Sunday, January 26, 2014

CABARAN MENGAJAR DI SEKOLAH BERBILANG BANGSA

1.1       PENGENALAN
            Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri pelbagai bangsa yang berbeza agama dan pegangan. Melalui sistem pendidikan akan dapat merapatkan separuh jurang sosioekonomi melalui pencapaian murid menjelang tahun 2020. Sistem pendidikan yang baik adalah menyediakan ekuiti untuk semua iaitu menyediakan pendidikan yang terbaik untuk semua murid tanpa mengira etnik, tempat atau latar belakang sosioekonomi. Ini adalah penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah pembangunan masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial. Jika dilihat pada Zaman Pemerintahan British, dasar pendidikan yang dijalankan adalah untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka telah memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Pendidikan Melayu diberikan untuk jawatan kerajaan yang rendah seperti guru dan kerani manakala Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang sendiri. Ini dinamakan Pendidikan Vernakular. Pendidikan Cina dan Tamil menggunakan bahasa Ibunda mereka dan skop pembelajaran adalah di bawa dari negara asal mereka. Sekolah Inggeris pula terdedah dengan budaya dan pemikiran rakyat. Sukatan pelajaran yang tidak sama menyebabkan perpecahan antara kaum berlaku. Ini menunjukkan British sengaja mengasingkan sistem pendidikan antara kaum supaya tiada perpaduan akan berlaku antara kaum yang ada. Melalui Laporan Barnes yang diwujudkan semasa zaman penjajahan British ia menjadi asas kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ada sekarang. Menurut Laporan Barnes, Bahasa Melayu dicadangkan menjadi bahasa pengantar di sekolah menengah dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah. Tujuannya adalah untuk merapatkan jurang antara kaum tetapi ia ditentang oleh Cina kerana ia dianggap menggugat bahasa ibunda mereka dan mereka mencadangkan Laporan Fenn-Wu supaya sekolah Vernakular Cina dikekalkan.
            Setelah mengambil kira kedua-dua laporan, Ordinan Pelajaran 1952 diperkenalkan tetapi mendapat tentangan masyarakat Cina dan India dan ancaman komunis serta kekurangan kewangan ketika itu. Kemudian, pada tahun 1956 Penyata Razak pula diperkenalkan bagi menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Pada Tahun 1961 Laporan Rahman Talib diperkenalkan dengan menekankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) & Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ianya penting dalam memupuk perpaduan antara kaum. Dasar kerajaan untuk membentuk perpaduan antara kaum adalah dengan Dasar Pendidikan. Dasar Pendidikan dapat membentuk perpaduan dengan  sistem persekolahan yang sama bagi semua, sukatan pelajaran yang seragam, peperiksaan yang seragam, Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum yang sama. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)  yang menegaskan  bahawa Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai sebuah negara yang majmuk, pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dipertimbangkan melalui satu kelarasan entiti yang dirancang agar tiada perbalahan dan kekangan yang akan berlaku.
            Faktor-faktor yang diambil kira kepada pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah dari segi agama, sosial, politik, ekonomi, individu dan sejagat. Rakyat Malaysia bebas menganuti agama, tetapi agama Islam adalah sebagai agama rasmi dan ia menjadi rujukan kepada asas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Faktor sosial pula memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat yang berbilang etnik bagi menghasilkan keadaan sosial yang stabil. Faktor politik juga memainkan peranan kepada asas pencapaian perpaduan kaum dalam pembentukan FPK dengan berlandaskan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Jika dilihat asas pembentukan FPK adalah untuk kebaikan semua kaum di Malaysia dan tiada satu pun terkecuali daripada mendapatkan pendidikan di Malaysia. Sudah pastinya di dalam sebuah sekolah akan terdiri dari pelbagai kaum dan etnik. Oleh itu, sebagai seorang guru pastinya menghadapi satu cabaran mengajar di sekolah yang berbilang bangsa. 
1.2       METHODOLOGI
            Terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru  yang mengajar di sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ini kerana guru mestilah mengikut peruntukan peluang pendidikan yang telah di gariskan mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan  iaitu peluang untuk semua pelajar tanpa mengira bangsa dan kepercayaan. Bagi membincangkan cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi apabila mengajar di sekolah yang mempunyai pelbagai kaum, satu temu ramah telah dijalankan. Saya telah menemuramah guru-guru senior yang telah mengajar di sekolah berbilang bangsa. Selain itu, saya juga telah menemuramah pentadbir sekolah. Ini kerana untuk mendapatkan detail tentang aduan yang pernah di terima oleh mereka. Saya menyelitkan cadangan penyediaan peluang yang sama untuk belajar dalam memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Selain itu, saya juga memberi sintesis mengenai isu-isu yang dibincangkan dan membuat kesimpulan kepada semua perbincangan.  Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan melalui penulisan yang lain, saya merujuk beberapa laman sesawang untuk mengetahui cabaran -cabaran mengajar di sekolah berbilang kaum. Laporan saya adalah seperti di bawah.
2.0       CABARAN MENGAJAR DI SEKOLAH BERBILANG BANGSA
            Bangsa yang terbesar di Malaysia adalah Melayu diikuti Cina dan kaum India. Kerajaan berusaha untuk menstabilkan sosioekonomi antara kaum di Malaysia melalui pendidikan. Dengan pendidikan dapat merubah gaya hidup manusia. Tidak hairan lah sekarang di sesetengah kawasan tumpuan terutamanya di kawasan sekolah bandar mempunyai pelbagai bangsa dan etnik. Cabaran yang mungkin di hadapi adalah perbezaan bahasa. Walaupun Bahasa Kebangsaan Malaysia adalah Bahasa Melayu tetapi rakyat Malaysia dibenarkan untuk bercakap dalam bahasa ibunda. Oleh itu kita boleh lihat setiap bangsa memilih bahasa ibunda sebagai bahasa pertuturan seharian. Jika kanak-kanak yang di asuh untuk bercakap dalam bahasa ibunda tanpa diselitkan dengan bahasa kebangsaan ia akan mendatangkan masalah kepada murid setelah masuk ke sekolah. Walaupun berada di sekolah jenis kebangsaan, Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang wajib kepada semua murid. Ini menjadi satu cabaran kepada guru yang mengajar di dalam kelas berbilang bangsa kerana terdapat pelbagai bahasa pertuturan oleh murid-murid.
            Cabaran yang mungkin di hadapi apabila mengajar di sekolah berbilang bangsa adalah untuk bersikap adil dan tidak prejudis kepada mana-mana kaum. Di dalam kelas pasti guru akan lihat terdapat pelbagai karenah dan ragam murid-murid. Seorang guru yang profesional perlu menerapkan sikap adil dan saksama kepada semua murid tanpa mengira bangsa dan budaya. Cabaran guru adalah perlu mengawal diri agar bersikap tidak prejudis dan perlu bermotivasi agar perkara yang tidak diingini akan berlaku. Ini adalah kerana jika guru tidak dapat mengawal diri menangani sesuatu permasalahan, guru akan dituduh tidak adil. Mungkin juga akan terjadi guru dianggap prejudis terhadap sesuatu kaum apabila murid yang dimarahi guru adalah berlainan bangsa dengan guru. Oleh itu, guru perlu berhati -hati dalam mengendalikan murid dan kelas supaya guru tidak dianggap prejudis dan tidak adil terhadap sesuatu bangsa dan kaum.
            Selain dari itu, cabaran yang mungkin di hadapi oleh guru mengajar di kelas atau sekolah berbilang bangsa adalah guru perlu memahami pelbagai budaya yang berlainan. Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita kaya dengan adat dan budaya. Setiap bangsa di Malaysia mempunyai adat dan budaya masing - masing. Adat setiap bangsa pula berbeza-beza mengikut kepercayaan masing-masing. Ada sesetengah perkara yang menjadi sesuatu bangsa tetapi menjadi larangan kepada bangsa lain. Guru perlu memahami adat dan budaya murid-murid agar tidak menyinggung perasaan mana - mana pihak. Ini menjadi cabaran kepada guru untuk memahami adat sesuatu bangsa. Ia akan menjadi perkara baru kepada guru dan perlu di pelajari oleh guru secara tidak langsung. Sebagai contoh, kaum India tidak makan daging lembu. Ini kerana melalui kepercayaan mereka lembu merupakan salah satu daripada Tuhan mereka. Oleh itu, sebagai seorang guru perlu mengambil perhatian tentang ini agar tiada pihak yang akan berasa dimainkan dengan kefahaman mereka.
            Menyatukan murid yang dari pelbagai bangsa juga akan menjadi salah satu cabaran kepada guru yang mengajar di sekolah atau kelas yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Menyatukan murid dari pelbagai bangsa bukanlah suatu perkara yang mudah. Murid lebih senang untuk bergaul dengan bangsa sendiri. Ini juga mungkin atas faktor bahasa. Ini akan menjadikan murid di dalam sesebuah kelas atau sekolah itu berpuak. Bangsa Melayu lebih senang bergaul dengan bangsa sendiri dan begitu juga dengan bangsa lain. Pelbagai isu dan permasalahan akan timbul apabila keadaan ini berlaku. Pasti suatu kumpulan akan tidak puas hati dengan kumpulan yang lain. Di sini guru perlu memainkan peranan menyatukan murid-murid berkenaan. Guru perlu bijak menangani permasalahan ini. Sebagai contoh perkara yang boleh guru lakukan untuk menyatukan sesuatu bangsa itu adalah dengan memberikan tugasan berkumpulan kepada murid. Ahli kumpulan ini mestilah di tentukan oleh guru. Setiap kumpulan akan terdiri dari pelbagai bangsa dan tidak hanya dimonopoli oleh mana-mana bangsa. Walaupun ia mungkin tidak seratus peratus berjaya bagi menyatukan pelbagai bangsa tetapi ia akan menimbulkan rasa mereka memerlukan satu sama lain untuk berjaya.
            Perbezaan tahap kecekapan dan kepintaran murid juga menjadi cabaran guru di dalam sesebuah di sekolah yang terdiri daripada berbilang bangsa. Biasa kita lihat sesuatu bangsa menguasai sesuatu mata pelajaran dan yang lain ketinggalan. Cabaran guru adalah untuk mengimbangi penguasaan murid dalam mata pelajaran. Guru perlu memberi perhatian kepada semua murid dan tidak bias kepada mana-mana murid. Ini adalah perlu kerana murid yang berada di kelas yang tinggi tidak hanya dimonopoli oleh mana-mana bangsa. Jika perkara ini berlaku akan menambahkan lagi jurang perbezaan antara murid dan bangsa. Aspirasi negara yang di lahirkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu tidak akan dapat di realisasikan. Oleh itu, kita boleh lihat terdapat pelbagai cabaran yang bakal di tempuhi oleh guru ini. Guru perlu bijak menangani cabaran dan rintangan dalam dunia pendidikan agar ikrar seorang guru dapat direalisasikan.
3.0       PENYEDIAAN PELUANG PENDIDIKAN YANG SAMA KEPADA SEMUA       MURID
            Semua rakyat Malaysia layak mendapat peluang  pendidikan yang sama tidak kira bangsa dan etnik. Pendidikan yang di berikan oleh kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu bangsa sahaja. Bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menginginkan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang tidak mengira warna kulit. Cadangan untuk penyediaan peluang kepada semua adalah pemberian bantuan kewangan kepada sesiapa sahaja yang betul-betul layak untuk menerimanya. Di sekolah terdapat murid yang  dari golongan yang berada dan ada pula tidak. Sehubungan dengan itu, bantuan ini bukan sahaja untuk keperluan murid itu ke sekolah tetapi juga bantuan kelas tambahan dan juga buku. Sekarang kerajaan telah memberikan buku teks percuma kepada murid-murid. Ia suatu langkah yang baik tetapi buku latihan turut perlu di beli oleh murid-murid. Jika ada bantuan kewangan untuk buku saya fikir ia lebih menambahkan motivasi kepada murid. Murid tidak akan berasa tercicir dan rendah diri daripada rakan-rakan yang lain.
            Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menginginkan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang. Jurang peluang pendidikan antara murid di bandar dan luar bandar boleh dikurangkan dengan penyediaan infrastruktur dan pendedahan kepada ICT. Jika sekolah yang berada di kawasan bandar kemudahan infrastruktur yang ada berbeza dengan sekolah yang berada di luar bandar. Sekolah di bandar lebih banyak mendapat bantuan dari individu dan badan-badan bukan kerajaan. Ini sudah pastinya sekolah yang berada di kawasan bandar boleh membangunkan kemudahan infrastruktur dan kemudahan ICT. Sebagai contoh, dengan kemudahan ICT yang telah dibangunkan murid boleh menyemak kerja rumah dan nota dari rumah walaupun tidak hadir ke sekolah atas sebab tidak sihat dan sebagainya. Murid-murid di kawasan bandar lebih terdedah dengan ICT. Murid di luar bandar hanya berpandukan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sahaja. Minda murid-murid juga tidak berkembang. Oleh itu, di cadangkan supaya kerajaan lebih memberi keutamaan pembangunan infrastruktur ICT kepada sekolah yang mempunyai kekurangan dari segi modal untuk membangunkannya sendiri. Dengan itu, peluang pendidikan yang sama dapat diperoleh oleh semua murid tidak kira yang berada di bandar atau di luar bandar dan dapat mewujudkan insan yang seimbang menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
            Selain dari itu, bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi menyediakan peluang pendidikan kepada semua sekolah di luar bandar perlu menerima guru-guru yang mencukupi dan terbaik seperti di kawasan bandar. Kekangan yang ada bagi menyediakan peluang pendidikan kepada semua adalah kekurangan guru. Sekolah yang berada di pendalaman adalah sukar untuk menempatkan guru-guru yang mencukupi. Ini adalah kerana kebanyakan sekolah di kawasan pendalaman mempunyai kekurangan murid. Oleh itu, peluang pendidikan yang sama tidak dapat di kecapi oleh murid pendalaman seperti murid yang berada di kawasan bandar. Cadangan untuk penyediaan peluang kepada semua adalah menyediakan guru yang terbaik dan lebih ramai di kawasan luar bandar. Walaupun untuk mencukupkan guru seperti di sekolah yang mempunyai murid yang ramai adalah sukar tetapi dengan pertambahan beberapa orang guru lagi akan membolehkan mereka mendapatkan peluang pendidikan seperti yang lain. Guru juga perlu diberi ganjaran bagi yang sukarela untuk bekerja di kawasan luar bandar. Guru akan lebih bermotivasi untuk menjalankan tugas dan aspirasi negara untuk membolehkan semua mendapat peluang pendidikan akan tercapai.
            Murid-murid di kawasan bandar terdedah dengan program-program ilmiah tidak kira yang di anjurkan oleh pihak sekolah ataupun inisiatif ibu bapa menghantar murid-murid menghadiri program motivasi atau kem-kem mata pelajaran. Perkara yang sama tidak berlaku di kawasan luar bandar. Murid-murid hanya mendapat dari input dalam kelas semata-mata tanpa terdedah dengan keadaan sekeliling. Cadangan saya adalah memperbanyakkan program-program di kawasan luar bandar. Ini membolehkan mereka mendapat peluang pendidikan yang sama. Jika di kawasan luar bandar kekurangan akses internet, ada cara lain yang boleh dijalankan untuk menjadikan mereka sama mendapat peluang belajar. Bahan-bahan berkenaan boleh dicetak dan di edarkan. Ini juga membantu mereka mendapat bahan-bahan selain dari di dalam kelas sahaja. Cadangan saya yang lain untuk mendapatkan peluang pendidikan kepada semua adalah melebihkan lagi kuota murid-murid di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh dan pusat-pusat pengajian tinggi. Ini membolehkan mereka mendapat peluang pendidikan yang sama dan tidak lah ketinggalan kepada murid yang berada di kawasan bandar.

4.0       KESIMPULAN
            Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh guru-guru yang mengajar di sekolah atau kelas berbilang bangsa. Walaupun dilahirkan dan dibesarkan di negara yang mempunyai bahasa ibunda bahasa Melayu tetapi cabaran yang mungkin di hadapi adalah perbezaan bahasa kerana rakyat Malaysia bebas menggunakan bahasa ibunda sendiri. Apabila guru itu berlainan bangsa dengan murid akan berlaku tanggapan yang berbeza dari guru yang mungkin tidak biasa dengan kaum yang lain. Oleh itu guru perlu mengawal diri agar bersikap tidak prejudis dan perlu bermotivasi agar perkara yang tidak diingini akan berlaku. Selain itu guru juga perlu memahami pelbagai budaya yang berlainan. Murid yang berbilang bangsa perlu penyatuan murid dan bukanlah suatu perkara yang mudah. Sesuatu bangsa juga menguasai sesuatu mata pelajaran. Oleh itu guru perlu untuk mengimbangi penguasaan murid dalam mata pelajaran. Cadangan penyediaan peluang kepada semua bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah menyediakan bantuan kewangan kepada sesiapa sahaja selagi mereka dari golongan yang memerlukan. Oleh itu, kita lihat bukan mudah sesebuah negara yang berbilang bangsa untuk di satukan di dalam satu organisasi atau sekolah. Terdapat banyak cabaran yang ditempuhi akan ditempuhi oleh guru dalam memenuhi aspirasi pendidikan kebangsaan. Semoga dengan cabaran dan dugaan ini guru-guru dapat lebih bermotivasi dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan sebagai pendidik tidak mengira bangsa dan rupa.