Wednesday, June 12, 2013

Penilaian Baru bagi guru-guru

1.0     PENGENALAN
            Dalam Malaysia menuju ke negara maju,  pendidikan merupakan suatu  perkara yang penting bagi mencapai aspirasi negara. Ini kerana perkembangan negara juga diukur dari perkembangan pendidikan. Secara tidak langsung pendidik adalah individu yang bertanggungjawab atas perkembangan negara menjadi maju. Guru-guru perlu diberi galakan supaya mereka terus bersemangat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pendidik. Seperti kakitangan kerajaan yang lain guru-guru juga mempunyai kenaikan pangkat dan akan diuji dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menilai prestasi mereka. Menurut Modul Penilaian Tahap Kecekapan yang di keluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia menyatakan bahawa PTK diperkenalkan bagi memupuk pembangunan diri, meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan menyediakan pegawai perkhidmatan awam dalam perlaksanaan pengurusan sumber manusia yang berasaskan kompetensi. Ia merupakan salah satu cara untuk menguji kemampuan pegawai perkhidmatan awam dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sempurna. Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ini mula diperkenalkan pada 1 November 2002 berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 2002. Menurut Pekeliling Perkhidmatan ini, PTK adalah satu kaedah untuk menentukan pergerakan gaji tahunan dan kemajuan anggota perkhidmatan awam.
            Rasionalnya penilaian ini dijalankan adalah kerajaan mahukan kakitangan awam berupaya menghadapi cabaran globalisasi, meningkatkan daya saing negara, menambahkan penyampaian perkhidmatan. Selaras dengan saranan kerajaan tersebut pegawai perkhidmatan awam perlu mengubah sikap dan cara bekerja melalui Sistem Saraan Malaysia kerana sistem ini memberi penekanan terhadap penguasaan perkhidmatan dan peningkatan kemahiran. Objektif Penilaian Tahap Kecekapan adalah membudayakan kecemerlangan perkhidmatan awam, memenuhi salah satu syarat untuk anjakan gaji dan kenaikan pangkat, memantapkan organisasi pembelajaran dan menggalakkan pembangunan diri dan memantapkan ciri-ciri peribadi. Selain itu, objektif PTK juga adalah untuk menggalakkan penggunaan pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan inovatif.           Oleh itu, hasrat ini akan tercapai dengan membudayakan kecemerlangan yang berteraskan kepada pembelajaran berterusan sebagaimana yang diperlukan di bawah Sistem Saraan Malaysia


2.0     METHODOLOGI
            Melalui laporan yang disediakan ini, satu temu ramah telah dijalankan ke atas dua orang guru penolong kanan di sebuah sekolah. Temu ramah yang dijalankan adalah mengenai kenaikan pangkat guru dan bagaimanakah sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang sebelum ini dijalankan untuk tujuan ini. Temu ramah ini juga berkenaan dengan kekuatan dan kelemahan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kerana setiap sistem yang dijalankan pasti ada kekuatan dan kelemahannya. Melalui temu ramah ini, segala aspek kekuatan dan kelemahan di kaji. Selain itu, dalam temu ramah yang dijalankan juga akan dibincangkan, mengenai sistem taksiran baru dan mendapatkan pandangan daripada guru yang di temu ramah terhadap sistem penilaian yang baru ini. Pemilihan guru penolong kanan ini adalah kerana beliau telah berpengalaman lebih 20 tahun menjadi pendidik dan beliau juga pernah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sekali sebelum sistem ini ditukarkan kepada yang baru. Nama guru dan nama sekolah tempat guru berkenaan bertugas adalah dirahsiakan untuk tujuan keselamatan kerana ia melibatkan kritikan kepada sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ini.
            Selain dari temu ramah yang dijalankan ke atas dua orang penolong kanan, saya juga merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 2002 sebagai sumber rujukan mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang telah dilaksanakan sebelum ini. Saya juga diberi kebenaran melihat fail Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sekolah dan guru-guru yang pernah mendapat kenaikan pangkat. Selain dari itu, laman se sawang Jabatan Perkhidmatan Awam juga di rujuk. Ini bagi mendapatkan maklumat yang tepat mengenai sistem yang dijalankan ini kerana ia melibatkan  semua penjawat awam umumnya dan pendidik secara khasnya. Segala hasil temu ramah dan kajian ini di dalam laporan di bawah.
3.0     PROSES PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN GURU-GURU DI        SEKOLAH
            Perkara pertama dalam proses penilaian tahap kecekapan bagi guru-guru adalah perlu ada persediaan bagi menghadapi penilaian. Para guru perlu memahami matlamat penilaian ini diadakan. Konsep Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah menekankan kepada guru-guru untuk lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kenaikan pangkat di dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM). Antara objektif  Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pula adalah untuk membudayakan kecemerlangan perkhidmatan awam, memenuhi salah satu syarat untuk anjakan gaji dan kenaikan pangkat, melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi dan memantapkan organisasi pembelajaran. Dalam membuat persediaan juga, guru-guru perlu mengetahui sukatan peperiksaan dan sukatan kurikulum yang baru. Sukatan peperiksaan adalah aras kesukaran dan bentuk peperiksaan esei, aneka pilihan dan sebagainya dan kurikulum adalah aras kesukaran, kandungan dan pendekatan peperiksaan dan metodologi penilaian. 
            Dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beberapa perkara diukur iaitu melalui peperiksaan, kursus dan amali, pemerhatian, temu duga mengikut kumpulan perkhidmatan dan tahap kecekapan yang ingin diukur. Kaedah-kaedah pengukuran Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah berdasarkan kompetensi. Kompetensi bererti gabungan segala aspek pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang perlu bagi sesuatu jawatan. Kompetensi boleh diukur melalui dua jenis iaitu Kompetensi Umum dan Kompetensi Khusus. Kompetensi Umum merupakan penilaian dalam bentuk kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang perlu di milik oleh setiap pegawai tanpa mengira gred jawatan dan organisasi pegawai berkenaan. Kompetensi Khusus pula merupakan penilaian berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi khusus yang diperlukan bagi melaksanakan bidang tugas sesuatu jawatan. Contoh bagi kompetensi umun adalah dari segi komponen kompetensi pengetahuan, melalui pengajaran dan pembelajaran adalah apakan strategi umum dan ia terkandung dalam perintah am. Contoh bagi kompetensi umum pula adalah dari segi pengetahuan tentang akuan . Akaun adalah dalam pentadbiran dan penyelenggaraan.
            Kemudian, guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran diri sebelum menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Bagi membuat persediaan diri, guru-guru perlu membuat pembacaan, mengulang kaji secara berulang kali, memastikan guru mengetahui jadual peperiksaan yang ditetapkan dan kekerapan dan tempoh kursus bagi Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Kemudian guru-guru perlu membuat permohonan untuk menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi sesi yang di buka. Guru-guru perlu membuat permohonan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan menghadiri kursus yang telah ditetapkan. Proses terakhir adalah guru menghadiri peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan menghadiri Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Oleh itu, kesimpulan nya guru -guru perlu membuat persediaan menghadapi peperiksaan, mengetahui sukatan peperiksaan dan kursus kurikulum dan akhirnya membuat persediaan diri sebelum menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
4.0     KELEBIHAN DAN KELEMAHAN PENILAIAN TAHAP         KECEKAPAN (PTK)
            Setiap sistem yang dilaksanakan pasti ada kelebihan dan kelemahannya. Kelebihan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah guru-guru akan dapat mengikuti perkembangan dalam dunia pendidikan di Malaysia. Bagi menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) guru-guru harus mengulang kaji dan membaca berkaitan dengan dunia pendidikan dan ini secara tidak langsung membuatkan guru-guru sentiasa segar dengan perkembangan terbaru. Selain itu, kelebihan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah ganjaran bagi guru-guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Mereka akan dapat kenaikan gaji dan boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Ini adalah kelebihan yang menjadi motivasi untuk para guru menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Kelemahan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah ia agak membebankan guru-guru yang senior yang telah meningkat umur untuk menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Ini kerana guru-guru yang telah senior ini sukar untuk membuat ulang kaji pelajaran. Selain itu, terdapat quota dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
            Setiap kali Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dijalankan terdapat quota dalam pemilihan bilangan yang layak mendapatkannya. Ini disifatkan kurang adil bagi guru-guru yang bertungkus lumus untuk menghadapi Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) tetapi keputusan tidak setimpal dengan usaha mereka. Selain itu, bagi guru-guru yang tidak lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebanyak tiga kali tidak boleh ambil Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam tempoh setahun. Beliau akan dibekukan dari mengambil Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Ini merupakan syarat yang agak ketat yang perlu dilalui oleh guru-guru kerana beliau tidak berkelayakan naik pangkat dan gaji dalam masa setahun berkenaan. Selain itu, bagi yang sudah lulus tidak lagi boleh menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi tahun berikutnya. Ini kerana guru-guru sudah mengetahui bahawa beliau tidak akan dapat Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada tahun berikutnya disebabkan terdapat quota. Oleh itu, kita ketahui bahawa Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terdapat kelebihan dan kelemahannya dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah mengumumkan penilaian yang baru menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Ia akan dibincangkan di perenggan di bawah.

5.0     SISTEM BARU UNTUK PENILAIAN KENAIKAN PANGKAT         GURU
            Menurut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2011, memaklumkan bahawa Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi (PROSPEK) selaras dengan keputusan kerajaan memperkenalkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). PROSPEK merupakan suatu kaedah baru Penilaian Kompetensi anggota Sektor Awam bagi menggantikan PTK yang telah dimansuhkan pada 1.1.2011.  Objektif PROSPEK adalah untuk mengenal pasti potensi pegawai, membangunkan kompetensi dan potensi pegawai di sesuatu grad jawatan, meningkatkan pembangunan diri dan peluang kemajuan kerjaya pegawai dan melahirkan pegawai berprestasi tinggi. Dalam  PROSPEK terdiri daripada Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP). Bagi Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) pegawai akan dinilai menggunakan Borang PKP oleh Panel Penilaian. Kemudian mendapat ranking pencapaian PKP iaitu pemilihan adalah tertakluk kepada jumlah kekosongan jawatan. Jika tidak melepasi tahap ini, guru akan melalui proses tapisan semula dan bagi yang lulus akan mendapat ranking calon. Kemudian guru akan menduduki Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP). Jika lulus beliau akan mendapat keputusan berpotensi tinggi atau berpotensi dan jika tidak mencapai tahap potensi yang ditetapkan akan dikenakan tapisan sekali lagi.
            Syarat-syarat perlaksanaan prospek adalah calon perlu disahkan di dalam perkhidmatan terlebih dahulu dan melepasi tapisan awal. Perbezaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan PROSPEK adalah guru tidak boleh menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam masa setahun jika tidak lulus tiga kali tetapi bagi PROSPEK guru yang tidak berjaya mengikuti PROSPEK perlu secara berterusan mengambil inisiatif dan berusaha untuk mempertingkatkan prestasi dan kompetensinya bagi membolehkan pegawai mengikuti PROSPEK yang berikutnya. Bagi Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) penetapan penilaian pencapaian adalah P1,P2dan P3 dan PROSPEK pula adalah Berpotensi Tinggi, Berpotensi atau tidak mencapai potensi untuk ke gred lebih tinggi. Selain itu, PROSPEK akan menilai tahap kompetensi guru dan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini. Oleh itu, diketahui bahawa terdapat banyak perbezaan antara PROSPEK yang baru diperkenalkan dengan PTK yang telah diperkenalkan sebelum ini.

6.0     PANDANGAN GURU MENGENAI PENILAIAN YANG BARU
            Menurut temu ramah yang telah dijalankan, responden memberi reaksi positif terhadap PROSPEK. Menurut beliau jika yang sebelum ini, kenaikan perlu berdasarkan kepada kelulusan PTK tetapi individu yang dinaikkan pangkat tidak mempunyai potensi berbanding dengan PROSPEK semua penjawat awam berpeluang untuk mendapat kenaikan pangkat jika mempunyai kompetensi dan potensi diri. PROSPEK juga tidak dinilai berasaskan peperiksaan lagi sebaliknya tetapi akan ditentukan oleh panel penilaian yang berwibawa. PROSPEK ini dikatakan sebagai berwibawa kerana prinsipnya secara berterusan kerana setiap pegawai perlu menjalani latihan. Menurut beliau lagi, PROSPEK boleh menjadikan pegawai lebih cekap dan berprestasi tinggi. Penilaian melalui data penilaian yang di kumpul dan di simpan dan jika ada kekosongan, guru boleh dinaikkan pangkah tanpa perlu menunggu menduduki peperiksaan awam.
            Selain itu, kelebihan PROSPEK adalah bagi mereka yang mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi juga berpeluang untuk di naikkan pangkat. Ini kerana ada sesetengah guru yang bagus dalam pengajaran tetapi kurang minat untuk menulis buku rancangan pengajaran. Jika sebelum ini beliau mendapat prestasi yang rendah kerana kurang kompetensi tetapi boleh dinaikkan pangkat juga dengan potensi yang beliau ada. Akhirnya responden berpendapat bahawa penilaian di buat oleh panel yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang akan di nilai. Oleh itu tidak akan terjadi markah kesian atau markah berat sebelah yang kebiasaan mengikut individu yang rapat dengan ketua jabatan mendapat markah yang tinggi. Cadangan yang dibuat adalah penilaian juga perlu berdasarkan dengan jasa yang dibuat oleh pegawai. Sebagai contoh, bagi guru yang kurang minat mengajar tetapi mempunyai potensi dalam melatih murid bersukan. Beliau mampu membawa murid bertanding sehingga ke peringkat tertinggi juga perlu diberi perhatian atas dasar beliau. Seorang lagi responden memberi cadangan adalah supaya tidak ada istilah senioriti atau pusingan dalam penilaian yang dibuat. Oleh itu, pandangan responden adalah positif dan memberi cadangan-cadangan yang bernas.



7.0     KESIMPULAN

            Secara keseluruhannya, rasional penilaian dijalankan adalah kerajaan mahukan kakitangan awam berupaya menghadapi cabaran globalisasi, meningkatkan daya saing negara, menambahkan penyampaian perkhidmatan. Objektif Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah membudayakan kecemerlangan perkhidmatan awam, memenuhi salah satu syarat untuk anjakan gaji dan kenaikan pangkat, memantapkan organisasi pembelajaran dan menggalakkan pembangunan diri dan memantapkan ciri-ciri peribadi. Proses penilaian tahap kecekapan bagi guru-guru adalah perlu ada persediaan bagi menghadapi penilaian. Guru perlu memahami matlamat Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) iaitu konsep dan objektif PTK yang akan diambil. Guru juga perlu mengetahui sukatan peperiksaan kursus berdasarkan kompetensi umum dan kompetensi khusus. Persediaan diri dari segi pembacaan, ulangkaji, jadual peperiksaan dan kekerapan dan tempoh kursus juga perlu bagi menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Akhirnya dalam proses Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) guru memohon menduduki peperiksaan dan menghadiri kursus. Kelebihan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah guru-guru ajan dapat mengikuti perkembangan dalam dunia pendidikan di Malaysia dan kelemahannya adalah ada quota dalam pemberian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi sesuatu kakitangan awam. Sistem baru yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah PROSPEK bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Objektif PROSPEK adalah untuk mengenal pasti potensi pegawai, membangunkan kompetensi dan potensi pegawai di sesuatu grad jawatan, meningkatkan pembangunan diri dan peluang kemajuan kerjaya pegawai dan melahirkan pegawai berprestasi tinggi. Penilaian terhadap PROSPEK adalah positif dari responden. Beliau PROSPEK lebih baik berbanding dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Oleh keseluruhannya PROSPEK dapat melahirkan pegawai berprestasi tinggi dan dapat meningkatkan pembangunan diri dan peluang kemajuan kerjaya pegawai.