Thursday, August 2, 2012

KESAN PEMBENTUKAN SEKOLAH BESTARI


ni asignment aku sem ni... the best markah y aku dapat.. .28/30...alhamdulillah...


1.0       PENGENALAN

            Sebuah sekolah luar Bandar diberi pengiktirafan sabagai sekolah bestari. Mungkin dahulu tidak terlintas difikiran kita sekolah luar Bandar mampu bersaing dengan arus pemodenan semasa dan menjadi role model kepada sekolah yang lain. Justeru itu, kerajaan bercadang untuk menaik taraf sekolah Sekolah Kebangsaan Ampangan Rasau (SKAR) menjadi sebuah sekolah bestari. Jika kita lihat nama sekolah bestari sudah terfikir di kepala kita sebuah sekolah serba moden dan lengkap dengan peralatan dan kelengkapan teknologi terkini. Sekolah bestari merupakan lambang kemegahan dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilaksanakan menjelang tahun 2000. Sekolah Bestari adalah sebuah institusi pembelajaran yang sistemik dari segi amalan pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk menyediakan murid - murid ke Era Teknolgi Maklumat. Kewujudan sekolah ini bukan sahaja untuk mereka yang pintar tetapi untuk menjamin setiap pelajar belajar dalam gaya pembelajaran yang berlainan. Berketepatan dengan objektif perlaksanaan sekolah bestari adalah untuk menghasilkan tenaga kerja yang berpemikiran dan juga celik teknologi. Selain itu, ia bertujuan untuk mendemokrasikan pendidikan serta meningkatkan pernyertaan pihak yang berkepentingan selain dapat memupuk perkembangan menyeluruh seseorang individu dan memberi peluang untuk meningkatkan kekuatan dan keupayaan seseorang individu itu.
            Menurut ciri-ciri sekolah bestari ialah berdasarkan falsafah yang mengatakan bahawa semua murid boleh belajar jika diajar, tambahan pula dengan harapan yang tinggi kepada semua murid. Selain dari itu, ciri-ciri sekolah bestari ialah kurikulum yang luas dan menganggap bahawa keupayaan dan keperluan yang berbeza bagi semua murid, iklim sekolah yang kondusif untuk pembelajaran dan penilaian berterusan bagi menyokong arahan yang kukuh dan profesional  dari guru besar dan guru. Ciri – ciri lain adalah tahap penglibatan dan sokongan ibu bapa dan komuniti tentang perlaksanaan sekolah bestari. Laporan ini disediakan adalah kerana untuk mengetahui bagaimana penggunaan komputer secara meluas dalam pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran di SKAR dapat dilaksanakan. Ini kerana komponen utama sekolah bestari adalah pengajaran dan pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran, kemahiran dan tanggungjawab, teknologi, proses dan polisi.
            Oleh itu, dalam laporan yang disediakan ini dibincangkan berkenaan dengan kesan – kesan kepada sekolah terbabit dari segi pentadbiran sekolah, pengajaran yang dijalankan oleh guru-guru dan bagaimana proses pembelajaran yang bakal berlaku. Ini kerana kita semua tahu ini adalah sebuah sekolah di kawasan luar bandar. Bagaimana penerimaan suatu perubahan yang mendadak yang bakal berlaku di sekolah ini. Di dalam laporan ini juga akan dibincangkan juga cadangan perubahan yang perlu dilakukan ke atas sekolah berkenaan. Perubahan adalah dari segi perkakas, perisian dan orang yang terlibat menyokong perlaksanaan sekolah bestari di SKAR. Dengan menggalakkan SKAR menjadi Sekolah Bestari, laporan berikut disediakan.

2.0       KESAN PEMBENTUKAN SEKOLAH BESTARI KEPADA SKAR

2.1       PENTADBIRAN SEKOLAH

            Bagi melaksanakan sekolah bestari pentadbiran merupakan perkara pokok yang perlu titik beratkan agar ia selari dengan perlaksanaannya. Ini kerana, pengurusan yang cekap dan berkesan dalam mengurus sumber dan teknologi diperlukan untuk menyokong fungsi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Terdapat sembilan kesan kepada pentadbiran dalam pelaksanaan sekolah bestari dan antaranya komponen yang penting ialah keselamatan, perundangan sekolah, hal ehwal pelajar, sumber pendidikan, sumber luar, kemudahan, sumber manusia, pengurusan kewangan dan teknologi. Pengurusan seharusnya selari dengan perkembangan sekolah kerana ia merupakan nadi kepada pembentukan sekolah bestari selain dapat menjimatkan kos dan mempercepatkan sesuatu proses aktiviti. Ini kerana bagi mencapai objektif ini, satu sistem yang lebih efektif diperlukan di sekolah bestari agar pentadbiran sekolah dapat diuruskan dengan baik dan cekap.
2.1.1    Sumber Manusia
            Organisasi sekolah bestari memerlukan sistem maklumat bagi membolehkan sekolah berkenaan mendapat maklumat yang terkini dan tepat. Sistem yang boleh digunakan dalam organisasi adalah suatu sistem yang dikenali sebagai Human Resources Information System (HRIS) atau Sistem Maklumat Sumber Manusia (HRIS). Sistem ini merupakan gabungan ilmu sumber manusia dan teknologi maklumat. Ini merupakan salah satu ciri sumber manusia di dalam pentadbiran. Di dalam sistem maklumat ini, terdapat tiga aktiviti penting yang dikenali sebagai kemasukan (input), pemprosesan dan keluaran (output).  Ia berfungsi untuk menghasilkan maklumat yang diperlukan dalam mengawal operasi dan membuat keputusan. Seterusnya menganalisa masalah dan mencipta produk atau perkhidmatan yang baru.
            Penggunaan HRIS dapat menyeragamkan semua aspek fungsi Sumber Manusia termasuk pengambilan guru dan kakitangan, permohonan cuti dan latihan kemahiran. Penggunaan HRIS yang dicadangkan bagi sekolah bestari ini adalah perkhidmatan layan diri bagi semua guru dan kakitangan sekolah. Perkhidmatan ini membolehkan pihak pengurusan sekolah memuatnaik maklumat penting berkaitan dengan sumber manusia seperti dasar dan polisi organisasi serta maklukamt terbaru yang mana ia boleh diakses melalui web oleh guru dan semua kakitangan pada bila-bila masa sahaja. Sebagai contoh, dengan menggunakan HRIS guru dan kakitangan boleh menggunakan fungsian rutin sumber manusia seperti permohonan cuti rehat atau cuti sakit dengan mengisi transaksi dalam talian tanpa ke pejabat untuk mengisi borang secara manual. Ini dapat menjimatkan masa, kos dan ia lebih mudah. Selain dari itu, dengan menggunakan HRIS dapat pengurusan penjadualan guru-guru serta  aktiviti termasuk aktiviti-aktiviti kakitangan sekolah melalui maklumat mudah diakses.
            Kelebihan penggunaan HRIS ialah HRIS mempunyai ciri-ciri keselamatan yang canggih seperti perlindungan kata laluan, akses masuk melalui pengenalan identiti, dan firewalls untuk aplikasi web. Ini dapat membantu organisasi untuk memastikan pematuhan terhadap seluruh manual privasi dan kerahsiaan. Kebaikan kepada pengurusan sumber manusia pula, pengursusan yang lebih cekap dan berkesan pentadbiran kepada guru dan kakitangan. Guru – guru akan lebih peka dengan keperluan mereka dan apa yang harapkan oleh mereka. Pengurusan Sumber Manusia akan bertambah baik dalam semua fungsi. Kakitangan juga akan berasa selesa bekerja dan meningkatkan mutu pembelajaran murid.
2.1.2    Hal Ehwal Pelajar
            Mengenai Hal Ehwal Pelajar dalam pengurusan sekolah bestari pula adalah berkaitan dengan pengurusan maklumat murid dan semua yang berkaitan dengan data murid. Ini membolehkan pentadbir mengambil input dan data murid mengenai profil pelajar yang termasuk butir-butir peribadi serta rekod prestasi yang boleh disesuaikan untuk penggunaan dalam rekod taksiran sekolah dan dapat input yang berkaitan rekod ibu bapa atau penjaga untuk kegunaan dalam pemberian pinjaman buku, biasiswa dan sebagainya. Selain dari itu, dapat melaporkan dan menganalisis data murid yang termasuk markah penilaian. Melalui data yang telah diterima, ia akan dianalisi dan membolehkan murid dikategorikan mengikut umur, bangsa, jantina dan agama. Data ini juga perlu untuk pergerakan murid ke sekolah yang lain apabila diperlukan. Ia juga perlu untuk merekodkan kehadiran murid ke sekolah dan butiran mengenai aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Sebagai contoh, penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bercerita, sukan dan permainan di peringkat daerah, negeri, peringkat kebangsaan dan Antarabangsa. Ia akan di rekod, di analisis dan di buat laporan mengenainya.

2.2       PENGAJARAN YANG DILAKUKAN OLEH GURU

            Pengajaran oleh guru penting kepada kejayaan Sekolah Bestari. Guru perlu diberi latihan intensif dalam penggunaan teknologi maklumat dan aktiviti bilik darjah supaya dapat meningkatkan daya berfikir dan kreativiti seseorang guru itu. Guru Sekolah Bestari juga perlu belajar untuk membantu menggalakkan murid  bertanggungjawab atas pembelajaran mereka sendiri. Dalam jangka masa panjang pula, guru-guru akan perlu untuk menambah kemahiran mereka, jika tidak mereka akan ketinggalan dalam perkembangan  profesion mereka dan yakin dalam penggunaan teknologi terkini. Melalui penggunaan teknologi di sekolah bestari guru dapat mempertimbangkan keutamaan pembelajaran murid dengan mencadangkan kaedah dan bahan – bahan pengajaran. Sekolah bestari menampilkan media konvensional digunakan dengan bersepadu dengan media yang berteknologi tinggi seperti bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan komputer dan perisian yang memenuhi pelbagai keperluan dan keupayaan pelajar.
2.2.1    Interaktif Di Dalam Bilik Darjah
Sekolah Bestari menggunakan rangkaian berteknologi tinggi sepenuhnya. Skop penilaian Sekolah Bestari adalah holistik di mana ia meliputi bukan sahaja pencapaian tetapi juga kesediaan dan kebolehan murid. Oleh itu, pendekatan ini memberi pelbagai maklumat mengenai gaya pembelajaran murid. Gaya pembelajaran berdasarkan di dalam kelas menggunakan teknologi seperti persembahan slaid, aktiviti yang berkaitan dengan subjek, penggunaan tiga dimensi objek dan persembahan audio dan video. Bagi penggunaan alat tiga demensi seperti glob dunia, boneka, model, bahan tiruan dan contoh-contoh yang lain boleh juga disertakan atau diiringi oleh audio dan video. Bagi persembahan audio dan video pula, adalah seperti jalur filem, program di radio dan televisyen, gerakan gambar, mikrofilem, mikrofis, kad audio dan pita audio.
2.2.2    Berdasarkan Rangkaian
Guru boleh menggunakan tv interaktif sebagai menambah minat murid akan mendalami sesuatu subjek. Ini kerana visual tv interaktif biasanya menggunakan kartun untuk menarik minat murid. Selain dari itu, guru – guru berhubung dengan murid melalui e-mail. Soalan – soalan tugasan dihantar kepada murid melalui e-mail atau melalui portal sekolah. Ini menyebabkan pengajaran oleh guru lebih efektif. Guru – guru juga terlibat dengan pengajaran jauh. Selain guru di dalam kelas, guru juga diberi tanggungjawab sebagai online tutor. Video Confrencing antara guru dan murid dapat menambahkan lagi keberkesanan pengajaran guru di sekolah bestari dan pengajian jaug. Ini bermakna pengajaran yang dilakukan oleh guru sekolah bestari bukan sahaja di dalam kelas dengan menggunakan teknologi komputer tetapi juga di luar kelas. Ini membolehkan matlamat sekolah bestari tercapai.

2.2.3    Contoh Rutin Harian Guru di Sekolah Bestari

Jam 7.20 pagi, guru akan log masuk ke komputer di dalam bilik guru untuk menyemak kerja rumah disiapkan oleh murid serta kehadiran murid untuk hari tersebut. Pada jam 7.45 pagi memulakan pengajaran dengan menggabungkan persembahan multimedia. Kemudian jam 9.30 pagi guru akan membalas email yang dihantar oleh murid kepadanya. Jam 11.00 pagi guru akan mengemaskini rekod penilaian portfolio murid sebagai persediaan untuk persidangan antara ibu bapa dan guru. Jam 12.30 tengah hari, guru akan mencari maklumat tentang pembelajaran yang sedang dijalankan. Jam 3 petang menghadiri sidang mesyuarat melalui sidang video di peringkat negeri dan akhirnya jam 8.00 malam menilai secara kormesial garis panduan yang baru di keluarkan oleh pihak kementrian.

2.3       PROSES PEMBELAJARAN MURID

            Jika sebelum ini, persekitaran bilik darjah hanya berpusat sepenuhnya kepada guru tetapi bagi sekolah bestari ianya berpusat kepada murid. Terdapat empat empat pilihan asas merentasi spektrum. Antara faktor perbezaannya ialah dari segi menentukan tugasan pengajaran. Jika ianya berpusat sepenuhnya pada guru, ia akan ditentukan oleh guru, apabila guru sebagai mentor dan model tugasan dicadangkan oleh guru dan akan dibuka untuk sesi berbincang bersama murid. Jika guru sebagai jurulatih atau fasilitator, tugasan ditentukan oleh murid dan guru akan memberi cadangan dan input yang berkaitan. Begitu juga jika berpusatkan kepada murid, tugasan ditentukan oleh murid dan guru akan memberi cadangan dan input yang berkaitan. Di Sekolah Bestari, terdapat satu gabungan strategi pembelajaran yang sesuai bagi memastikan penguasaan kompetensi asas dan pembangunan holistik murid. Jika sebelum ini pembelajaran hanya di bilik darjah semata tetapi dengan kewujudan pembelajaran sekolah bestari murid menyemak semula apa yang dipelajari setelah pulang ke rumah seperti e-learning, digital library, video conferencing, e-tutor dan sebagainya.

2.3.1    E-Learning

            Dengan berasaskan penggunaan teknologi komputer, sekolah bestari menggunakan portal sendiri untuk  e-learning. Melalui  e-learning, setiap murid dan guru mempunyai id dan kata laluan masing-masing. Ini membolehkan setiap guru dan murid dapat mengakses portal di mana sahaja. Guru memuat naik nota – nota yang berkaitan dengan pengajaran di dalam kelas, dan murid dapat mengulangkaji setelah pulang ke rumah. Selain dari itu, segala tugasan yang hendak diberi kepada murid, hanya perlu di muat naik di portal dan murid akan di memuat turun tugasan terbabit. Murid boleh menyemak tugasan yang dibekalkan oleh guru dan menyiapkannya mengikut tarikh yang ditetapkan. Dari segi penghantaran pula, setelah tugasan siap murid perlu  memuat naik tugasan melalui sistem e-learning dan menghantarnya dengan menekan satu butang sahaja dan murid tidak perlu mencetak tugasan. Selain dari itu, soalan – soalan latihan juga boleh di dapati melalui portal. Murid boleh membuat latihan dan dapat terus menyemak jawapan yang diberi samaada betul atau tidak.  Ini menjadikan kerja lebih mudah dan murid lebih banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran tambahan dapat menggunakan teknologi yang disediakan sebaik yang mungkin.

2.3.2    E-Tutor

            E-tutor merupakan guru di alam maya. Murid tidak dapat melihat guru secara terus tetapi dapat berkomunikasi melalui portal. Seperti yang diterangkan sebelum ini, tugasan yang diberikan kepada murid adalah melalui portal, jadi murid dapat terus menanyakan soalan – soalan yang tidak difahami atau kurang jelas kepada e-tutor. E-tutor boleh jadi guru matapelajaran mereka sendiri atau guru yang dilantik untuk mengendalikan e-tutor.  Selain dari itu, di dalam penggunaan e-tutor, terdapat juga forum. Melalui forum murid bukan sahaja boleh berkomunikasi dengan tutor, tetapi sesama rakan yang lain. Murid boleh membina satu tajuk kecil untuk dibincangkan. E-tutor pula akan memantau atau membantu segala keraguan yang di coretkan di forum. Jadi persoalan murid dapat dijawab dengan segera. Ini dapat mempercepatkan pemahaman murid tentang sesuatu perkara tanpa menunggu masa yang lama untuk mendapatkan jawapan.

2.3.3    Digital Library
            Digital Library adalah perpustakaan di alam maya. Bagi menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, pastinya murid memerlukan buku rujukan kerana tidak semua perkara yang dikehndaki ada di dalam nota yang disediakan. Nota tambahan pastinya diperlukan oleh murid. Murid boleh meminjam buku di atas talian. Di digital library, murid juga diberi kad pinjaman seperti perpustakaan biasa. Pada kad terbabit terdapat no id murid. Secara automatiknya pustawan mengetahui butiran mengenai murid terbabit. Di digital library juga, terdapat buku yang dicetak dan buku yang terus boleh di akses melalui portal. Bagi buku yang dicetak, perlu di ambil di perpustakaan sekolah tetapi hanya dengan menunjukkan no panggilan pustakawan boleh terus memberi buku yang dikehendaki tanpa perlu mencari semula buku terbabit. Selain dari itu, bank soalan peperiksaan yang lepas juga terdapat di digital library. Ini bermakna digital library sangat berguna kepada murid sekolah bestari kerana aplikasi semua teknologi komputer menjadi mudah dan ia sangat membantu murid dalam membuat rujukan.

2.3.4    Contoh Rutin Harian Seorang Murid Sekolah Bestari
            Jam 7.20 pagi murid-murid akan datang ke sekolah. Kedatangan mereka di kira apabila mereka mula log masuk kedatangan elektronik. Selepas log masuk mereka akan ketahui aktiviti harian di dalam buliten portal. Jam 8.40 pagi murid – murid akan mengambil bahagian dalam sidang video. Kemudian jam 9.30 pagi murid mendengar persembahan multimedia oleh guru sains. Semasa rehat jam 10.30 pagi mereka akan menyemak email yang masuk. Selepas rehat, jam 11.40 pagi murid akan membentangkan laporan lisan di hadapan kelas yang rakaman video. Kemudian murid akan mengumpulkan maklumat untuk satu projek untuk ditulis laporan mengenainya. Jam 3 petang, murid akan main permainan berasaskan komputer dan menggunakan realiti maya dan bunyi. Akhirnya jam 8.00 malam murid akan menghantar draf laporan kepada ahli kumpulan dan mengenai keraguan pada pelajaran pada hari ini.

3.0       PERUBAHAN YANG DIPERLUKAN OLEH SKAR

3.1       HARDWARE (PERKAKAS)
            Kita sedia maklum bahawa SKAR sebuah sekolah di luar bandar. Sudah pasti hardware yang ada di sekolah berkenaan jauh ketinggalan. Perubahan yang perlu ada bagi menyokong perlaksanaannya ialah  komputer. Ini kerana komputer akan digunakan sepenuhnya di sekolah bestari. Bekalan komputer mestilah mencukupi agar ia bersesuaian dengan kapasiti murid yang ada supaya matlamat penubuhan sekolah bestari di SKAR tercapai. Oleh itu, di setiap meja guru di bilik beliau perlu ada sebuah komputer yang perlu dilengkapi dengan kemudahan internet, pencetak, pengimbas, pembesar suara dan sebagainya. Di dalam kelas pula, sudah seharusnya komputer mencukupi bagi setiap murid dan guru agar pembelajaran dapat di jalankan dengan selesa dan matlamat boleh dicapai. Bagi menyokong penggunaan komputer, setiap kelas juga harus dilengkapi dengan OHP, projector, layar putih dan sebagainya. Selain dari itu, murid – murid dan guru – guru juga perlu dibekalkan dengan sebuah netbook atau tablet seperti I Pad, dan Galaxy Tab. Ini kerana segala tugasan, pemberitahuan, nota dan sebagainya yang diberikan oleh guru adalah melalui portal. Portal hanya boleh diakses melalui internet. Jadi, jika murid dibekalkan tablet  atau netbook mereka boleh mengaksesnya di mana sahaja. Murid boleh mengulangkaji di mana sahaja tanpa membawa buku. Murid juga dapat maklumat terbaru dengan pantas.

3.2       SOFTWARE (PERISIAN)
            Dengan penggunaan komputer sepenuhnya, pasti menggunakan perisian bagi menyokong penggunaan komputer tersebut. Komputer – komputer yang digunakan mestilah menggunakan perisian yang terkini agar ia berkembang seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang digunakan oleh dunia. Setiap perisian yang dibekalkan haruslah dilengkapi dengan microsoft office seperti microsoft word, microsoft excel,dan microsoft Power Point yang terbaru bagi membolehkan murid membuat tugasan yang diterima. Selain itu juga, portal sekolah dijadikan satu perisian yang utama di dalam setiap komputer yang digunakan. Oleh itu, perisian – perisian ini perlu bagi melancarkan perjalanan pembelajaran sekolah bestari.

3.3       PEOPLE ( ORANG )
            Tanggungjawab sebagai ibubapa boleh memainkan peranan yang penting dalam membantu Sekolah Bestari menyediakan pendidikan individu bagi murid. Murid akan melakukan yang lebih baik apabila ibu bapa mereka yang terlibat sama dalam proses pembelajaran. Ibubapa akan memantau kemajuan kanak-kanak, dan menyediakan bimbingan, dan motivasi. Ibubapa perlu membiasakan dengan proses baru pendidikan, kesediaan untuk membantu dengan membangunkan pengajaran dan pembelajaran dan bahan-bahan penilaian, serta keupayaan untuk mengakses pangkalan data domain awam elektronik sekolah. Selain itu, guru-guru sekolah bestari perlu latihan intensif tentang kemahiran teknologi maklumat. Di samping itu juga, guru perlu dilatih bagi menggalakkan murid untuk mengambil bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri. Ia perlu untuk memberikan peluang kepada guru untuk meneroka pelbagai bidang dan strategi serta peluang untuk melibatkan diri dalam dunia yang sebenar.

4.0       KESIMPULAN
            Secara keseluruhannya, bagi melaksanakan sekolah bestari adalah berlandaskan komputer dan teknologi terkini.  Penggunaan komputer akan mempengaruhi pentadbiran di sekolah yang mana sistem HRIS boleh dilaksanakan kerana ia adalah gabungan antara sumber manusia dan teknologi maklumat. Ini kerana sistem yang lebih efektif diperlukan di sekolah bestari agar pentadbiran sekolah dapat diuruskan dengan baik dan cekap. Selain dari itu, pengajaran yang dijalankan oleh guru juga mempengaruhi perlaksanaan sekolah bestari. Pengajaran adalah berdasarkan interaktif di dalam bilik darjah dan berdasarkan rangkaian. Gaya pembelajaran berdasarkan di dalam kelas menggunakan teknologi seperti persembahan slaid, aktiviti yang berkaitan dengan subjek, penggunaan tiga dimensi objek dan persembahan audio dan video. Berdasarkan rangkaian, guru juga berhubung dengan murid melalui e-mail. Di dalam pengajaran yang dijalankan oleh guru juga, disertakan contoh rutin harian guru dan murid sekolah bestari. Bagi menjalankan sekolah bestari, perubahan yang perlu dilakukan adalah berdasarkan perkakas untuk merealisasikan sekolah bestari, perisian bagi menyokong penggunaan tekonologi moden dan orang iaitu guru, ibubapa dan masyrakat sekeliling yang terlibat secara langsung atau tidak. Oleh itu, banyak perkara yang mempengaruhi penubuhan sekolah bestari dan banyak juga perubahan yang diperlukan bagi merealisasikan sekolah bestari di luar Bandar.