Wednesday, January 2, 2013

PENILAIAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)


Inilah asignment terbaik dari aku...
29/30... alhamdulillah..:D


1.0       PENGENALAN
            1.1       PENDAHULUAN   
            Pada tahun 2011, bermulanya era baru dalam pentaksiran prestasi murid sekolah rendah di Malaysia. Ini kerana Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mula dilaksanakan secara rasmi di semua sekolah rendah yang melibatkan semua murid tahun 1 pada tahun berkenaan. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu murid dinilai dari aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara”.
Pelaksanaan PBS dalam UPSR mulai Tahun 2016 iaitu 60 peratus Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan 40 peratus Berdasarkan Peperiksaan. Pengurangan peperiksaan akan memberi peluang guru dan murid memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran dan kreativiti. Kementrian Pelajaran Malaysia membangunkan sistem pengurusan pentaksiran PBS bagi komponen akdemik dan bukan akademik. Ia digunakan oleh kepimpinan di sekolah untuk merekod dan menyimpan maklumat penguasaan murid dalam PBS serta melaporkannya apabila diperlukan. SPPBS juga dibangunkan dengan persekitaran teknologi web-based. Semua kepimpinan yang terlibat bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan.
            1.2       METHODOLOGI
Dalam laporan yang disediakan ini, sebuah sekolah rendah di Selangor telah dipilih untuk dikaji peranan kepimpinan di sekolah  dalam melaksanakan penilaian berasaskan sekolah ( PBS ), ciri-ciri utama PBS yang dijalankan di sekolah dan responden terhadap barisan kepimpinan sekolah berkaitan dengan penilaian berasaskan sekolah ( PBS ). Nama sekolah dan nama-nama guru dirahsiakan untuk tujuan keselamatan. Saya telah memilih seorang Guru Penolong Kanan Kurikulum dan seorang Guru Tahun 1. Pemilihan Guru Penolong Kanan Kurikulum sebagai responden adalah kerana beliau bertanggungjawab untuk membantu Guru Besar mengatur perjalanan kurikulum di sekolah. Pemilihan Guru Tahun 1 pula adalah kerana beliau sudah menjalankan KSSR pada tahun 2011. Jadi, beliau sudah berpengalaman selama satu tahun dan mengetahui arus penilaian berasaskan sekolah. Maka, pemilihan guru-guru berkenaan boleh dikatakan tepat kerana mereka terlibat secara langsung dalam Penilaian Berasaskan Sekolah ( PBS ) ini. Temu bual dilakukan secara Soalan dan jawapan.
Selain dari temu bual yang di jalankan, saya juga diberi kebenaran untuk melihat sendiri fail Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekolah berkenaan dan Fail Peribadi Murid. Saya juga ada mendapatkan maklumat tambahan melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia dan laman sesawang yang lain juga banyak membantu mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Hasil temu bual di dalam laporan di bawah.

2.0       CIRI-CIRI UTAMA PENILAIAN BERASASKAN SEKOLAH
            2.1       HOLISTIK
Penilaian berasaskan sekolah adalah holistik iaitu mampu memberikan maklumat keseluruhan tentang pencapaian pengetahuan dan kemahiran murid. Pada peringkat perancangan, guru memilih standard kurikulum yang akan diajar kepada murid yang terlibat. Guru juga merancang pengajaran dan pembelajaran yang diajar dan juga menyediakan kaedah pentaksiran. Semasa peringkat pelaksanaan guru juga bertanggungjawab melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dan pentaksiran. Standard prestasi diperkenalkan untuk melihat perkembangan serta pencapaian prestasi seseorang murid berkenaan. Standard prestasi yang digunakan dalam Pentaksiran Sekolah adalah mengikut Band (Band 1 hingga Band 6). Oleh itu, dalam pemantauan guru dapat mengetahui apa yang akan dapat dicapai dalam pendidikan murid, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada setiap murid.
            2.2       FLEKSIBEL
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah fleksibel kerana pentaksiran adalah pelbagai dan ia mengikut kesesuaian dan kesediaan seseorang murid tersebut. Pada permulaan guru akan merancang apa yang perlu diajar dengan memilih kandungan mata pelajaran yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan seterusnya menyampaikan kandungan menggunakan pelbagai strategi dan mengikut kreativiti guru. Guru akan mentaksir pemahaman murid setelah pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Guru boleh menggunakan pelbagai strategi dan instrumen pentaksiran yang bersesuaian sama ada secara formal atau tidak formal. Sebagai contoh guru menggunakan kaedah pemerhatian dengan menilai setiap murid secara berterusan tentang apa yang mereka tahu, faham dan boleh buat. Dengan itu, guru boleh merujuk dokumen standard prestasi untuk melaporkan pencapaian murid berdasarkan evidens yang dikemukakan oleh murid sama ada dalam bentuk produk, proses atau diri murid.            Ia terbukti Pentaksiran Berasaskan Sekolah adalah fleksibel.
2.3       MERUJUK STANDARD
Pentaksiran Berasaskan Sekolah menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pelajaran dan pencapaian prestasi seseorang murid itu. Ia merupakan satu proses mendapatkan maklumat sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang telah dipelajari mengikut tahap-tahap pencapaian berdasarkan standard prestasi yang telah ditetapkan. Kerangka Standard Prestasi diletakkan dalam kategori mengikut Band iaitu dari band 1 hingga band 6 dan disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan terperinci. Selain itu, di dalam Kerangka Dokumen Standard Prestasi terdapat penyataan standard, deskriptor dan evidens. Penyataan standard merupakan penerangan umum tentang tahap kemajuan pembelajaran dengan merujuk objektif mata pelajaran. Deskriptor pula merujuk kepada perkara yang murid seharusnya tahu dan boleh buat berdasarkan standard pembelajaran dan evidens merujuk kepada bahan atau bukti yang ditunjukkan oleh murid dapat melaksanakan sesuatu tugasan. Oleh itu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah merujuk standard yang telah ditetapkan dalam standard prestasi berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
2.4       SEIMBANG
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah seimbang kerana ia mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. Dari segi akademik terdapat pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat di mana pentaksiran sekolah dilaksanakan secara formatif dan sumatif. Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pembelajaran dan pengajaran. Pentaksiran sumatif pula dijalankan pada akhir bab pembelajaran, semester atau hujung tahun. Bagi pentaksiran pusat pula, pentaksiran dijalankan, ditadbir, diperiksa, di rekod dan di lapor, di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang diberi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia mengikut tempoh yang ditetapkan.
Bagi bukan akademik pula, pentaksiran melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, suka dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstra kurikulum. Selain itu juga bagi bukan akademik juga adalah mengukur kebolehan, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid di ukur di peringkat sekolah atau di pusat. Oleh itu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah seimbang kerana ia di kira dari segi akademik dan bukan akademik. Kecenderungan murid akan dapat dikesan dari pentaksiran yang dibuat.

3.0       PERANAN KEPIMPINAN UTAMA SEKOLAH DALAM MELAKSANAKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
            3.1       MENGAMBIL INISIATIF
Pada penghujung tahun 2010 Guru Besar dan barisan kepimpinan sekolah mengadakan mesyuarat pengurusan sekolah. Melalui mesyuarat ini pihak kepimpinan mengambil inisiatif dengan mengadakan mesyuarat kali pertama dengan semua guru – guru bagi memaklumkan dan menetapkan hala tuju, matlamat dan menyediakan jadual aktiviti  sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah yang akan dilaksanakan. Bagi guru yang terlibat telah pun diberi taklimat di peringkat daerah pun begitu latihan dalaman diadakan bagi membolehkan semua guru-guru sekolah memahami dengan lebih jelas akan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana ia akan melibatkan ramai guru mata pelajaran.  Inisiatif yang di ambil adalah barisan kepimpinan membahagikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah kepada sub topik yang lebih kecil iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik dan ia di bentangkan oleh guru yang telah menghadiri kursus kepada guru-guru yang lain. Setelah itu, satu majlis di aturkan untuk memberi taklimat diberikan kepada ibu bapa murid tahun satu yang bakal terlibat. Penerangan ini penting untuk ibu bapa memahami konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan dijalankan supaya tidak timbul kecelaruan dengan membuat tanggapan negatif terhadap sistem yang diperkenalkan ini. Oleh itu, semua guru-guru dan ibu bapa yang terlibat faham akan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah  (SPPBS) ini.

            3.2       MEMBINA PASUKAN
Guru Besar sebagai seorang ketua kepimpinan di sekolah membina jawatankuasa PBS di peringkat sekolah. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh beliau sendiri. Naib pengerusi pula, semua guru penolong kanan di sekolah dan setiausaha adalah setiausaha peperiksaan sekolah. Ahli jawatankuasa yang dilantik adalah terdiri daripada ketua panitia di bahagian latihan, penyelarasan, pementoran, pemantauan, Petaksiran Sekolah dan Pentaksiran Pusat. Selain dari itu, ahli jawatankuasa juga adalah terdiri daripada guru cemerlang, guru bimbingan dan kaunseling. Pasukan ini adalah untuk memastikan PBS yang dijalankan di sekolah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Guru Besar perlu mengadakan empat kali mesyuarat setahun.  Selepas penetapan hala tuju pada mesyuarat pertama, mesyuarat kedua adalah untuk  kajian suku tahun pertama. Begitu juga dengan mesyuarat kali ketiga adalah untuk kajian suku tahun kedua. Bagi mesyuarat kali keempat, Guru Besar akan mengadakan post mortem pelaksanaan. Di Mesyuarat ini, guru-guru perlu membentangkan pengoperasian yang telah dijalankan adakah ia telah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Peranan Guru Besar adalah menegur dan  memperbaiki jika terdapat kekurangan yang telah berlaku semasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah dijalankan. Oleh itu, membina pasukan adalah penting dalam memainkan peranan Guru Besar sebagai ketua kepimpinan di sekolah.
3.3       MEMBUAT KEPUTUSAN
Sesuatu keputusan di buat melalui mesyuarat yang mana ia dibincangkan oleh ahli jawatankuasa dan guru besar bersama barisan kepimpinan membuat keputusan yang terbaik. PBS memerlukan satu jawatankuasa yang kuat dan berani membuat keputusan. Sebagai ketua kepimpinan di sekolah guru besar merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memutuskan keputusan bagi penilaian berasaskan sekolah. Selepas guru menilai murid sepanjang tahun, barisan kepimpinan dan jawatan kuasa akan membuat keputusan tentang prestasi murid-murid. Apabila ada kekurangan dalam prestasi murid barisan kepimpinan akan mencari jalan untuk menambah baik agar target dapat dicapai. Oleh itu, keputusan mesti di buat barisan kepimpinan supaya segala permasalahan dapat di selesaikan.
3.4       MENYELESAIKAN MASALAH
Setiap perkara yang baru dilaksanakan pasti ada kelemahan dan kekurangan. Ia menjadi tanggungjawab guru besar untuk menyelesaikannya. Semasa penilaian dijalankan guru akan berjumpa dengan kesulitan. Oleh itu, semasa mesyuarat guru besar akan meminta setiap guru yang terlibat untuk memaklumkan masalah yang timbul. Guru besar akan membantu guru untuk menyelesaikan masalah. Setiap ahli jawatankuasa PBS bertanggungjawab atas yang dilaksanakan. Oleh itu, setiap permasalahan mesti dilaporkan kepada guru besar supaya beliau dapat menyelesaikannya. Selain dari itu, dari semasa ke semasa guru besar perlu memantau untuk memastikan segala permasalahan telah diselesaikan.
4.0       PENILAIAN RESPONDEN TERHADAP KEPIMPINAN UTAMA SEKOLAH
4.1       MENGAMBIL INISIATIF
Dalam pengurusan PBS, Guru Besar telah mengambil inisiatif untuk memanggil semua guru untuk diberi taklimat walaupun guru tersebut tidak terlibat secara langsung dalam PBS. Ini adalah inisiatif yang di ambil oleh guru besar untuk membudayakan PBS di sekolah dan jika guru yang terlibat bercuti panjang atau bertukar, guru lain boleh mengambil alih tugas terbabit. Ia tidak akan menjadi masalah jika semua guru telah mengetahui akan PBS yang dijalankan. Guru Besar juga mengambil inisiatif untuk memberi sendiri penerangan kepada ibu bapa supaya tiada kekeliruan supaya tidak timbul kecelaruan dengan membuat tanggapan negatif terhadap sistem yang baru diperkenalkan di sekolah bagi tahun 1.
4.2       MEMBINA PASUKAN
Guru Besar membina jawatan kuasa untuk PBS dengan baik sekali. Guru Besar mengetahui dan di bantu oleh semua Penolong Kanan beliau dan guru-guru menjadi jawatan kuasa nya. Pasukan ini di bina pembahagian tugas kepada guru-guru darjah dan mata pelajaran. Guru Besar memberi penerangan terperinci kepada setiap jawatankuasa agar perjalanan PBS berjalan dengan baik. Guru Besar mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan setiap jawatan kuasa yang dilantik. Oleh itu, Guru Besar dan barisan kepimpinan dilihat begitu komited dengan jawatan kuasa yang di bina.
4.3       MEMBUAT KEPUTUSAN
Responden melihat Guru Besar bijak membuat keputusan dari segi pemilihan jawatankuasa, cara mengendalikan ibu bapa dan apa jua persoalan yang timbul. Jika ada sesuatu perkara tidak diketahui oleh beliau, beliau lebih senang bertanyakan sendiri kepada yang lebih arif dengan perkara berkenaan. Guru Besar akan berbincang dahulu dengan barisan kepimpinan sebelum membuat keputusan. Oleh itu, responden memberikan respon yang positif terhadap keputusan yang dibuat dan menghormati keputusan barisan kepimpinan,
4.4       MENYELESAIKAN MASALAH
Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, guru besar dan barisan kepimpinan akan bersama-sama berbincang. Sesuatu permasalahan yang timbul tidak akan ditunggu lama untuk selesaikan. Mereka akan mengadakan mesyuarat tertutup dan cuba membincangkan sesuatu hal yang timbul. Responden memuji akan cara barisan kepimpinan menyelesaikan masalah kerana mereka akan cuba berlaku adil atas apa jua masalah yang timbul.

5.0       KESIMPULAN
Kesimpulannya, ciri-ciri utama PBS yang dijalankan di sekolah  adalah  holistik, fleksible, merujuk standard dan seimbang. Dari Pemantauan guru dapat mengetahui apa yang akan dapat dicapai dalam pendidikan murid, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada setiap murid.Guru boleh merujuk dokumen standard prestasi untuk melaporkan pencapaian murid berdasarkan evidens yang dikemukakan oleh murid sama ada dalam bentuk produk, proses atau diri murid. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah merujuk standard yang telah ditetapkan dalam standard prestasi berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. pentaksiran dijalankan, ditadbir, diperiksa, di rekod dan di lapor, di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang diberi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia mengikut tempoh yang ditetapkan. Peranan kepimpinan utama sekolah dalam melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah adalah mengambil inisiatif, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membina pasukan. Oleh itu, barisan kepimpinan dan semua guru di sekolah terlibat secara langsung atau tidak dalam melaksanakan PBS bagi membolehkan ia dijalankan seperti yang di arahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

6.0       RUJUKAN
Fail Pentaksiran Berasaskan Sekolah Murid
Fail Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Jawatan Kuasa Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Temu ramah Guru Penolong Kanan
Temu ramah Guru yang terlibat dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Laman Sesawang berkaitan:
Guru perlu fahami Pentaksiran Berasaskan Sekolah, capaian 22/10/2012 dari http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121022/pe_02/Guru-perlu-fahami-Pentaksiran-Berasaskan-Sekolah
Surat Pemantauan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, 4 Julai 2011 dari http://spp.jpnns.gov.my/downloads/surat_pemantauan_pbs.pdf