Wednesday, June 12, 2013

Peranan Badan Pengawas Sekolah

1.0       PENGENALAN
            Disiplin merupakan batu asas kepada kecemerlangan seseorang murid. Kecemerlangan sesebuah sekolah adalah bergantung kepada tahap disiplin yang ditunjukkan oleh murid sekolah tersebut. Bagi sekolah yang mempunyai tahap disiplin yang baik, sekolah berkenaan pastinya mempunyai tahap pencapaian akademik mahupun kokurikulum yang boleh dibanggakan. Ini kerana sekolah merupakan tempat di mana kita menuntut ilmu pengetahuan. Di sekolah juga murid di ajar bagaimana untuk mendisiplinkan diri dari segi pelajaran dan juga kelakuan. Ini menjadi tanggungjawab Guru besar untuk membentuk disiplin murid-murid di sekolah. Guru Besar di bantu oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid membimbing guru-guru untuk membentuk disiplin murid. Oleh itu, sebuah jawatankuasa disiplin sekolah diwujudkan. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dipertanggungjawabkan untuk menyelia badan pengawas yang terletak di bawah jawatan kuasa disiplin sekolah. Badan pengawas terdiri daripada Guru Disiplin yang menjadi penasihat kepada badan pengawas, di ketuai oleh Ketua Pengawas iaitu murid yang dilantik dari kalangan pengawas sekolah dan di bantu oleh Penolong Ketua Pengawas.
            Badan pengawas sekolah ditubuhkan untuk membantu guru-guru menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah. Ketua kelas pula berperanan membantu guru di dalam kelas. Kita sedia maklum peranan pengawas sekolah dan ketua kelas kerana kita semua pernah melalui zaman persekolahan. Kita sendiri boleh lihat dan membuat penilaian terhadap  tugas pemimpin murid di sekolah tetapi di zaman kita menuju ke negara maju perlu dikaji semula peranan pemimpin murid di sekolah. Ini bertujuan untuk menjadikan tahap disiplin murid setaraf dengan negara maju yang lain supaya hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat di capai dengan jayanya. Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara”.
            Bilangan pengawas yang di lantik pula bergantung kepada bilangan murid di sekolah berkenaan. Ia perlulah bersesuaian dengan keperluan dan bukanlah berlebihan dan menjadikan ianya tidak praktikal. Bagi membezakan pengawas dan murid sekolah yang lain, pengawas dikehendaki berpakaian seragam khas. Pakaian seragam ini bergantung kepada ketetapan pihak sekolah. Sebagai seorang pemimpin, pengawas sekolah dan ketua kelas perlu mengetahui tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Menurut Krech & Crusthfield (1962), fungsi pemimpin mentadbir dan menyelaras kelompok, perancang aktiviti yang jelas, tepat, pembuat polisi, misi organisasi, tempat rujukan, dan penyelesai masalah. Oleh itu, menjadi setiap pengawas dan ketua kelas yang dilantik perlu di beri kursus kepimpinan supaya mereka benar-benar bersedia dan layak untuk menjadi pemimpin kepada murid yang lain.

2.0       METHODOLOGI

            Terdapat beberapa kaedah kajian yang dijalankan ke atas peranan pemimpin murid iaitu pengawas sekolah dan ketua kelas dalam membantu kawalan pentadbiran sekolah dan menyelia tingkah laku dan disiplin. Melalui laporan yang disediakan, sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor telah dipilih. Faktor pemilihan sekolah ini adalah kerana sekolah ini terletak di tengah bandar, bilangan murid adalah sedikit dan latar belakang murid-murid di sekolah ini adalah berbeza antara satu sama lain. Ini boleh mencabar kepimpinan murid sekolah berkenaan kerana perbezaan latar belakang tetapi mungkin ia mudah bagi pemimpin murid kerana bilangan murid yang sedikit. Nama sekolah yang telah dipilih dan nama guru-guru yang telah ditemu bual adalah dirahsiakan untuk tujuan keselamatan. Saya telah memilih Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk responden yang pertama di temu bual. Pemilihan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah kerana badan pengawas terletak di bawah seliaan beliau. Oleh itu, beliau antara responden yang tepat di pilih.
            Selain itu, seorang lagi responden di kalangan kakitangan sekolah yang dipilih adalah guru disiplin sekolah berkenaan. Seperti yang diketahui guru disiplin merupakan penasihat kepada badan pengawas sekolah. Oleh itu, pemilihan beliau adalah tepat kerana beliau mengetahui peranan pengawas sekolah. Ketua Pengawas Sekolah dipilih untuk di temu bual bagi kajian ini. Ini kerana beliau merupakan Ketua kepada keseluruhan badan pengawas dan murid-murid di sekolah. Pendapat beliau diperlukan kerana beliau yang menjalankan tugas sebagai pengawas dan lebih memahami tugas-tugas yang telah di berikan kepada beliau. Akhirnya, seorang murid tahun 6 telah di temu bual untuk mengkaji semula peranan pengawas sekolah. Pemilihan beliau tepat kerana beliau bukanlah seorang pengawas, dan beliau adalah murid paling senior di sekolah berkenaan. Oleh itu, beliau sudah pastinya mengetahui dan boleh membuat penilaian terhadap peranan badan pengawas dan ketua kelas sekolah.
            Selain dari  temuramah yang dijalankan ke atas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Disiplin, Ketua Pengawas dan seorang murid Tahun 6, saya juga di benarkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk melihat buku manual pelaksanaan badan pengawas dan tugas-tugas badan pengawas yang sedia ada. Saya juga di benarkan melawat bilik badan pengawas sekolah bagi lebih memahami lagi tugas-tugas badan pengawas. Selain dari itu, untuk mendapatkan lebih maklumat yang diperlukan, saya juga telah merujuk laman-laman sesawang yang berkaitan. Di dalam laporan yang disediakan, saya telah mengkaji semula peranan ketua kelas dan badan pengawas sekolah dan menerangkan peranan badan pengawas dan ketua kelas secara terperinci. Proses pemilihan murid untuk menjadi badan pengawas dan ketua kelas juga di kaji bagi mendapatkan murid yang benar layak menjalankan tugas-tugas sebagai seorang pemimpin. Akhirnya, temu ramah yang di buat ke atas Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Disiplin dan dua orang murid adalah untuk membuat penilaian mengenai peranan badan pengawas dan ketua kelas. Hasil kajian dan temu ramah di dalam laporan di bawah.

3.0       PERANAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS

            Badan pengawas dan ketua kelas merupakan suatu badan yang dipertanggungjawabkan untuk pemimpin kepada murid-murid yang lain. Sebelum memahami peranan badan pengawas dan ketua kelas, perlu di fahami dahulu peranan pemimpin. Menurut Miftha Thoha dalam bukunya  Prilaku Organisasi (1983 : 255), pemimpin adalah seorang yang memiliki kemampuan memimpin, iaitu memiliki kemampuan untuk mempengaruhi orang lain atau kelompok tanpa mengindahkan bentuk alasannya. Oleh itu, seseorang pemimpin itu menjadi lambang kepada organisasi, menjadi model kepada ahli-ahli yang dipimpin dan menjadi tempat rujuk kepada ahli-ahli yang lain. Seorang pemimpin yang baik perlu mempunyai ciri-ciri pemimpin seperti kemahuan untuk memimpin, memahami kejelasan matlamat  pemimpin, tegas dan konsisten, sabar dan mempunyai budi bicara. Setelah memahami peranan dan ciri-ciri pemimpin, pengawas dan ketua dapat menjalankan peranan mereka sebagai pemimpin di kalangan rakan-rakan mereka.
            3.1       BADAN PENGAWAS
            Peranan badan pengawas adalah besar di dalam organisasi badan pengawas itu sendiri dan juga sekolah. Peranan utama badan pengawas adalah tanggungjawab terhadap sekolah. Badan pengawas perlu melaksanakan peraturan dan undang-undang sekolah. Badan disiplin sekolah telah menetapkan peraturan dan undang-undang sekolah yang boleh dan tidak boleh dilakukan, badan pengawas menjadi pelaksana iaitu sebagai mata dan telinga guru-guru bagi memastikan semua murid mengikut peraturan yang telah di tetapkan. Sebagai contoh, murid makan dan minum di dalam kelas. Di dalam peraturan yang telah ditetapkan, murid-murid tidak dibenarkan berada di dalam kelas sewaktu rehat tetapi ada murid yang degil makan dan minum di dalam kelas. Pengawas perlu menegur dan melarang murid melakukannya. Jika perlu, murid perlu memberitahu kepada guru untuk tindakan yang lanjut. Selain itu, peranan badan pengawas adalah menjaga nama baik sekolah. Sebagai seorang pemimpin yang baik, adalah menjadi tanggungjawab pengawas menjaga nama baik sekolah supaya masyarakat tidak memandang serong kepada institusi sekolah. Selain itu, badan pengawas perlu memelihara iklim sekolah. Iklim sekolah mempengaruhi perkembangan murid-murid dengan sekolah yang terkawal, tenang dan tertib. Oleh itu, badan pengawas perlu membantu guru memelihara iklim sekolah.
            Peranan lain badan pengawas adalah tanggungjawab terhadap guru dan pelajar lain. Peranan terhadap guru adalah memberi maklumat kepada guru. Pengawas merupakan agent kepada guru iaitu menjadi mata dan telinga guru. Segala salah laku murid, sudah menjadi tanggungjawab pengawas melaporkan kepada guru. Sebagai contoh, murid yang datang lewat ke sekolah, pengawas perlu mengambil nama dan memberikan kepada guru untuk tindakan yang selanjutnya. Ini adalah kerana ia menjadi tanggungjawab badan pengawas untuk bersama-sama membanteras kegiatan dan masalah laku murid-murid agar sekolah dapat memelihara iklim sekolah dan seterusnya dapat melahirkan murid-murid yang berjaya. Antara tugas peranan utama badan pengawas lagi adalah, mengambil berat akan masalah murid yang lain. Murid-murid mungkin adalah masalah yang tidak selesa diceritakan kepada guru-guru atau ibu bapa, pengawas boleh bertindak sebagai rakan baik dengan menasihatkan. Jika tidak mampu membantu, pengawas boleh meminta pandangan guru disiplin untuk menyelesaikannya. Selain itu, badan pengawas perlu menunjukkan teladan yang baik kepada murid-murid yang lain. Mereka perlu menjadi role model kepada murid-murid yang lain. Dengan kelakuan yang baik, dengan secara tidak langsung murid-murid akan berasa hormat dan mahu mendengar arahan dari pengawas. Jika perangai pengawas juga tidak berdisiplin, murid-murid lain akan hilang rasa hormat terhadap pengawas dan seterusnya tidak berasa takut untuk melanggar peraturan sekolah. Oleh peranan badan pengawas adalah penting bagi membentuk iklim sekolah dan secara tidak langsung meningkatkan kecemerlangan murid dari segi akademik dan juga kokurikulum. Ini kerana disiplin merupakan teras utama kejayaan seseorang itu.
            3.2       KETUA KELAS
            Kelas merupakan sebuah organisasi yang diketuai ketua kelas atau ketua darjah. Apa pun panggilannya, peranan ketua kelas adalah penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat dijalankan dengan jayanya. Peranan utama ketua kelas adalah sama dengan badan pengawas iaitu, bertanggungjawab pada diri sendiri, bertanggungjawab terhadap sekolah dan guru dan tanggungjawab terhadap murid yang lain. Ketua kelas perlu menjaga disiplin diri di samping menjaga disiplin rakan sekelas. Ketua kelas menjadi role model kepada murid lain di dalam kelas sendiri. Sebagai contoh semasa ketiadaan guru di dalam kelas, ketua kelas harus menjaga situasi kelas agar tidak bising dan tidak bermain-main di dalam kelas dan bukannya bersama-sama bermain dengan rakan yang lain. Jika hal ini berlaku, akan hilang rasa hormat rakan sekelas terhadap ketua kelas. Menjadi peranan ketua kelas juga untuk memastikan kelas sentiasa berada di dalam kemas. Sebagai ketua, ketua kelas perlu mengingatkan rakan-rakan sekelas supaya menjaga kebersihan dan bertugas mengikut jadual tugas yang telah diberikan. Jika kelas berada dalam keadaan yang kotor, akan menyebabkan murid kurang selesa untuk belajar.
            Peranan ketua kelas terhadap guru adalah dengan membantu guru memberitahu bilangan murid yang tidak hadir ke kelas, menghantar buku latihan yang telah dikumpulkan ke bilik guru dan melihat jadual guru ganti jika guru yang sepatutnya masuk, tidak hadir. Ketua kelas perlu memanggil guru yang di tugaskan untuk menggantikan guru yang tidak hadir. Ketua kelas harus menzahirkan rasa hormat terhadap guru supaya rakan sekelas yang lain juga akan mengikutinya. Melaporkan kerosakan perabot dan alatan elektrik juga menjadi peranan ketua kelas. Ini penting agar murid-murid di dalam kelas berkenaan dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan selesa dan membuatkan murid minat untuk belajar. Oleh itu, peranan ketua kelas adalah sama penting dengan tugas badan pengawas cuma yang membezakan ketua kelas di dalam skop kelas sahaja tetapi ketua kelas juga merupakan pemimpin di dalam bilik darjah mereka. Ia merupakan suatu tanggungjawab yang besar yang di amanahkan kepada murid yang dipilih dan ia juga dapat membentuk iklim di dalam kelas supaya pembelajaran dapat di jalankan dengan jayanya.

4.0       PROSES PEMILIHAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA KELAS
            4.1       BADAN PENGAWAS
            Pemilihan badan pengawas dan ketua kelas adalah melalui beberapa prosedur. Bagi perlantikan pengawas sekolah, badan disiplin sekolah akan mengadakan mesyuarat dengan semua guru untuk pencalonan murid yang sesuai dilantik menjadi pengawas sekolah. Ciri-ciri seorang pengawas yang dilantik adalah seorang yang berdisiplin, adil dan saksama, cemerlang dalam pelajaran, sentiasa mahu belajar perkara yang baru dan mahir berkomunikasi dan paling penting mahir mengurus masa yang baik. Setelah senarai nama calon-calon pengawas di serahkan kepada badan disiplin, badan disiplin akan bermesyuarat untuk menyenaraikan senarai pendek bakal-bakal pengawas yang akan dilantik. Apabila senarai nama calon-calon dikeluarkan, surat dikeluarkan untuk memaklumkan kepada ibu bapa bahawa anak mereka terpilih untuk dicalonkan menjadi pengawas sekolah. Surat ini dikeluarkan sebelum cuti persekolahan hujung tahun. Ibu bapa akan membalas surat pemberitahuan berkenaan sebagai tanda setuju atau tidak.
            Calon-calon yang telah mendapat persetujuan dari ibu bapa akan dipanggil untuk di temuduga. Temuduga berkenaan dijalankan oleh barisan kepimpinan iaitu guru disiplin, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Besar. Semasa proses ini, barisan kepimpinan akan melihat sejauh mana kebolehan murid berkomunikasi dan menguji keyakinan murid berdepan dengan pelbagai situasi, berfikiran positif dan terbuka. Sebagai contoh, Guru Disiplin akan memberi suatu situasi permasalahan, calon berkenaan diminta untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan. Pemarkahan akan di kira melalui kebijaksanaan murid menyelesaikan situasi berkenaan dengan bijak dan berkesan. Calon-calon yang berjaya meyakinkan barisan kepimpinan semasa temuduga, akan diberitahu dan akan diberi tempoh percubaan. Semasa tempoh ini, calon-calon akan memakai pakaian seragam seperti murid-murid yang lain tetapi mempunyai tanda nama pengawas percubaan. Calon akan diberi tugas dan peranan seperti barisan pengawas yang lain. Di dalam tempoh percubaan ini calon akan dipantau oleh guru disiplin dan rakan- rakan pengawas yang lain. Satu kursus kepimpinan akan di jalankan ke atas calon-calon pengawas. Di sini sekali lagi mereka akan diuji ciri-ciri kepimpinan mereka.
            Oleh itu, jika calon-calon itu benar-benar layak dan mampu menjalankan tanggungjawab sebagai pengawas sekolah, calon akan dilantik secara rasminya. Majlis perlantikan akan dijalankan di perhimpunan pagi di hadapan semua guru-guru dan murid-murid sekolah berkenaan. Ketua Pengawas, Penolong Ketua Pengawas juga diberi watikah perlantikan ketika itu. Setelah mendapat watikah perlantikan, badan pengawas akan membaca ikrar sebagai tanda janji akan menjalankan tugas dengan baik.  Selain itu, badan pengawas itu sendiri mempunyai mesyuarat mereka sendiri. Ia dipengerusikan oleh Ketua Pengawas dan guru disiplin sebagai penasihat kepada mesyuarat berkenaan. Di dalam mesyuarat itu, setiap pengawas akan diberi tugas khusus sebagai contoh, pengawas yang menjaga pintu pagar hadapan dan belakang. Pengawas juga dipecahkan kepada kumpulan bertugas mingguan di perhimpunan sekolah. Oleh itu, perlantikan badan pengawas dibuat dengan begitu teliti agar pemilihan adalah tepat dengan objektifnya untuk menjadikan sekolah tempat untuk menuntut ilmu dan murid-murid selesa berada di sekolah. Pengawas boleh berdikari sendiri dengan menjalankan mesyuarat badan pengawas mereka.
            4.2       KETUA KELAS
            Perlantikan ketua kelas agak berbeza dengan perlantikan pengawas. Perlantikan ketua kelas dibuat di dalam kelas. Biasa nya guru sudah mengenal pasti murid yang berkelayakan di dalam kelas. Ketua Kelas bukanlah dari kalangan pengawas sekolah mahupun perpustakaan kerana ia akan membebankan murid berkenaan. Kelas merupakan suatu organisasi yang diketuai oleh ketua kelas dan di bantu oleh penolong ketua kelas dan guru kelas menjadi penasihat kepada organisasi berkenaan. Perlantikan ketua kelas mendapat persetujuan keseluruhan murid di dalam kelas. Guru akan meminta murid untuk mencalonkan nama-nama murid dan undian akan di buat. Kebiasaannya, ketua kelas adalah seorang lelaki dan penolong adalah perempuan. Setelah mendapat persetujuan majoriti di dalam kelas, Ketua Kelas  dan penolongnya secara rasminya di lantik. Mereka akan menjalankan tugas-tugas sebagai ketua dan penolong ketua kelas. Kemudian mereka juga akan dihantar menyertai kursus kepimpinan bersama-sama badan pengawas supaya mereka merasa sebagai seorang pemimpin dan menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.
5.0       PENILAIAN TERHADAP PERANAN BADAN PENGAWAS DAN KETUA          KELAS
            5.1       BADAN PENGAWAS
            Badan pengawas berjaya membantu pentadbiran sekolah dan menyelia tingkah laku murid-murid dengan pengurangan masalah disiplin di sekolah. Menurut temu bual yang telah dijalankan, kedua-dua responden memberi pendapat yang akan serupa iaitu mereka berpendapat bahawa peranan badan pengawas sekolah dapat mengurangkan beban guru disiplin. Ini kerana peranan yang diberikan kepada badan pengawas membolehkan murid-murid lain berasa gerun dan takut untuk melakukan kesalahan disiplin. Sebagai contoh, murid tidak meletakkan pinggan yang digunakan di kantin di tempat yang sepatutnya. Apabila ada pengawas di kantin berkenaan dan menegur murid yang melakukannya, murid lain juga akan berasa takut melakukan perkara yang sama. Ini kerana di waktu rehat, guru juga mengambil kesempatan untuk makan dan minum dan tidak berkesempatan untuk melihat salah laku murid sepenuhnya. Peranan yang di mainkan oleh pengawas adalah sangat membantu guru dalam menyelia tingkah laku murid.
            Bagi mengkaji semula peranan pengawas sekolah, beliau mencadangkan peranan pengawas boleh diperluaskan lagi seperti sekolah menengah. Badan Pengawas boleh menjalankan hukuman kepada murid atas kesalahan yang kecil selagi ia tidak melampaui batas. Sebagai contoh, murid yang membuang sampah merata tempat. Badan pengawas boleh mencari jalan supaya ia menjadi budaya sekolah supaya sesiapa yang dilihat membuang sampah dikenakan hukuman kecil oleh pengawas. Contoh denda yang boleh dijalankan adalah murid berkenaan perlu mengutip sampah yang berdekatan dengannya. Ini akan boleh membuatkan murid takut untuk membuang sampah di merata tempat. Bagi murid yang ditemu bual, mereka berpendapat bahawa sebahagian pengawas yang menjalankan tugas-tugas mereka membantu pentadbiran sekolah, tetapi ada sesetengah pengawas turut melakukan kesalahan yang sama yang di lakukan oleh murid-murid yang lain seperti datang lewat ke sekolah. Ini menyebabkan, murid-murid akan berasa kurang hormat terhadap kredibiliti pengawas berkenaan. Dalam mengkaji semula peranan pengawas sekolah, guru disiplin perlu memberi penekanan terhadap pra-syarat pemilihan pengawas. Ini kerana badan pengawas mencerminkan iklim dan budaya sekolah berkenaan dan seterusnya membantu pencapaian akademik murid-murid.
           
            5.2       KETUA KELAS
            Peranan ketua kelas menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid adalah membantu dari segi kawalan pentadbiran kelas dan menyelia tingkah laku di dalam kelas. Menurut temu bual yang telah dijalankan ke atas responden, mereka bersetuju dengan peranan ketua kelas yang mengawal kelas semasa ketiadaan guru dan banyak membantu guru-guru mentadbir kelas. Ini terutama bagi murid di kelas yang lemah. Murid-murid lebih nakal dan kurang mendengar arahan. Dengan bantuan ketua kelas, bebanan guru terhadap pengurusan kelas dapat dikurangkan. Ketua kelas menjadi 'abang' kepada murid-murid yang lain. Kecemerlangan sesebuah kelas juga mencerminkan kepimpinan ketua. Ketua kelas bertanggungjawab melaporkan kedatangan murid, murid ponteng, melihat jadual relief di pejabat dan pelbagai lagi tugas-tugas seorang ketua kelas yang meringankan urusan pentadbiran. Oleh itu, responden berpendapat bahawa tugas-tugas ketua kelas sangat membantu guru kelas dan juga guru mata pelajaran mendapatkan info mengenai kelas.
            Pandangan responden mengenai mengkaji semula peranan ketua darjah adalah peranan ketua kelas adalah perlu diselaraskan seperti peranan badan pengawas. Ini kerana ketua kelas juga adalah pemimpin seperti pengawas cuma skop ketua kelas adalah lebih kecil iaitu di dalam kelas. Apabila dikaji semula, peranannya seakan sama iaitu pengawas menjaga pintu pagar untuk melihat murid yang lewat ke sekolah dan pengawas pula memastikan murid-murid tidak ponteng semasa pembelajaran dan pengajaran dijalankan. Ini menunjukkan peranan sebagai pemimpin murid di sekolah, ketua kelas dan pengawas mempunyai peranan yang seakan sama cuma skop yang berlain. Ketua kelas sepatutnya di berikan 'batch' supaya murid-murid lain juga mengenali beliau sebagai pemimpin kelas. Ini kerana pengawas mempunyai uniform mereka dan ketua kelas tidak berasa rendah diri dengan jawatan mereka dan lebih bersemangat dengan kepercayaan yang di berikan kepada beliau. Menurut pandangan murid yang ditemu bual pula, murid berasa mudah untuk berkomunikasi dengan ketua kelas jika mempunyai sebarang masalah. Ketua kelas menjadi orang tengah antara murid dan guru dalam sesetengah hal. Murid kadangkala takut untuk memberitahu sesuatu kepada guru dan ia menjadi tugas ketua kelas untuk memainkan peranan. Murid juga berasa selamat dan selesa apabila ketua kelas menjalankan tugasnya. Murid juga takut untuk berbuat bising semasa guru tiada dengan kawalan ketua kelas. Murid tidak ketinggalan sesuatu kelas kerana ketua kelas akan bergerak pantas mencari guru yang ditetapkan untuk menggantikan guru yang tidak hadir.
6.0       KESIMPULAN

            Secara keseluruhannya, kajian yang telah dijalankan ke atas pemimpin murid di sekolah adalah pemimpin murid membantu dalam kawalan pentadbiran murid dan menyelia disiplin murid. Ini kerana tugas yang diberikan kepada badan pengawas dan ketua kelas adalah untuk menegur salah laku murid dan melaporkannya kepada guru disiplin. Mereka juga menjadi role model kepada murid-murid yang lain. Murid-murid lain berasa hormat dan takut melakukan kesalahan kerana wujudnya pengawas di sekolah. Peranan dan tugas ketua kelas dan badan pengawas adalah seakan sama iaitu bertanggungjawab terhadap guru dan menjadi pemimpin kepada murid-murid yang lain cuma skop pentadbiran adalah berlainan.  Pengawas dan ketua kelas juga menjadi orang tengah antara murid dan guru dalam sesetengah perkara.  Jika pengawas adalah pada keseluruhan murid tetapi kelas di dalam kelas sahaja. Pun begitu, kedua-kedua tugas mereka adalah sama iaitu membantu guru dalam melancarkan perjalanan sekolah dan membantu kawalan disiplin. Dalam mengkaji semula peranan badan pengawas dan ketua kelas, mereka perlu di beri lebih tanggungjawab supaya mereka akan lebih bertanggungjawab atas tugas yang diberi kepada mereka. Oleh itu, badan pengawas dan ketua kelas adalah berperanan penting dalam membantu sekolah melancarkan perjalanan kawalan pentadbiran dan menyelia disiplin murid.