perkara yang sama. Ini kerana di waktu rehat, guru juga
mengambil kesempatan untuk makan dan minum dan tidak berkesempatan untuk
melihat salah laku murid sepenuhnya. Peranan yang di mainkan oleh pengawas
adalah sangat membantu guru dalam menyelia tingkah laku murid.
Bagi
mengkaji semula peranan pengawas sekolah, beliau mencadangkan peranan pengawas
boleh diperluaskan lagi seperti sekolah menengah. Badan Pengawas boleh
menjalankan hukuman kepada murid atas kesalahan yang kecil selagi ia tidak
melampaui batas. Sebagai contoh, murid yang membuang sampah merata tempat.
Badan pengawas boleh mencari jalan supaya ia menjadi budaya sekolah supaya
sesiapa yang dilihat membuang sampah dikenakan hukuman kecil oleh pengawas.
Contoh denda yang boleh dijalankan adalah murid berkenaan perlu mengutip sampah
yang berdekatan dengannya. Ini akan boleh membuatkan murid takut untuk membuang
sampah di merata tempat. Bagi murid yang ditemu bual, mereka berpendapat bahawa
sebahagian pengawas yang menjalankan tugas-tugas mereka membantu pentadbiran
sekolah, tetapi ada sesetengah pengawas turut melakukan kesalahan yang sama
yang di lakukan oleh murid-murid yang lain seperti datang lewat ke sekolah. Ini
menyebabkan, murid-murid akan berasa kurang hormat terhadap kredibiliti
pengawas berkenaan. Dalam mengkaji semula peranan pengawas sekolah, guru
disiplin perlu memberi penekanan terhadap pra-syarat pemilihan pengawas. Ini
kerana badan pengawas mencerminkan iklim dan budaya sekolah berkenaan dan
seterusnya membantu pencapaian akademik murid-murid.
5.2 KETUA KELAS
Peranan
ketua kelas menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah membantu dari
segi kawalan pentadbiran kelas dan menyelia tingkah laku di dalam kelas. Menurut
temu bual yang telah dijalankan ke atas responden, mereka bersetuju dengan
peranan ketua kelas yang mengawal kelas semasa ketiadaan guru dan banyak
membantu guru-guru mentadbir kelas. Ini terutama bagi murid di kelas yang
lemah. Murid-murid lebih nakal dan kurang mendengar arahan. Dengan bantuan
ketua kelas, bebanan guru terhadap pengurusan kelas dapat dikurangkan. Ketua
kelas menjadi 'abang' kepada murid-murid yang lain. Kecemerlangan sesebuah
kelas juga mencerminkan kepimpinan ketua. Ketua kelas bertanggungjawab
melaporkan kedatangan murid, murid ponteng, melihat jadual relief di
pejabat dan pelbagai lagi tugas-tugas seorang ketua kelas yang meringankan
urusan pentadbiran. Oleh itu, responden berpendapat bahawa tugas-tugas ketua
kelas sangat membantu guru kelas dan juga guru mata pelajaran mendapatkan info
mengenai kelas.
Pandangan
responden mengenai mengkaji semula peranan ketua darjah adalah peranan ketua
kelas adalah perlu diselaraskan seperti peranan badan pengawas. Ini kerana
ketua kelas juga adalah pemimpin seperti pengawas cuma skop ketua kelas adalah
lebih kecil iaitu di dalam kelas. Apabila dikaji semula, peranannya seakan sama
iaitu pengawas menjaga pintu pagar untuk melihat murid yang lewat ke sekolah
dan pengawas pula memastikan murid-murid tidak ponteng semasa pembelajaran dan
pengajaran dijalankan. Ini menunjukkan peranan sebagai pemimpin murid di
sekolah, ketua kelas dan pengawas mempunyai peranan yang seakan sama cuma skop
yang berlain. Ketua kelas sepatutnya di berikan 'batch' supaya murid-murid lain
juga mengenali beliau sebagai pemimpin kelas. Ini kerana pengawas mempunyai uniform
mereka dan ketua kelas tidak berasa rendah diri dengan jawatan mereka dan lebih
bersemangat dengan kepercayaan yang di berikan kepada beliau. Menurut pandangan
murid yang ditemu bual pula, murid berasa mudah untuk berkomunikasi dengan
ketua kelas jika mempunyai sebarang masalah. Ketua kelas menjadi orang tengah
antara murid dan guru dalam sesetengah hal. Murid kadangkala takut untuk
memberitahu sesuatu kepada guru dan ia menjadi tugas ketua kelas untuk
memainkan peranan. Murid juga berasa selamat dan selesa apabila ketua kelas
menjalankan tugasnya. Murid juga takut untuk berbuat bising semasa guru tiada
dengan kawalan ketua kelas. Murid tidak ketinggalan sesuatu kelas kerana ketua
kelas akan bergerak pantas mencari guru yang ditetapkan untuk menggantikan guru
yang tidak hadir.
6.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, kajian yang telah dijalankan ke atas pemimpin murid di sekolah
adalah pemimpin murid membantu dalam kawalan pentadbiran murid dan menyelia
disiplin murid. Ini kerana tugas yang diberikan kepada badan pengawas dan ketua
kelas adalah untuk menegur salah laku murid dan melaporkannya kepada guru
disiplin. Mereka juga menjadi role model kepada murid-murid yang lain.
Murid-murid lain berasa hormat dan takut melakukan kesalahan kerana wujudnya
pengawas di sekolah. Peranan dan tugas ketua kelas dan badan pengawas adalah
seakan sama iaitu bertanggungjawab terhadap guru dan menjadi pemimpin kepada
murid-murid yang lain cuma skop pentadbiran adalah berlainan. Pengawas dan ketua kelas juga menjadi orang
tengah antara murid dan guru dalam sesetengah perkara. Jika pengawas adalah pada keseluruhan murid
tetapi kelas di dalam kelas sahaja. Pun begitu, kedua-kedua tugas mereka adalah
sama iaitu membantu guru dalam melancarkan perjalanan sekolah dan membantu
kawalan disiplin. Dalam mengkaji semula peranan badan pengawas dan ketua kelas,
mereka perlu di beri lebih tanggungjawab supaya mereka akan lebih
bertanggungjawab atas tugas yang diberi kepada mereka. Oleh itu, badan pengawas
dan ketua kelas adalah berperanan penting dalam membantu sekolah melancarkan
perjalanan kawalan pentadbiran dan menyelia disiplin murid.
Subscribe to:
Posts (Atom)