1.1 PENGENALAN
Malaysia merupakan
sebuah negara yang terdiri pelbagai bangsa yang berbeza agama dan pegangan. Melalui
sistem pendidikan akan dapat merapatkan separuh jurang sosioekonomi melalui
pencapaian murid menjelang tahun 2020. Sistem pendidikan yang baik adalah
menyediakan ekuiti untuk semua iaitu menyediakan pendidikan yang terbaik untuk
semua murid tanpa mengira etnik, tempat atau latar belakang sosioekonomi. Ini
adalah penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah pembangunan
masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial. Jika dilihat pada Zaman
Pemerintahan British, dasar pendidikan yang dijalankan adalah untuk kepentingan
mereka sendiri. Mereka telah memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan
Inggeris. Pendidikan Melayu diberikan untuk jawatan kerajaan yang rendah
seperti guru dan kerani manakala Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang
sendiri. Ini dinamakan Pendidikan Vernakular. Pendidikan Cina dan Tamil
menggunakan bahasa Ibunda mereka dan skop pembelajaran adalah di bawa dari
negara asal mereka. Sekolah Inggeris pula terdedah dengan budaya dan pemikiran
rakyat. Sukatan pelajaran yang tidak sama menyebabkan perpecahan antara kaum
berlaku. Ini menunjukkan British sengaja mengasingkan sistem pendidikan antara
kaum supaya tiada perpaduan akan berlaku antara kaum yang ada. Melalui Laporan
Barnes yang diwujudkan semasa zaman penjajahan British ia menjadi asas kepada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ada sekarang. Menurut Laporan Barnes,
Bahasa Melayu dicadangkan menjadi bahasa pengantar di sekolah menengah dan
Bahasa Inggeris di sekolah menengah. Tujuannya adalah untuk merapatkan jurang
antara kaum tetapi ia ditentang oleh Cina kerana ia dianggap menggugat bahasa
ibunda mereka dan mereka mencadangkan Laporan Fenn-Wu supaya sekolah Vernakular
Cina dikekalkan.
Setelah mengambil
kira kedua-dua laporan, Ordinan Pelajaran 1952 diperkenalkan tetapi mendapat
tentangan masyarakat Cina dan India dan ancaman komunis serta kekurangan
kewangan ketika itu. Kemudian, pada tahun 1956 Penyata Razak pula diperkenalkan
bagi menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Pada Tahun 1961 Laporan Rahman
Talib diperkenalkan dengan menekankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan dan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) & Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi
pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ianya penting dalam memupuk
perpaduan antara kaum. Dasar kerajaan untuk membentuk perpaduan antara kaum
adalah dengan Dasar Pendidikan. Dasar Pendidikan dapat membentuk perpaduan
dengan sistem persekolahan yang sama bagi semua, sukatan pelajaran
yang seragam, peperiksaan yang seragam, Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar utama dan kurikulum yang sama. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) yang menegaskan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah satu
usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagai sebuah negara yang majmuk, pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) dipertimbangkan melalui satu kelarasan entiti yang dirancang agar tiada
perbalahan dan kekangan yang akan berlaku.
Faktor-faktor yang
diambil kira kepada pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah
dari segi agama, sosial, politik, ekonomi, individu dan sejagat. Rakyat
Malaysia bebas menganuti agama, tetapi agama Islam adalah sebagai agama rasmi
dan ia menjadi rujukan kepada asas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Faktor sosial pula memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat yang berbilang etnik bagi menghasilkan keadaan sosial yang stabil.
Faktor politik juga memainkan peranan kepada asas pencapaian perpaduan kaum
dalam pembentukan FPK dengan berlandaskan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru
(DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Jika dilihat asas pembentukan FPK adalah
untuk kebaikan semua kaum di Malaysia dan tiada satu pun terkecuali daripada
mendapatkan pendidikan di Malaysia. Sudah pastinya di dalam sebuah sekolah akan
terdiri dari pelbagai kaum dan etnik. Oleh itu, sebagai seorang guru pastinya
menghadapi satu cabaran mengajar di sekolah yang berbilang bangsa.
1.2 METHODOLOGI
Terdapat
pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru
yang mengajar di sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ini kerana
guru mestilah mengikut peruntukan peluang pendidikan yang telah di gariskan
mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan
iaitu peluang untuk semua pelajar tanpa mengira bangsa dan kepercayaan.
Bagi membincangkan cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi apabila mengajar di
sekolah yang mempunyai pelbagai kaum, satu temu ramah telah dijalankan. Saya
telah menemuramah guru-guru senior yang telah mengajar di sekolah berbilang
bangsa. Selain itu, saya juga telah menemuramah pentadbir sekolah. Ini kerana
untuk mendapatkan detail tentang aduan yang pernah di terima oleh mereka. Saya
menyelitkan cadangan penyediaan peluang yang sama untuk belajar dalam memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Selain itu, saya juga memberi
sintesis mengenai isu-isu yang dibincangkan dan membuat kesimpulan kepada semua
perbincangan. Untuk mendapatkan gambaran
yang lebih jelas dan melalui penulisan yang lain, saya merujuk beberapa laman
sesawang untuk mengetahui cabaran -cabaran mengajar di sekolah berbilang kaum.
Laporan saya adalah seperti di bawah.
2.0 CABARAN
MENGAJAR DI SEKOLAH BERBILANG BANGSA
Bangsa
yang terbesar di Malaysia adalah Melayu diikuti Cina dan kaum India. Kerajaan
berusaha untuk menstabilkan sosioekonomi antara kaum di Malaysia melalui
pendidikan. Dengan pendidikan dapat merubah gaya hidup manusia. Tidak hairan
lah sekarang di sesetengah kawasan tumpuan terutamanya di kawasan sekolah
bandar mempunyai pelbagai bangsa dan etnik. Cabaran yang mungkin di hadapi
adalah perbezaan bahasa. Walaupun Bahasa Kebangsaan Malaysia adalah Bahasa
Melayu tetapi rakyat Malaysia dibenarkan untuk bercakap dalam bahasa ibunda. Oleh
itu kita boleh lihat setiap bangsa memilih bahasa ibunda sebagai bahasa
pertuturan seharian. Jika kanak-kanak yang di asuh untuk bercakap dalam bahasa
ibunda tanpa diselitkan dengan bahasa kebangsaan ia akan mendatangkan masalah
kepada murid setelah masuk ke sekolah. Walaupun berada di sekolah jenis
kebangsaan, Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang wajib kepada semua murid.
Ini menjadi satu cabaran kepada guru yang mengajar di dalam kelas berbilang
bangsa kerana terdapat pelbagai bahasa pertuturan oleh murid-murid.
Cabaran
yang mungkin di hadapi apabila mengajar di sekolah berbilang bangsa adalah
untuk bersikap adil dan tidak prejudis kepada mana-mana kaum. Di dalam kelas
pasti guru akan lihat terdapat pelbagai karenah dan ragam murid-murid. Seorang
guru yang profesional perlu menerapkan sikap adil dan saksama kepada semua
murid tanpa mengira bangsa dan budaya. Cabaran guru adalah perlu mengawal diri
agar bersikap tidak prejudis dan perlu bermotivasi agar perkara yang tidak
diingini akan berlaku. Ini adalah kerana jika guru tidak dapat mengawal diri
menangani sesuatu permasalahan, guru akan dituduh tidak adil. Mungkin juga akan
terjadi guru dianggap prejudis terhadap sesuatu kaum apabila murid yang
dimarahi guru adalah berlainan bangsa dengan guru. Oleh itu, guru perlu berhati
-hati dalam mengendalikan murid dan kelas supaya guru tidak dianggap prejudis
dan tidak adil terhadap sesuatu bangsa dan kaum.
Selain
dari itu, cabaran yang mungkin di hadapi oleh guru mengajar di kelas atau
sekolah berbilang bangsa adalah guru perlu memahami pelbagai budaya yang
berlainan. Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita kaya dengan adat dan budaya. Setiap
bangsa di Malaysia mempunyai adat dan budaya masing - masing. Adat setiap
bangsa pula berbeza-beza mengikut kepercayaan masing-masing. Ada sesetengah
perkara yang menjadi sesuatu bangsa tetapi menjadi larangan kepada bangsa lain.
Guru perlu memahami adat dan budaya murid-murid agar tidak menyinggung perasaan
mana - mana pihak. Ini menjadi cabaran kepada guru untuk memahami adat sesuatu
bangsa. Ia akan menjadi perkara baru kepada guru dan perlu di pelajari oleh
guru secara tidak langsung. Sebagai contoh, kaum India tidak makan daging
lembu. Ini kerana melalui kepercayaan mereka lembu merupakan salah satu daripada
Tuhan mereka. Oleh itu, sebagai seorang guru perlu mengambil perhatian tentang
ini agar tiada pihak yang akan berasa dimainkan dengan kefahaman mereka.
Menyatukan
murid yang dari pelbagai bangsa juga akan menjadi salah satu cabaran kepada
guru yang mengajar di sekolah atau kelas yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
Menyatukan murid dari pelbagai bangsa bukanlah suatu perkara yang mudah. Murid
lebih senang untuk bergaul dengan bangsa sendiri. Ini juga mungkin atas faktor
bahasa. Ini akan menjadikan murid di dalam sesebuah kelas atau sekolah itu
berpuak. Bangsa Melayu lebih senang bergaul dengan bangsa sendiri dan begitu
juga dengan bangsa lain. Pelbagai isu dan permasalahan akan timbul apabila keadaan
ini berlaku. Pasti suatu kumpulan akan tidak puas hati dengan kumpulan yang
lain. Di sini guru perlu memainkan peranan menyatukan murid-murid berkenaan.
Guru perlu bijak menangani permasalahan ini. Sebagai contoh perkara yang boleh
guru lakukan untuk menyatukan sesuatu bangsa itu adalah dengan memberikan
tugasan berkumpulan kepada murid. Ahli kumpulan ini mestilah di tentukan oleh
guru. Setiap kumpulan akan terdiri dari pelbagai bangsa dan tidak hanya
dimonopoli oleh mana-mana bangsa. Walaupun ia mungkin tidak seratus peratus
berjaya bagi menyatukan pelbagai bangsa tetapi ia akan menimbulkan rasa mereka
memerlukan satu sama lain untuk berjaya.
Perbezaan
tahap kecekapan dan kepintaran murid juga menjadi cabaran guru di dalam
sesebuah di sekolah yang terdiri daripada berbilang bangsa. Biasa kita lihat
sesuatu bangsa menguasai sesuatu mata pelajaran dan yang lain ketinggalan.
Cabaran guru adalah untuk mengimbangi penguasaan murid dalam mata pelajaran.
Guru perlu memberi perhatian kepada semua murid dan tidak bias kepada mana-mana
murid. Ini adalah perlu kerana murid yang berada di kelas yang tinggi tidak
hanya dimonopoli oleh mana-mana bangsa. Jika perkara ini berlaku akan
menambahkan lagi jurang perbezaan antara murid dan bangsa. Aspirasi negara yang
di lahirkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu tidak akan dapat di realisasikan. Oleh itu, kita boleh lihat terdapat
pelbagai cabaran yang bakal di tempuhi oleh guru ini. Guru perlu bijak
menangani cabaran dan rintangan dalam dunia pendidikan agar ikrar seorang guru
dapat direalisasikan.
3.0 PENYEDIAAN
PELUANG PENDIDIKAN YANG SAMA KEPADA SEMUA MURID
Semua
rakyat Malaysia layak mendapat peluang
pendidikan yang sama tidak kira bangsa dan etnik. Pendidikan yang di
berikan oleh kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu bangsa sahaja. Bagi
memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menginginkan perkembangan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang tidak mengira warna kulit. Cadangan untuk penyediaan peluang kepada
semua adalah pemberian bantuan kewangan kepada sesiapa sahaja yang betul-betul
layak untuk menerimanya. Di sekolah terdapat murid yang dari golongan yang berada dan ada pula tidak.
Sehubungan dengan itu, bantuan ini bukan sahaja untuk keperluan murid itu ke
sekolah tetapi juga bantuan kelas tambahan dan juga buku. Sekarang kerajaan
telah memberikan buku teks percuma kepada murid-murid. Ia suatu langkah yang
baik tetapi buku latihan turut perlu di beli oleh murid-murid. Jika ada bantuan
kewangan untuk buku saya fikir ia lebih menambahkan motivasi kepada murid.
Murid tidak akan berasa tercicir dan rendah diri daripada rakan-rakan yang
lain.
Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) menginginkan perkembangan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang. Jurang peluang
pendidikan antara murid di bandar dan luar bandar boleh dikurangkan dengan
penyediaan infrastruktur dan pendedahan kepada ICT. Jika sekolah yang berada di
kawasan bandar kemudahan infrastruktur yang ada berbeza dengan sekolah yang
berada di luar bandar. Sekolah di bandar lebih banyak mendapat bantuan dari
individu dan badan-badan bukan kerajaan. Ini sudah pastinya sekolah yang berada
di kawasan bandar boleh membangunkan kemudahan infrastruktur dan kemudahan ICT.
Sebagai contoh, dengan kemudahan ICT yang telah dibangunkan murid boleh
menyemak kerja rumah dan nota dari rumah walaupun tidak hadir ke sekolah atas
sebab tidak sihat dan sebagainya. Murid-murid di kawasan bandar lebih terdedah
dengan ICT. Murid di luar bandar hanya berpandukan pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas sahaja. Minda murid-murid juga tidak berkembang. Oleh itu, di
cadangkan supaya kerajaan lebih memberi keutamaan pembangunan infrastruktur ICT
kepada sekolah yang mempunyai kekurangan dari segi modal untuk membangunkannya
sendiri. Dengan itu, peluang pendidikan yang sama dapat diperoleh oleh semua
murid tidak kira yang berada di bandar atau di luar bandar dan dapat mewujudkan
insan yang seimbang menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain
dari itu, bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi
menyediakan peluang pendidikan kepada semua sekolah di luar bandar perlu
menerima guru-guru yang mencukupi dan terbaik seperti di kawasan bandar. Kekangan
yang ada bagi menyediakan peluang pendidikan kepada semua adalah kekurangan
guru. Sekolah yang berada di pendalaman adalah sukar untuk menempatkan
guru-guru yang mencukupi. Ini adalah kerana kebanyakan sekolah di kawasan
pendalaman mempunyai kekurangan murid. Oleh itu, peluang pendidikan yang sama
tidak dapat di kecapi oleh murid pendalaman seperti murid yang berada di
kawasan bandar. Cadangan untuk penyediaan peluang kepada semua adalah
menyediakan guru yang terbaik dan lebih ramai di kawasan luar bandar. Walaupun
untuk mencukupkan guru seperti di sekolah yang mempunyai murid yang ramai
adalah sukar tetapi dengan pertambahan beberapa orang guru lagi akan
membolehkan mereka mendapatkan peluang pendidikan seperti yang lain. Guru juga
perlu diberi ganjaran bagi yang sukarela untuk bekerja di kawasan luar bandar.
Guru akan lebih bermotivasi untuk menjalankan tugas dan aspirasi negara untuk
membolehkan semua mendapat peluang pendidikan akan tercapai.
Murid-murid
di kawasan bandar terdedah dengan program-program ilmiah tidak kira yang di
anjurkan oleh pihak sekolah ataupun inisiatif ibu bapa menghantar murid-murid
menghadiri program motivasi atau kem-kem mata pelajaran. Perkara yang sama
tidak berlaku di kawasan luar bandar. Murid-murid hanya mendapat dari input
dalam kelas semata-mata tanpa terdedah dengan keadaan sekeliling. Cadangan saya
adalah memperbanyakkan program-program di kawasan luar bandar. Ini membolehkan
mereka mendapat peluang pendidikan yang sama. Jika di kawasan luar bandar
kekurangan akses internet, ada cara lain yang boleh dijalankan untuk menjadikan
mereka sama mendapat peluang belajar. Bahan-bahan berkenaan boleh dicetak dan
di edarkan. Ini juga membantu mereka mendapat bahan-bahan selain dari di dalam
kelas sahaja. Cadangan saya yang lain untuk mendapatkan peluang pendidikan
kepada semua adalah melebihkan lagi kuota murid-murid di luar bandar untuk
melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh dan pusat-pusat pengajian
tinggi. Ini membolehkan mereka mendapat peluang pendidikan yang sama dan tidak
lah ketinggalan kepada murid yang berada di kawasan bandar.
4.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, terdapat
pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh guru-guru yang mengajar di sekolah atau
kelas berbilang bangsa. Walaupun dilahirkan dan dibesarkan di negara yang
mempunyai bahasa ibunda bahasa Melayu tetapi cabaran yang mungkin di hadapi
adalah perbezaan bahasa kerana rakyat Malaysia bebas menggunakan bahasa ibunda
sendiri. Apabila guru itu berlainan bangsa dengan murid akan berlaku tanggapan
yang berbeza dari guru yang mungkin tidak biasa dengan kaum yang lain. Oleh itu
guru perlu mengawal diri agar bersikap tidak prejudis dan perlu bermotivasi
agar perkara yang tidak diingini akan berlaku. Selain itu guru juga perlu
memahami pelbagai budaya yang berlainan. Murid yang berbilang bangsa perlu
penyatuan murid dan bukanlah suatu perkara yang mudah. Sesuatu bangsa juga
menguasai sesuatu mata pelajaran. Oleh itu guru perlu untuk mengimbangi
penguasaan murid dalam mata pelajaran. Cadangan penyediaan peluang kepada semua
bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah menyediakan bantuan
kewangan kepada sesiapa sahaja selagi mereka dari golongan yang memerlukan.
Oleh itu, kita lihat bukan mudah sesebuah negara yang berbilang bangsa untuk di
satukan di dalam satu organisasi atau sekolah. Terdapat banyak cabaran yang
ditempuhi akan ditempuhi oleh guru dalam memenuhi aspirasi pendidikan
kebangsaan. Semoga dengan cabaran dan dugaan ini guru-guru dapat lebih
bermotivasi dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan sebagai pendidik tidak
mengira bangsa dan rupa.